PKPB - JELAJAH NEGERI SENDIRI

0 miles Banda Hilir Melaka 30/5/2020
RENTAS negeri masih belum dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dan ini bermakna sesebuah negeri itu akan membabitkan pergerakan anak negeri atau mereka yang bermastautin di negeri tersebut sahaja.

Orang Melaka inilah masanya untuk anda berjalan di negeri sendiri terutamanya di kawasan pelancongan di Banda Hilir yang sering sibuk dan sesak dengan kunjungan pelancong domestik serta luar negara.

Bagaimanapun, anda hendaklah mematuhi Prosedur tetap operasi (SOP) PKPB supaya tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa ketika melancong di dalam negeri sendiri.

Saya pasti dan yakin ramai orang Melaka yang masih belum berkesempatan atau berpeluang berkunjung ke destinasi pelancongan popular di negeri Melaka yang sememangnya sudah dikenali serata dunia.

 




Bandaraya Melaka masih lengang daripada kunjungan pelancong



Sebelum ini, sukar untuk mencari tempat pakir kenderaan di kawasan Banda Hilir, namun ketika ini (30/5) begitu banyak kawasan pakir dan anda tidak perlu berebut-rebut untuk meletakkan kenderaan.

Jalan raya juga tidak sesak, anda boleh memandu santai sambil menikmati pemandangan bangunan bersejarah di kawasan bangunan merah serta di sekitar Jongker Walk.











Untuk di luar Banda Hilir pula, anda boleh ke Jasin atau ke Alor Gajah, jika di Jasin banyak kesan sejarah atau produk pelancongan yang boleh dikunjungi, antaranya, Makam Tun Teja di Kampung Pengkalan Samak Merlimau.


Makam Tun Teja Merlimau


Orang Melaka, jangan lepaskan peluang ini, segeralah melancong di dalam negeri, untuk kita nikmati sendiri produk pelancongan sejarah, adat dan budaya yang banyak terdapat di Banda Hilir, Melaka. 



TAMBUNAN - SINURAMBI


Pintu masuk Sinurambi Tambunan
MASA yang sangat sesuai untuk kita melancong dalam negeri ketika kerajaan masih menguatkuasakan Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB), rentas negeri tidak dibenarkan, maka melawatlah negeri di mana anda berada ketika ini, tetapi patuhilah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi orang Sabah, suka saya berkongsi lokasi dan destinasi domestik yang telah saya kunjungi sepanjang saya berada atau bertugas di Sabah sejak April 2018, sebelum ini tidak berkesempatan untuk berkongsi cerita namun ketika ini, ada kelapangan waktu untuk berkongsi dengan anda semua.
Penggambaran dokumentari Rona Sabah bersama Tuan Pegawai Daerah Tambunan En Jumain Abd Ghani

Pegawai Daerah Tambunan memberi kerjasama baik menerangkan berkaitan produk pelancongan di daerah Tambunan

Catatan kali ini, saya bawa anda ke daerah Tambunan, iaitu semasa saya dan krew RTM Sabah membuat penggambaran dokumentari Rona Sabah. Daerah Tambunan adalah kawasan tanah tinggi yang terletak di bahagian pedalaman negeri Sabah. Kedudukannya 81 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu dan keunikannya ialah, Tambunan berada pada ketinggian 1000 m di Banjaran Crocker. 

Kebanyakan daripada penduduk di sini ialah Kaum Dusun, pemandangannya amat indah berikutan daerah ini dikelilingi oleh sawah padi dan 77 buah perkampungan. Gunung Trus Madi iaitu gunung ke dua tertinggi di Malaysia selepas Gunung Kinabalu ini terletak di arah Timur Tambunan

Salah satu lokasi yang boleh kita lihat dari arah pekan Tambunan adalah Sinurambi atau Menara tinjau. Sinurambi ini dijadikan sebagai mercu tanda Tambunan bersempena tahun melawat Tambunan 2017. Menara ini tingginya 17 meter dan pembinaannya menelan belanja lebih ½ juta. Individu yang bertanggungjawab mencetuskan idea membina menara tinjau ini ialah anak jati Tambunan iaitu, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Baiklah, sebagai panduan laluan ke puncak Sinurambi. bulatan sompoton, jalan terus sehingga sampai di simpang tiga yang terdapat signboard Gereja Katolik St. Mary Magdalene dan Sister Putri Karmel & Brother CSE.

bulatan sompoton pekan Tambunan
Jangan masuk simpang tersebut tapi maju terus kedepan lagi. Tidak sampai 50 meter dari signboard Gereja Katolik St. Mary Magdalene, akan sampai di simpang tiga dengan signboard Hutan Simpanan TrusMadi sekali lagi. Masuk simpang tersebut (kanan) dan nampak signboard sinurambi Tambunan dengan jelas. Ikut arah yang ditunjukkan dalam signboard tersebut".

Dalam masa 30 minit hingga 45 minit dari bulatan sompoton pekan Tambunan kita akan di puncak bukit yang ada menara tinjau sinurambi ini. Bukit ini tinggi ditambah pula dengan menara tinjau, maknanya pemandangan dari sinurambi ini memang luas dan cantik.

Ini pemandangan dari puncak Sinurambi


Jadi jika anda ke Tambunan, banyak tempat yang bolehh dilawati, sehari tidak mencukupi untuk pusing Tambunan, elok kiranya anda bermalam sambil menikmati udara segar dari daerah ini.

Banyak hotel, chalet malah ada rumah rehat disediakan oleh Pejabat Daerah Tambunan untuk pelawat bermalam di pekan Tambunan, tak rugi berkunjung ke sini.

Antara tempat menarik di daerah Tambunan termasuklah Pisompuruan square, Air Terjun Mahua,Gunung Trusmadi, Batu Gong Kampung Solibog, Kampung tradisional Tombotuon, tugu peringatan Mat Salleh (Pahlawan Sabah) dan Laluan Garam.
air terjun Ma Hua
laluan masuk ke Gunung Alab

Alam semulajadi di laluan garam

Untuk catatan seterusnya nanti, saya akan ceritakan pengalaman berkunjung ke tempat2 menarik di daerah Tambunan seperti yang tersenarai di atas.

Moga catatan Tambunan - Sinurambi ini dapat memberi panduan kepada anda untuk menikmati sendiri destinasi dan produk pelancongan yang sangat menarik di daerah Tambunan. Pasti masih ramai orang Sabah yang belum sampai ke Tambunan kan? Jadi apa lagi, datanglah ke Tambunan. Jemputan ini juga buat anda semua, Jika ke Sabah selepas keadaan pulih seperti sediakan, pastikan Tambunan termasuk dalam destinasi pelancongan idaman anda.

- Idzham Hadi Sidik -  

LAIN MACAM AIDILFITRI 1441/2020


RAYA MAYA
TMN SERI KEMENDOR / IPOH 1 SYAWAL 1441H 

 AIDILFITRI pada tahun 1441H atau 2020M akan dikenang dalam lipatan sejarah sebagai hari raya paling ramai Imam tak bertauliah yang mengimamkan solat sunat Aidilfitri di kediaman masing-masing.

Sambutan 1 Syawal pada 1441H atau 2020M ini juga akan diingati sebagai raya dalam kurungan, raya tanpa berjabat salam, raya tanpa ziarah menziarahi, raya tanpa sanak saudara, raya tanpa balik kampung, raya tanpa rumah terbuka, raya tanpa menghulur duit raya, raya kita kita saja, raya lain macam dan kita tak boleh macam macam.

Namun setiap apa yang berlaku pada Syawal 1441H ini banyak hikmahnya, banyak pengajarannya malah banyak mendidik setiap insan untuk menghargai apa yang sedang dikecapi pada masa ini.

Ibu bapa yang pasti menanti kepulangan anak-anak dan menantu juga tak perlu lagi menjaja cerita, mendabik dada, gebang bagai dan mengepak bercerita pasal anak-anak yang berkereta besar, baru beli rumah baru, bla bla bla...

Masing masing juga tak perlu riak menggayakan kenderaan baru, perabot baru, dan segala gala yang baru yang sengaja nak diceritakan pada adik beradik lain, saudara mara dan sahabat handai semasa berada di kampung atau menziarahi sanak saudara. 

Pendek kata, banyak kebiasaan yang negatif mampu kita hindari dan tahniah kepada kita semua kerana berjaya mengamalkan norma baharu pada Aidilfitri kali ini.

Aidilfitri kali ini mengajar kita semua berdisiplin dan sentiasa mengikut peraturan yang diperintahkan oleh kerajaan serta pihak berkuasa termasuk PDRM dan ATM. Malah lebih utama kita berdisiplin dan mematuhi perintah Allah SWT.

Di kawasan perumahan mahupun di kampung kampung tiada suara kanak kanak memberi salam "Assalamualaikum..., makcik kami datang nak raya"

Kemudian enjamah seteguk air, menikmati sekeping dua biskut raya, anak-anak mohon diri meninggalkan rumah yang dikunjungi sambil bersalaman dengan tuan rumah yang pastinya akan menghulurkan sampul raya buat anak-anak itu.

Kemudian mereka meneguk segelas air sambil menikmati biskut raya, tak sampai 10 minit mereka sudah bersuara untuk meminta diri meninggalkan rumah yang dikunjungi. Mereka bersalaman dengan tuan rumah dan setiap isi rumah dan pastinya tuan rumah menghulurkan duit raya untuk anak-anak ini.

Suasana itu tidak dilihat pada raya 2020, tetapi dibeberapa lokasi masih kedengaran bunyi dentuman meriam buluh, bunyi letupan kecil mercun mercun yang entah dari mana dibeli.

Mematuhi PKPB ziarah hari raya pertama ke rumah keluarga di Chohong


Sesungguhnya Ramadan dan Syawal kali ini banyak cerita yang kita lalui, kenanglah ia sepanjang hayat, catatan ini sekadar dijadikan coretan untuk mengingati sejarah yang pernah kita lalui ini.





Coretan ini sebagai rujukan generasi yang akan datang (yang sedang membaca) untuk anda semua meneruskan kehidupan sebagai hamba Allah yang sentiasa bertaqwa.

- idzham hadi sidik -


    

CHOHONG - LUBANG BESAR ATAU KAPAL DAGANG



CHOHONG sebuah kampung yang terletak kira kira 12 kilometer dari bandar Jasin Melaka dan 7 kilometer dari bandar Tangkak Johor.

Kedudukan kampung ini memang strategik iaitu di kawasan sempadan Melaka – Johor dengan berlatar belakang Gunung Ledang.


Pelbagai cerita mengenai asal usul nama kampung Chohong diperolehi, salah satu versi adalah diceritakan oleh orang dulu-dulu, nama kampung Chohong ini berkaitan dengan lubang besar yang disebut lubang “terlohong”.

Kisah asal usul Chohong ini saya perolehi daripada Allahyarham Haji Ismail Sadin atau lebih dikenali dengan panggilan sidang Mail atau Alang Anyil atau Tok Alang.

Satu lagi versi dan digunakan pakai mengenai asal usul kampung Chohong ini ialah berkaitan dengan kapal dagang yang namanya “Chu Hong”.

Ceritanya, pada masa dahulu Sungai Kesang yang terletak di Chohong memang besar dan digunakan untuk urusan pengangkutan serta perdagangan.

Sungai Kesang yang memisahkan Kampung Chohong (Melaka) dan Kampung Sialang di Tangkak (Johor) merupakan salah satu lokasi perdagangan yang dikunjungi ramai pedagang dari China.

Kapal Chu Hong ini adalah salah satu kapal yang sering berlabuh di sungai tersebut. Penduduk kampung pada ketika itu sering berurusan dan bila di Tanya hendak ke mana mereka akan menyebut “nak ke kapal Chu Hong”.

Lama kelamaan sebutan itu menjadi lebih ringkas, mereka akan menyebut “nak ke Chu Hong” dan kerana itulah penduduk menggelarkan kampong itu sebagai Kampung Chohong.

Tidak diketahui siapa yang mula-mula membuka kampong ini dan pada masa ini kampung Chohong semakin membangun dengan penyediaan pelbagai kemudahan awam termasuklah sekolah, masjid, balai raya serta pintu gerbang “Selamat datang Ke daerah Jasin” yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Lidah Tanah dan “Chu Hong”
Sejarah Kampung Chohong bermula kira-kira tahun 1700-an. Pada masa dahulu berlakunya penghijrahan 40 keluarga dari Pagar Ruyung. Mereka telah menyusuri Kuala Sungai Kesang sehingga ke hulu sungai. Mereka berhenti di suatu kawasan hutan belukar untuk berehat.

Akhirnya, mereka bersepakat untuk membuka perkampungan di kawasan hutan tersebut. 
Pada awalnya, kawasan yang ditebang dan dijadikan penempatan penduduk Pagar Ruyung dinamakan “Lidah Tanah”. Mereka berhijrah secara beramai-ramai dari kampung lama mereka iaitu Kampung Batu Sangkar ke penempatan baru pada abad ke 18.

Mereka berhijrah bersama-sama dengan penghulu, seorang imam, beberapa orang panglima serta pawang. Kerjasama dan usaha antara mereka untuk membuka perkampungan baru di sini membuahkan hasil dan mereka menamakan tempat ini dengan nama Lidah Tanah.

Pada awal abad ke 19, berlaku perkembangan ekonomi yang pesat ketika itu. Penduduk Pagar Ruyung telah membuka kawasan pertanian sawah padi dan hasil-hasil pertanian lain seperti sagu rumbia, ubi kayu, buah-buahan serta hasil hutan seperti rotan, damar dan lain-lain. Perkembangan ekonomi mereka bertambah pesat lagi apabila hasil usaha mereka dalam bidang pertanian dan hasil hutan dapat dipasarkan keluar.

Pada waktu itu, Melaka telah menjadi pusat perdagangan yang terkenal dan mempunyai pelabuhan bagi pedagang-pedagang dari luar. Kapal-kapal dagang pada ketika itu singgah di Sungai Kesang untuk ke pelabuhan Melaka. Terdapat sebuah kapal dagang yang selalu singgah di kawasan penempatan mereka. Kapal yang dinamakan “Chu Hong” menjadi alat perhubungan dan pengangkutan untuk penduduk menghantar hasil pertanian mereka ke tempat perdagangan di Melaka.

Setiap kali kapal dagang Chu Hong tiba di penempatan mereka, penduduk di situ akan berteriak “Kapal Chu Hong datang, Kapal Chu Hong datang.” Dari situlah, nama “Chu Hong” diambil untuk nama kampung mereka. Pada awalnya kampung ini dipanggil Kampung “Chu Hong” namun ejaannya ditukarkan sebagai “Chohong” dan akhirnya disebut Kampung Chohong. 


KISAH BATU NISAN BELIMBING
Sekitar tahun 2015, tersebar penemuan batu nisan berbentuk Belimbing di Kampung Chohong.



Maklumat daripada seorang kawan saya yang juga Ahli Arkeologi, Dr Mohd Nasaruddin Rahman,  beliau menerangkan bahawa berdasarkan kajian bersama rakan seperjuangan dari Indonesia dan Perancis, pihaknya mendapati batu nisan belimbing yang ditemui di Melaka adalah satu-satunya seumpama itu di nusantara ini.

Menurutnya, batu nisan berbentuk belimbing atau bunga lawang itu yang ditemui, diperbuat daripada batu merah atau laterit, yang disifatkan sukar untuk diukir dan mengambil tempoh yang cukup panjang.



Dalam temubual ringkas melalui panggilan telefon, Nasruddin berkata, kewujudan batu nisan belimbing ini membuktikan tamadun Melayu mula berkembang menerusi penempatan yang ada di sini.


Katanya, Jika dilihat pada ukiran batu nisan ini, menunjukkan penempatan di sini mempunyai nilai lebih tinggi dari segi teknologi kerana ukiran yang dibuat pada jarak ukuran yang agak sama.

artikel di bawah ini dipetik daripada BH online
Tinjauan mendapati, ada lebih 100 kubur lama dipercayai berusia ratusan tahun dengan pelbagai rupa bentuk batu nisan seperti puting susu dan tangan menadah doa serta kelihatan dibina menghadap arah kiblat.

Mohd Nasruddin yang juga Pengurus Besar Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), berkata pihaknya kini mula mengkaji secara mendalam bagi mendapatkan pentarikhan sebenar sesebuah tamadun yang wujud di seluruh kawasan itu.



"Penemuan batu nisan belimbing itu juga sebagai kajian sumber arkeologi bagi membantu menyokong pentarikhan baharu pengasasan Melaka yang berdasarkan manuskrip lama adalah pada tahun 1262 Masihi.


"Jika pentarikhan itu tidak kuat, ia hanya sebuah manuskrip yang boleh ditulis semula. Kita juga belum jumpa sumber arkeologi yang menyokong pentarikhan ini, jadi inilah kajian yang sedang kita usahakan,"katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Dr Zainah Ibrahim, berkata pihaknya perlu menjalankan kajian secara komprehensif bagi mengenal pasti binaan batu nisan belimbing itu mempunyai kaitan dengan kerajaan purba Melayu Melaka atau Lang Buana, berikutan belum pernah dijumpai di Semenanjung.

"Penelitian awal mendapati, empat kubur ini mempunyai bentuk ukiran batu nisan berbeza, ada yang pecahan lapan dan tujuh, dibina bersekali dengan kepok (binaan penahan pusara).

"Kita juga dapati tiada sebarang catatan pada batu nisan, jadi terlalu awal untuk mengaitkannya dengan kerajaan Lang Buana.


"Bagaimanapun ia dipercayai kubur orang beragama Islam dan ukiran halus buatan tangannya seperti dikhususkan untuk orang kenamaan atau tanda hormat kepada darjah kepemimpinan pemilik," katanya yang merancang memasang pagar di sekeliling kawasan itu bagi mengelak diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Razaki'n Abdul Rashid, 35, antara individu yang diamanahkan untuk menjaga kawasan perkuburan terbabit, mendakwa mendapat mimpi pelik selepas diarahkan membersihkan kawasan terbabit sejak bulan lalu.


Katanya, kawasan itu sebelum ini hanyalah hutan belukar dan penduduk kampung bersama wakil rakyat pernah membersihkannya tanpa mengetahui wujud perkuburan lama berusia ratusan tahun di situ.

"Saya pernah bermimpi pada malam Jumaat, seorang lelaki muda berpakaian baju kuning, ada keris cantik menunggu bersama gajah.

"Dalam mimpi itu, saya diminta menggunakan membaluti dua batu nisan di situ dengan kain kuning supaya tiada lagi gangguan sebab ramai yang jatuh sakit selepas bergotong-royong di kawasan ini," katanya yang mendakwa tiada lagi gangguan itu.

INFO:


Laterit - tanah liat merah yang terbentuk daripada pereputan batu dan terdiri daripada besi oksida dan aluminium hidroksida.

NOTA: artikel ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa

- Idzham Hadi Sidik -


GANTONG SORILI KG WIDU TAMBUNAN

Gantong Sorili Kg Widu Tambunan

TAMBUNAN merupakan sebuah pekan dan daerah yang terletak di Bahagian Pedalaman, Sabah, kedudukannya 81 km dari Kota Kinabalu, pada ketinggian 1000 m di Banjaran Crocker. 

Untuk catatan kali ini, saya akan menyampaikan info berkaitan destinasi yang saya kunjungi iaitu di kampung Widu Tambunan. Kampung ini sebenarnya terletak di kawasan sempadan daerah Ranau dan Tambunan.

Selain pelancong domestik atau pelancong antarabangsa, orang Sabah sendiri perlu mengambil kesempatan untuk berkunjung ke kampung Widu ini untuk melihat sendiri kesan sejarah dan cerita rakyat yang berlaku di situ.

Untuk perkongsian kali ini saya akan catatkan apa yang ada di Kg Widu berkaitan pelancongan berasaskan sejarah, budaya, rekreasi dan alam sekitar. 

Perjalanan saya ke Kg Widu bersama sama dengan ahli persatuan pacuan 4 Roda Tambunan, kami bergerak secara konvoi ke kampung widu.

kerjasama daripada Persatuan pacuan 4 roda Tambunan membolehkan saya sampai ke Kg Widu

meredah sungai menjadi salah satu aktiviti di Kg Widu



Berlepas dari Pejabat Daerah Tambunan menuju ke Kg Widu, kami menggunakan jalan Tambunan - Ranau. Jalan berturap yang baik tetapi sesekali ada juga melalui laluan yang sedang dibaiki.

Selepas 45 minit kami sampai di simpang masuk Kg Widu. Dari sini bermulalah jalan tidak berturap. Selepas selesa dengan jalan berturap dari Tambunan  ke simpang masuk kg Widu, kini kami melalui cabaran menggunakan laluan yang tidak berturap pula. jaraknya kira-kira 17 kilometer. Sepanjang perjalanan menggunakan jalan tidak berturap ini kami turut melalui kampung tiong yang mempunyai sebuah sekolah kebangsaan di situ.
sempat bergambar kenangan di pintu masuk SK Tiong Widu

Pilot RTM bersama sama ke Kg Widu

fahmi dan pengawall keselamatan SK Kg Tiong

Kedudukan kampung widu adalah di kawasan sempadan antara daerah ranau dan tambunan. Dari tambunan jaraknya adalah 54 kilometer manakala dari ranau pula kedudukannya adalah 29 kilometer.


simpang masuk ke Kg Widu di laluan Tambunan - Ranau


Fahmi jurukamera RTM Sabah sedang membuat penggambaran laluan masuk ke Kg Widu


Saya dan team Persatuan Pacuan 4 roda Tambunan sudah sampai di Chalet Kg Widu

Akhirnya saya dan peserta konvoi sampai di kg Widu. kami terus dibawa ke kawasan widu resort yang menyediakan pelbagai pakej lawatan dan penginapan di kampung ini.

Saya dan peserta konvoi disambut meriah oleh pegawai dan kakitangan Widu Resort. Untuk pengetahuan dan informasi anda, terdapat 13 keluarga yang menetap di kg Widu ini. Kebanyakan daripada mereka berbangsa dusun dan beragama islam. pelbagai kemudahan disediakan di kampung ini. Antara kemudahan yang ada termasuklah bekalan elektrik yang dibekalkan oleh sesb, bekalan air graviti, tempat rekreasi seperti gelanggang takraw dan surau bagaimanapun jalan masuk ke kampung ini masih belum berturap.

Kampung Widu ini sebuah perkampungan yang cukup cantik. hutannya masih kekal asli, sungainya yang jernih dan banyak menyimpan kisah lagenda, antaranya gantong sorili. 

Kehadiran saya dan krew disambut oleh murid2 SK Tiong dengan pakaian tradisional kaum Dusun


meneruskan perjalanan ke Kg Widu melalui laluan tidak berturap


Chalet Widu dibina dengan buluh

Inilah destinasi pelancongan yang perlu dikunjungi oleh pelancong domestik, luar negara dan orang Sabah sendiri yang berminat dengan cerita rakyat atau lagenda boleh datang ke sini.

5 sebab kenapa anda perlu datang ke Kg Widu.

1. Menikmati pemandangan indah puncak Kinabalu dari arah Kg Widu selain Kundasang.

pemandangan puncak Kinabalu dari Kg Widu


2. Merasai perjalanan menggunakan pacuan 4 roda di laluan tidak berturap serta menaiki 4x4 meredah sungai berbatu. sambil-sambil bermain air dan mandi manda di Sungai Kg Widu yang jernih airnya.





3. Melihat bunga reflesia yang tumbuh di kawasan rumah penduduk kampung Widu.


gigih mencari bunga reflesia







4. Mengalami sendiri lagenda Gantong Sorili dan mendengar kisah legenda ini daripada penduduk kampung

teater lagenda gantong sorili dipersembahkan oleh murid2 SK Tiong




Cikgu Farhan asal Terengganu mengajar di SK Tiong

5. Menimba pengalaman bermalam di rumah buluh yang disediakan oleh Widu Resort.




menyaksikan keindahan alam semulajadi di Kg Widu



krew Widu Resort
Apakata selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak covid19 ini, anda memilih berkunjung ke Kg Widu. hubungi terus en Linos di talian 019-8831568

Catatan saya bukan setakat ini sahaja, banyak lagi destinasi dan lokasi pelancongan di Sabah yang ingin dikongsi bersama dengan anda, jadi terus layari blog saya.
Bob sedang beraksi untuk merakam visual konvoi 4x4 semasa dalam perjalanan ke Kg Widu



DISEBALIK TABIR. aksi Bob dan Fahmi merakam visual sempat saya rakam

menyerahkan buku Kayak Merdeka sebagai tanda kenangan daripada saya kepada En Linos

Mansau Ansau Sabah bukan setakat kita kunjungi destinasi popular sahaja tatapi destinasi yang berpotensi dan jarang jarang menerima pelancong adalah misi utama saya.

- idzham hadi sidik - 

JERITAN BATIN ORANG LUGU