GIGIH berjalan kaki 3.8
kilometer, meredah jalan berlumpur, meniti jambatan gantung sepanjang 630 meter,
mengharung anak sungai dek kerana titi roboh, berjalan dalam gelap selepas 6.30
petang. Semua ini menjadi rutin harian penduduk Kampung Lugu, Pitas Sabah.
Bukan sekadar
mencatat fenomena ini hasil didengar dari mulut penduduk, tetapi tulisan ini
diluah ketika saya "melancong"
ke lokasi ini semasa menyertai misi kemanusiaan bantuan bencana banjir Pitas.
"Melancong" ke Kampung Lugu Pitas semasa misi bantuan banjir |
Jambatan gantung yang sudah rosak tetap digunakan penduduk |
Penduduk bersyukur menerima bantuan bencana banjir yang diusahakan oleh organisasi sukarela "Reach Out" apabila ia dihantar hingga ke kawasan pedalaman. Turut bersama sama menyumbang dana dan tenaga dalam misi itu ialah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Kota Kinabalu, PBSMM Pitas, Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia (Amal Malaysia), Sabah Engineers Association, Rotary Club Kota Kinabalu, HD Enterprise serta Syarikat Jawala Plantation Industries Sdn Bhd.
Penduduk pedalaman yang amat mengharapkan bantuan bencana seperti itu, sempat meluahkan isi hati masing masing bercerita keadaan kampung yang jauh ketinggalan dari kemudahan infrastruktur.
Kampung Lugu
kira-kira 30 kilometer dari Pekan Pitas diletakan dalam Program Kampung
Sejahtera Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, namun infrastruktur utama
seperti kemudahan jalan raya masuk ke kampung masih belum disediakan.
Kerana itulah
penduduk perlu berjalan kaki meredah lumpur, mengharung anak sungai kerana
jambatan yang disediakan sudah runtuh, menyeberang sungai dengan meniti
jambatan gantung dan terpaksa bergelap untuk balik ke rumah masing-masing
selepas pukul 6.30 petang.
Bantuan sampai ke pedalaman Pitas menggunakan 4x4 |
meniti jambatan gantung dan berjalan lebih 3.8 km memikul barang untuk dibawa pulang |
Perahu terpaksa digunakan untuk mengangkut barangan bantuan |
Andai ada penduduk kampung yang sakit hingga tidak boleh bergerak penduduk perlu memapah pesakit dan ada ketikanya mereka terpaksa diusung menggunakan pengusung yang dibuat sendiri.
papan pada jambatan gantung mula mereput |
mengusug pesakit lebih 3km menuju Kg Pandan Mandamai sebelum menaiki kenderaan ke hospital |
Bertemu salah seorang
penduduk, Mejol Sukuan saya berpeluang ke kampung Lugu yang diceritakan sebelum
ini. Sebaik sahaja tida di kampung Pandan Mandamai, saya dan rakan 4X4 Trans
Borneo The Last Frontiers 2019 terpaksa meninggalkan kenderaan pacuan empat
roda di penghujung jalan berturap kampung berkenaan.
Laluan pertama, kami
meniti jambatan gantung sepanjang 630 meter merrentasi Sungai Bengkoka,
kelihatan papan pada jambatan itu ada yang sudah reput malah ada juga yang
telah pecah.
Perlu berhati hati
untuk meniti jambatan tersebut, ketinggian dari sungai mencecah 20 meter,
apabila berjalan jambatan akan bergoyang goyang, kaki perlu diimbang mata perlu
awas memerhati papan papan alas yang reput dan tidak tersusun rapi.
Dalam hati berkata
kata, inilah yang dialami penduduk Kampung Lugu setiap hari, kemudahan tidak
mencukupi, namun dari sudut positif penduduk Kampung Lugu ini sangat gigih,
cekal dan menelan yang pahit untuk mengecapi kemanisan yang entah bila kunjung
tiba.
Selamat menyeberang
jambatan gantung, perjalanan diteruskan kali ini laluan berlumpur terpaksa
diredah bukan 10 meter, bukan 100 meter malah lebih 2 kilometer kaki melangkah
di dalam lumpur menuju ke kampung Lugu.
meredah jalan berlumpur |
Sepanjang perjalanan,
mulut Mejol tak putus putus bercerita mengenai kehidupan penduduk kampung yang
perlu mengharungi keadaan itu sejak mereka dilahirkan hingga kini.
Katanya, kalau diberi
pilihan yang mana keperluan paling utama, bekalan air, bekalan elektrik dan
jalan raya yang selesa. Mejol menjelaskan dia lebih mahukan jalan raya
disediakan di kampung itu.
“Saya mahu jalanraya…
bekalan elektrik dan air boleh disalurkan kemudian, bila sudah ada jalan raya
akan memudahkan agensi terlibat untuk menyediakan kemudahan lain.
“Tuan bayangkan,
budak budak ke sekolah terpaksa redah lumpur seperti yang tuan lalui sekarang,
belum sampai ke sekolah kasut sudah berlumpur, pakaian seragam kotor, kerana
itulah jalan raya saya mahukan,” katanya ketika menjadi “pemandu pelancong”
membawa saya “bersiar siar” sekitar Kampung Lugu.
Selepas berjalan kaki
meredah lumpur lebih 1 kilometer, kelihatan kayu dan papan timbul di anak
sungai, ia sebenarnya jambatan kayu yang sudah runtuh, kami tiada pilihan
selain terpaksa melintas juga anak sungai itu.
meredah anak sungai akibat titi runtuh |
Kemudian, kami
mendaki bukit yang tidak berapa tinggi, jalan sudah tidak berlumpur dan
sepanjang perjalanan kelihatan pokok kelapa sawit milik penduduk. Tak jauh
berjalan jumpa pula gereja dan balairaya kelihatanya seperti sudah lama tak
digunakan.
Kelihatan juga dua
rumah PPRT di situ dan kemudian kami berjalan lagi menuruni bukit, sekali lagi
kami terpaksa melintas anak sungai dan keadaan yang sama jambatan yang dibina
sebelum ini telah runtuh, entah bila akan dibaiki ianya tidak pasti.
Mejol terus bercerita
sepanjang jalan menuju semula ke jambatan gantung ditebing Sungai Bengkoka, dia
tak henti henti meluahkan rasa isi hati mengenang nasib anak isteri dan
penduduk kampung Lugu yang dikasihi.
“Tuan bayangkan yea,
pernah penduduk sakit tengah malam, kami terpaksa mengusung melalui laluan ini,
sebelum dapat dibawa dengan kereta yang kami tinggalkan di Kampung Pandan
Mandamai di seberang sana.
“kampung kami ni dah
macam pulau, hasil sawit dan hasil pertanian banyak di kawasan ini tetapi sukar
untuk dibawa keluar bagi dijual kerana ketiadaan jalan raya, kalau nak jual
juga kami terpaksa memikul melalui laluan yang sangat mencabar ini,” katanya.
Mejol terus
menyambung cerita, menurutnya Kampung Lugu sebenarnya pernah dikunjungi
pemimpin negeri dan persekutuan, untuk melihat kehidupan penduduk di situ.
Katanya, mungkin pemimpin
tersebut mempunyai perancangan untuk menyediakan kemudahan jalan raya di
kampung ini, kerana permohonan daripada penduduk kampung sudah dibuat oleh
pemimpin di sini.
“Saya tidak salahkan
pemimpin kerana saya tahu mereka banyak kerja dan mungkin ada tempat lain di
pedalama Pitas ini yang perlu diutamakan dulu, mungkin juga belum rezeki kami
untuk menikmati jalan raya,” katanya.
Penjelajahan saya di
Kampung Lugu Pitas kira-kira 3 jam berakhir di tebing Sungai Bengkoko, walaupun
agak penat namun saya puas kerana dapat menyaksikan satu lagi kisah kehidupan
penduduk Negeri di Bawah Bayu yang
sentiasa cekal, tabah dan gigih.
Gigih dalam menempuh
kehidupan yang serba kekurangan dari segi kemudahan awam. Tabah menempuh dugaan
hidup dalam negara dan negeri yang membangun tetapi kemudahan belum sampai ke
kampung mereka. Cekal meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga tercinta
dengan berusaha mencari makan dari sumber sedia ada.
Adakah mereka sememangnya tidak mahu kemudahan awam? Apakah mereka mahu kekal hidup dalam suasana alam semulajadi yang tidak tercemar? Hanya penduduk Kampung Lugu yang mengetahuinya.
Catatan:-
IDZHAM HADI SIDIK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan