Memaparkan catatan dengan label Silimpopon - Benarkah bandar yang hilang?. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Silimpopon - Benarkah bandar yang hilang?. Papar semua catatan

Silimpopon - Benarkah bandar yang hilang?

MERUNGKAI KISAH SILIMPOPON






SABAH [Tawau, Kalabakan] - Silimpopon bukanlah destinasi yang terkenal seperti Kundasang di Ranau atau Pulau Mabul di Semporna. Kisah Silimpopon ini diceritakan melalui tulisan Ross Ibbotson dalam sebuah buku bertajuk “Silimpopon A Borneo Coal Mine”.

Teruja dengan sejarah yang diterangkan di dalam buku tersebut, saya mengambil kesempatan untuk menjejaki destinasi yang dikatakan sebagai sebuah bandar yang hilang kira-kira 100 tahun yang lalu.





Perjalanan pada 24 Oktober 2018 ini juga bertujuan untuk membuat rakaman  dokumentari Rona Sabah bagi siaran RTM.

Untuk ke Silimpopon saya memilih menggunakan laluan darat dari Kota Kinabalu melalui Keningau - Sook - Nabawan - Pandawan - Tataluan - Sapulut - Kg Simatuor - Kalabakan dan destinasi tujuan Silimpopon . Laluan ini dikenali juga dengan "jalan belakang"

https://goo.gl/maps/KpRCXAyJXvDN2e2u9

Suka dingatkan laluan jalan raya dari Kota Kinabalu ke Kalabakan bukan seperti jalan raya di Semenanjung. banyak laluan berturap yang rosak dan tiada kemudahan kawasan rawat dan rehat (RnR). Cuma dipertengahan perjalanan di kawasan hutan tropika ada sebuah warong yang menyediakan kemudahan makan minum, surau dan tandas.






Warong yang dinamakan sebagai "Kedai Makan & Minum Baru Jumpa Sila Mampir" ini jugalah yang menjadi destinasi singgah perjalanan bas ekspress Kota Kinabalu - Keningau - Tawau dan sebaliknya, 

menyerahkan cenderahati kepada pengusaha kedai makan "Baru Jumpa" 



Selepas melalui perjalanan lebih 8 jam, saya dan krew RTM Sabah sampai di Kalabakan dan untuk masuk ke Estate Kertam Holdings, kami telah siap dinanti oleh kakitangan estate berkenaan. Sebenarnya ini adalah kali kedua saya sampai di Kalabakan, kali pertama menjejakkan kaki di sini bertujuan untuk membuat penggambaran bersempena Hari Malaysia iaitu peristiwa berdarah Kalabakan. 

Lebih kurang jam 3 petang kami sampai di Estate Kertam Holdings iaitu di dalam kawasan Silimpopon, dan kami diberi tempat tinggal atau rumah rehat yang disediakan oleh Pengurusan Estate Kertam Holdings. Terima kasih kepada Pengurus Kanan Silimpopon Estate Bahagian Tawau, Tuan Siaw Yun Kui yangbanyak membantu saya dan krew RTM Sabah untuk sampai ke destinasi sejauh ini.

Rumah rehat estate Kertam Holdings Silimpopon



Kisah sejarah Silimpopon ini sering digembar gemburkan di media sosial sebagai Bandar yang hilang, Silimpopon dikaitkan sebagai sebuah bandar besar yang wujud antara tahun 1901 hingga 1934.

Oleh kerana kesan sejarah yang amat bernilai ini berada di dalam kawasan ladang kelapa sawit Silimpopon, Syarikat Kertam Holdings rasa bertanggungjawab untuk memelihara khazanah warisan Sabah dan khasnya sejarah di Tawau ini.


salah satu lokasi bersejarah di Silimpopon yang dijaga dan di pelihara oleh Syarikat Kertam Holdings

Saya bersama -sama Pegawai Kertam Holdings melihat sendiri kesan sejarah di Silimpopon


Salah satu terowong arang batu yang terdapat di Silimpopon


Buku tulisan Roos Ibboston berkaitan aktiviti perlombongan arang batu di Silimpopon yang melibatkan ramai pekerja tempatan dan import diperkuatkan dengan kenyataan dan pengakuan daripada  Mary Domingo anak kepada kerani syarikat arang batu di Silimpopon yang pernah bertugas di situ.

Untuk melihat sendiri kesan sejarah di Silimpopon ini, kebenaran daripada pihak Kertam Holdings perlu diperolehi terlebih dahulu. Kehadiran saya dibantu penuh oleh Tuan Siaw.

Pegawai Kertam Holdings yang membawa dan menjadipemandu pelancong sepanjang kehadiran saya adalah Tuan Norsham Nordin, Tuan Jefreday Juspin dan Tuan Hamli Awang.


bekas lombong Silimpopon yang masih kukuh

sempat berada di dalam kawasan bekas lombong arang batu


berada di kawasan Sungai tak Tentu untuk rakaman penggambaran Rona Sabah

peluang menyusuri Silimpopon "Bandar yang hilang" semasa membuat penggambaran dokumentari Rona Sabah

pintu masuk salah satu gua

Apakah benar Silimpopon sebuah bandar yang hilang? Selepas saya menyelusuri kesan-kesan sejarah yang ada di sini seperti Sungai Tak Tentu iaitu sungai yang pernah menjadi korban 4 pekerja lombong arang batu lemas semasa banjir besar sekitar tahun 20an.

Menjejaki sejarah Silimpopon sesuatu yang menarik, ia merungkai kekayaan khazanah alam di Sabah, arang batu sumber tenaga yang penting suatu ketika dulu.


kesan hakis pada sungai Tak Tentu





Berkesempatan bertemu Abu  Bakar Pan Abdullah, kisah Silimpopon diceritakan oleh bapanya, yang pernah berniaga di kawasan Silimpopon pada zaman kegemilangan lombong arang batu di situ.

Bagaimanapun, apa yang dikatakan Silimpopon bandar yang hilang adalah disebabkan kawasan ini dulunya sebuah estate yang besar dan mempunyai kelengkapan seperti di sebuah bandar.

Ada sekolah, ada hospital, ada kedai runcit dan banyak perniagaan yang dijalankan di sini kerana itulahh ia dianggap sebagai sebuah bandar sedangkan ianya hanyalah sebuah estate arang batu yang menjalankan kegiatan melombong arang batu yangterbesar pada ketika itu.










Sekurang-kurangnya ada 4 terowong arang batu yang ditemui di bekas kawasan perlombongan Silimpopon ini, bagaimanapun tiada satu pun kesan atau bekas binaan yang boleh menyokong Silimpopon ini adalah sebuah bandar satu ketika dahulu.

Mary Domingos, antara waris yang paling banyak menyimpan bukti sejarah Silimpopon, dan beliau bertuah kerana sering dijadikan sebagai bahan rujukan sekiranya ada pengkaji sejarah yang hendak menyulusuri sejarah perlombongan arang batu Silimpopon.






Silimpopon dilabel sebagai sebuah bandar yang hilang, kini Silimpopon menjadi salah satu kawasan pengeluaran sawit di negeri Sabah, nama Silimpopon akan terus tercatat dalam sejarah negara sebagai pengeluar arang batu terbesar Asia Tenggara.

-idzham hadi sidik-

Nota:- Lebih banyak paparan mengenai Silimpopon dimuatkan dalam BUKU "TRAVELOG Sabah"




JERITAN BATIN ORANG LUGU