BAZAR RAMADAN LIPIS - TAUFA BUDAK TIUT LAKU KERAS
![]() |
| Taufa budak tiut Lipis laku keras setiap kali bazar Ramadan... ini cerita 1989/1990 |
Tahun 1989/1990 menjadi antara kenangan paling manis dalam hidup saya. Itulah kali pertama saya dan rakan-rakan mencuba nasib berniaga di bazar Ramadan di Kuala Lipis, berhampiran stesen bas Kuala Lipis.
Kami ketika itu masih penuntut di Institut Pertanian Kuala Lipis (IPKL) atau lebih popular dengan gelaran "Budak Tiut". Penuh semangat muda dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Saya bersama sahabat-sahabat baik — Ibrisham, Ramzee Baharin dan Ghazali Mohamad (Arwah), Hamidon (Arwah) sepakat untuk menjual air soya dan taufufah.
Ilmu membuat kedua-dua produk ini kami pelajari sendiri daripada pensyarah IPKL. Setiap pagi selepas Subuh, ketika suasana masih berkabus dan sejuk, kami sudah berada di dapur bengkel.
Kerja bermula dengan merebus kacang soya, kemudian mengisar dan memerahnya sebelum diproses menjadi air soya dan taufufah.
Walaupun kini saya hampir terlupa langkah terperincinya, berikut saya sertakan semula resepi asas seperti yang kami amalkan dahulu:
Resepi Air Soya (Cara Tradisional)
Bahan-bahan:
1 kg kacang soya (rendam semalaman)
8–10 liter air
2–3 helai daun pandan
Gula secukup rasa
Sedikit garam
Cara-cara:
Rendam kacang soya semalaman. Esok paginya, buang kulit yang terapung dan bilas bersih.
Kisar kacang soya bersama air sehingga halus.
Tapis menggunakan kain kasa, perah untuk mendapatkan pati soya.
Masak pati soya bersama daun pandan. Kacau selalu supaya tidak berketul atau berbau hanyir.
Setelah mendidih 15–20 minit, masukkan gula dan sedikit garam.
Sejukkan sebelum dimasukkan ke dalam plastik untuk dijual.
Resepi Taufufah (Tau Fu Fa)
Bahan-bahan:
2 liter air soya segar (tanpa gula)
1–2 sudu teh Saiko atau GDL (Glucono Delta Lactone) atau air batu kapur makanan
Air gula (gula melaka/gula putih + daun pandan)
Cara-cara:
Panaskan air soya hingga hampir mendidih.
Larutkan Saiko @ GDL dengan sedikit air suam dan tuang ke dalam bekas.
Tuang air soya panas ke dalam bekas tersebut tanpa dikacau.
Tutup dan biarkan 20–30 minit sehingga mengeras lembut.
Hidangkan dengan air gula panas.
Cuma nak bagitau, Saiko atau GDL tu kami terpaksa beli di Kuala Lumpur. Saya ingat lagi lokasinya antara Pudu Raya nak ke Bas Stand Klang ada deretan kedai India menjual rempah ratus.
Di kawasan itulah saya membeli Saiko atau GDL ni, harganya tidak begitu mahal, tapi saya dah lupa nilainya. Beli sekali boleh simpan dan tahan lama. Saiko keras untuk buat tahu manakala Saiko lembut untuk buat taufufah.
Petang selepas kuliah, kami akan mengangkat tong-tong air soya dan bekas besar taufufah ke tapak bazar Ramadan berhampiran stesen bas. Kadang-kadang terasa lenguh juga mengusung barang, tetapi semangat berniaga mengatasi segalanya.
Alang-alang menulis saya ceritakan lah serba sedikit pusat pengajian yang menjadi kebangaan kami suatu ketika dulu. Institut Pertanian Kuala Lipis merupakan pusat pengajian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (ketika itu dikenali sebagai Kementerian Pertanian).
Institut ini menawarkan pembelajaran berkaitan bidang pertanian secara teori dan praktikal. Penuntut dilatih menjadi bakal Juruteknik Pertanian yang mahir dalam tanaman, ternakan, pengurusan ladang serta teknologi asas pertanian. Selain itu, semangat keusahawanan turut diterapkan supaya graduan bukan sahaja mahir bekerja, tetapi mampu menjadi usahawan tani yang berdikari.
Di Kuala Lipis, pengajian hanya melibatkan Tahun 1 dan Tahun 2. Untuk Tahun 3, pelajar akan menyambung pengajian di institut lain seperti Institut Pertanian Besut, Institut Pertanian Ayer Hitam atau Institut Pertanian Serdang. Sistem ini membuka peluang kepada pelajar merasai suasana pembelajaran dan pengalaman pertanian di negeri yang berbeza.
Alhamdulillah, air soya dan taufufah IPKL memang cepat terkenal. Kalau tidak silap, masa itu hanya kami sahaja yang menjual air soya dan taufufah di bazar tersebut.
Harga pula cuma RM2 satu plastik. Belum pun azan Maghrib berkumandang, jualan kami hampir habis. Ada hari yang belum sempat matahari terbenam, semuanya sudah licin!
Sokongan masyarakat Kuala Lipis memang luar biasa. Penduduk setempat cukup mengenali penuntut Institut Pertanian Kuala Lipis. Apa sahaja produk yang kami jual — sama ada hasil tanaman, anak pokok atau minuman seperti ini — pasti mendapat sambutan hangat. Mereka percaya kepada kualiti hasil tangan pelajar institut pertanian. Rasa seperti berniaga dalam kalangan keluarga sendiri.
Kuala Lipis sendiri bukanlah bandar biasa. Ia merupakan kampung halaman kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, artis kebanggaan negara. Ada rasa bangga juga berniaga di bumi yang melahirkan anak seni sehebat itu.
Waktu lapang pula, kami selalu “jemming” bersama rakan-rakan berhampiran Stesen Keretapi Kuala Lipis. Bunyi gitar bersahut dengan gelak tawa, kadang-kadang diselang-seli bunyi kereta api yang lalu. Itulah hiburan ringkas anak muda kampung pada waktu itu — sederhana tetapi penuh makna.
Kini, apabila dikenang kembali, bukan soal untung rugi yang paling diingati. Tetapi persahabatan, disiplin bangun awal pagi, semangat keusahawanan yang dipupuk oleh institut, serta sokongan masyarakat Kuala Lipis yang menjadikan pengalaman berniaga di bazar Ramadan tahun 1990 itu begitu istimewa.
Air soya RM2 satu plastik mungkin kecil nilainya hari ini, tetapi kenangannya terlalu besar dalam hidup kami. Institut Pertanian Kuala Lipis pusat pengeluaran modal insan berjiwa kental.
-ihs.0km-
.jpeg)
.jpeg)


.jpg)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan