TAMBUNAN - SINURAMBI


Pintu masuk Sinurambi Tambunan
MASA yang sangat sesuai untuk kita melancong dalam negeri ketika kerajaan masih menguatkuasakan Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB), rentas negeri tidak dibenarkan, maka melawatlah negeri di mana anda berada ketika ini, tetapi patuhilah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi orang Sabah, suka saya berkongsi lokasi dan destinasi domestik yang telah saya kunjungi sepanjang saya berada atau bertugas di Sabah sejak April 2018, sebelum ini tidak berkesempatan untuk berkongsi cerita namun ketika ini, ada kelapangan waktu untuk berkongsi dengan anda semua.
Penggambaran dokumentari Rona Sabah bersama Tuan Pegawai Daerah Tambunan En Jumain Abd Ghani

Pegawai Daerah Tambunan memberi kerjasama baik menerangkan berkaitan produk pelancongan di daerah Tambunan

Catatan kali ini, saya bawa anda ke daerah Tambunan, iaitu semasa saya dan krew RTM Sabah membuat penggambaran dokumentari Rona Sabah. Daerah Tambunan adalah kawasan tanah tinggi yang terletak di bahagian pedalaman negeri Sabah. Kedudukannya 81 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu dan keunikannya ialah, Tambunan berada pada ketinggian 1000 m di Banjaran Crocker. 

Kebanyakan daripada penduduk di sini ialah Kaum Dusun, pemandangannya amat indah berikutan daerah ini dikelilingi oleh sawah padi dan 77 buah perkampungan. Gunung Trus Madi iaitu gunung ke dua tertinggi di Malaysia selepas Gunung Kinabalu ini terletak di arah Timur Tambunan

Salah satu lokasi yang boleh kita lihat dari arah pekan Tambunan adalah Sinurambi atau Menara tinjau. Sinurambi ini dijadikan sebagai mercu tanda Tambunan bersempena tahun melawat Tambunan 2017. Menara ini tingginya 17 meter dan pembinaannya menelan belanja lebih ½ juta. Individu yang bertanggungjawab mencetuskan idea membina menara tinjau ini ialah anak jati Tambunan iaitu, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Baiklah, sebagai panduan laluan ke puncak Sinurambi. bulatan sompoton, jalan terus sehingga sampai di simpang tiga yang terdapat signboard Gereja Katolik St. Mary Magdalene dan Sister Putri Karmel & Brother CSE.

bulatan sompoton pekan Tambunan
Jangan masuk simpang tersebut tapi maju terus kedepan lagi. Tidak sampai 50 meter dari signboard Gereja Katolik St. Mary Magdalene, akan sampai di simpang tiga dengan signboard Hutan Simpanan TrusMadi sekali lagi. Masuk simpang tersebut (kanan) dan nampak signboard sinurambi Tambunan dengan jelas. Ikut arah yang ditunjukkan dalam signboard tersebut".

Dalam masa 30 minit hingga 45 minit dari bulatan sompoton pekan Tambunan kita akan di puncak bukit yang ada menara tinjau sinurambi ini. Bukit ini tinggi ditambah pula dengan menara tinjau, maknanya pemandangan dari sinurambi ini memang luas dan cantik.

Ini pemandangan dari puncak Sinurambi


Jadi jika anda ke Tambunan, banyak tempat yang bolehh dilawati, sehari tidak mencukupi untuk pusing Tambunan, elok kiranya anda bermalam sambil menikmati udara segar dari daerah ini.

Banyak hotel, chalet malah ada rumah rehat disediakan oleh Pejabat Daerah Tambunan untuk pelawat bermalam di pekan Tambunan, tak rugi berkunjung ke sini.

Antara tempat menarik di daerah Tambunan termasuklah Pisompuruan square, Air Terjun Mahua,Gunung Trusmadi, Batu Gong Kampung Solibog, Kampung tradisional Tombotuon, tugu peringatan Mat Salleh (Pahlawan Sabah) dan Laluan Garam.
air terjun Ma Hua
laluan masuk ke Gunung Alab

Alam semulajadi di laluan garam

Untuk catatan seterusnya nanti, saya akan ceritakan pengalaman berkunjung ke tempat2 menarik di daerah Tambunan seperti yang tersenarai di atas.

Moga catatan Tambunan - Sinurambi ini dapat memberi panduan kepada anda untuk menikmati sendiri destinasi dan produk pelancongan yang sangat menarik di daerah Tambunan. Pasti masih ramai orang Sabah yang belum sampai ke Tambunan kan? Jadi apa lagi, datanglah ke Tambunan. Jemputan ini juga buat anda semua, Jika ke Sabah selepas keadaan pulih seperti sediakan, pastikan Tambunan termasuk dalam destinasi pelancongan idaman anda.

- Idzham Hadi Sidik -  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

JERITAN BATIN ORANG LUGU