JURUTERBANG "nak jadi pilot cikgu", itulah jawapan saya pada cikgu apabila ditanya mengenai cita-cita semasa darjah 1 di Sekolah Rendah Panglima Adnan Port Dickson tahun 1978. Soalan cikgu "dah besar nanti nak jadi apa?.
Alhamdulillah kesampaian juga cita-cita itu apabila saya mampu menerbangkan pesawat ringan microlight dengan panduan daripada jurulatih (Kapten Royzan - KP4B) dan saya juga pernah memiliki Student Pilot Lisence (SPL).
Hanger KP4B Lapangan Terbang Batu Berendam |
Microlight ini pernah terbang ke Dumai & Pekan Baru Indonesia |
SPL tahun 2008 |
Kaitan intro dan catatan hari ini 1 Jun 2020 sebenarnya saya berhasrat hendak mengucapkan selamat menyambut ulang tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-62 kepada pegawai dan anggota TUDM di seluruh negara.
TUDM begitu dekat dengan saya kerana, kapal terbang pertama yang saya naik dalam hidup saya adalah pesawat TUDM. Tahun 1981 saya mengikut arwah Abah berpindah ke Kuching Sarawak.
Inilah kuarters Blok G19 di Kem Pendrissen, Kuching Sarawak, tempat tinggal saya dan keluarga semasa berusia 10 tahun |
Pada masa itu, saya berusia 10 tahun sangat teruja untuk menaiki pesawat dan saatnya tiba juga, saya masuk ke pesawat yang disebut oleh arwah bapa saya sebagai kapalterbang "Charlie".
Saya masih ingat, saya sekeluarga iaitu arwah Abah (Hj Sidik Hamid), mak (Hjh Miyamah Hj Limat) dan arwah adik yang ke2 (Hjh Nurulhuda) menaiki pesawat itu dari lapangan terbang Sungai Besi Kuala Lumpur.
Dalam pesawat itu, ramai juga penumpang di kalangan anggota keluarga tentera. Semasa dalam penerbangan kami, kami diberi makanan dan minuman yang disediakan di dalam kotak. Inilah pengalaman pertama menaiki kapalterbang dan ia adalah milik TUDM.
Peluang menaiki pesawat TUDM tidak berakhir semasa kanak-kanak sahaja, ruang dan peluang terus datang apabila saya bertugas sebagai wartawan dan Penerbit Rancangan.
Kisah terbang dengan pesawat hercules C130 TUDM yang cukup saya ingat adalah semasa Misi kemanusiaan Tsunami Aceh, Misi Malbatt 001 ke Lebanon, Misi mencari dan menyelamat MH370 Perth Australia dan satu lagi misi kemanusiaan Taufan Haiyan di Tacloban Filipina.
Paling lama berada dalam perut C130 TUDM adalah semasa ke Lebanon, mengikut pengiraan saya, penerbangan termasuk transit mengambil masa 23 jam.
Pada masa itu adalah bulan Ramadan, dan saya serta beberapa rakan lain sebenarnya boleh berbuka puasa kerana musafir, tetapi kami ingin cuba dan gagah juga berpuasa semasa dalam penerbangan.
Dari Subang pukul 3 petang, penerbangan menuju ke arah barat maknanya masa akan lambat atau terkebelakang, akhirnya saya dan beberapa rakan berbuka puasa di lapangan terbang Dubai dan ketika itu kami sudah menahan lapar dahaga menghampiri 23 jam.
di dalam perut C130 |
menikmati juadah berbuka puasa di dalam perut C130 |
Alhamdulillah, juadah di dalam C130 yang menyelerakan |
Penerbangan C130 TUDM ke Tacloban Filipina semasa saya menyertai misi kemanusiaan Kerajaan Malaysia yang dianjur olah Kelab Putera 1 Malaysia juga cukup saya ingat kerana ia membabitkan rakan sekolah saya.
Mejar Azhar Abdul Rahman rakan Sekolah Teknik Melaka, beliau adalah juruterbang pesawat C130 yang saya tumpang (kisah ini ada dalam catatan Haiyan Mengganas, menggila dan membinasa {episod Hercules C130 TUDM})
Saya juga berpengalaman menaiki pesawat TUDM semasa menyertai misi kemanusiaan tsunami Aceh, pesawat yang dinaiki berlegar legar di ruang udara lebih 10 pusingan kerana menunggu giliran untuk mendarat disebabkan lapangan terbang Aceh sesak dengan pelbagai pesawat yang menghantar bantuan.
Selain menumpang pesawat C130 TUDM, saya juga pernah membuat liputan jet pejuang TUDM di Butterworth dan Kuantan untuk rancangan majalah RTM iaitu Galeri Nasional dan juga Galeri Perdana (sekarang hanya tinggal rancangan Galeri Nasional Mandarin & Tamil sahaja).
Pegawai dan anggota TUDM amat komited dalam melaksanakan tugas masing-masing, sepanjang tugasan liputan mereka sentiasa memberi kerjasama yang sangat baik.
Rakan2 sekolah saya dan rakan kampung saya juga ada yang pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan ada yang masih lagi berkhidmat, pengorbanan mereka amat dihargai.
Kepada Pegawai, anggota dan kakitangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bersempena catatan saya pada 1 Jun ini saya mengucapkan menyambut Selamat Hari Ulang Tahun TUDM ke-62. "Berupaya Bersiaga Kedaulatan Terjaga"
Ucapan Selamat Hari TUDM ini juga ditujukan kepada kawan-kawan saya terutamanya Mejar Azhar Abdul Rahman (Sekolah Teknik Melaka) yang masih berkhidmat serta rakan2 yang telah bersara Encik Ali bin Meon (Kg Chohong), Encik Faizal Jalil (Kg Chohong), Encik Malek (Sekolah Teknik Melaka).
- Idzham Hadi Sidik-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan