Musibah
Serambi Mekah : Teruja Ke Sana
FOKUS berita keberangkatan Jemaah haji pada musim 2004 ke tanah suci tiba-tiba disentap oleh kejadian yang sangat mengejutkan seluruh dunia. Bencana ombak besar dari lautan Hindi melanda Aceh di Indonesia dan sebahagian negeri negeri di utara tanah air.
Ramai sedia maklum, bencana itu adalah tsunami, ia menjadi tajuk utama berita baik di media cetak mahupun media elektronik. Pada masa itu media sosial belum popular maka kejadian tersebut hanya dirujuk melalui media massa televisyen, radio serta akhbar.
Tsunami menyebabkan pelbagai kemusnahan dan kerosakkan malah di Aceh sahaja kehilangan nyawa menjangkau angka 300,000 orang. Bantuan dari seluruh dunia mula dihantar ke Aceh.
Pelbagai jenis bantuan dihantar ke Aceh, Pasukan keselamatan menyertai misi mencari dan menyelamat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pula melaksanakan misi kemanusiaan dengan menyalurkan bantuan makanan dan pakaian.
Bantuan dari Malaysia tidak terkecuali, ia juga terus dihantar, Kerajaan Persekutan, Kerajaan Negeri, NGO, orang perseorangan turut ke Aceh dan beberapa wilayah lain di Indonesia yang dilanda tsunami untuk menabur bakti.
Pada masa kejadian saya sendiri berkhidmat sebagai wartawan sambilan (stringer) di Berita Harian Melaka dan juruhebah sambilan di Radio Malaysia Melaka (Melakafm). Selain itu dalam NGO saya menjawat jawatan sebagai Ketua Penerangan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM).
Ramai kawan – kawan NGO yang terpilih telah berangkat ke Aceh untuk menyertai misi kemanusiaan, rakan2 wartawan pula dihantar ke lokasi bencana untuk membuat liputan berkaitan kemusnahan dan keadaan semasa di sana.
Dua minggu kejadian tsunami Aceh berlalu, saya masih tak dapat apa-apa ‘signal’ baik dari Berita Harian mahupun NGO untuk saya terlibat dalam tugasan pemberitaan atau misi kemanusiaan tsunami di tanah serambi Mekah itu.
Hendak seribu daya, Tak hendak seribu dalih,
Saya mula resah dan hati melonjak lonjak nak ke Aceh untuk terlibat dalam misi kemanusiaan. Dengan semangat Pingat Bakti Masyarakat (PBM) kurniaan kerajaan negeri Melaka pada 1999, saya tekad membuat kertas kerja untuk diajukan kepada Pengerusi MGBM bagi membolehkan saya terlibat dengan kerja sukarelawan ke Aceh.
Ingat… setiap kertas kerja yang disediakan perlu lengkap dengan Pendahuluan, Objektif, Aktiviti, Perbelanjaan selain fakta yang memberi keyakinan kepada Pengerusi serta Jawatankuasa tertinggi NGO untuk meluluskan kertas kerja tersebut.
Kertas kerja saya diterima
sebulat suara oleh MGBM dan selepas mendapat restu untuk saya serta beberapa
rakan yag dipiilih menyertai misi kemanusiaan ke Aceh, kami membuat persiapan
rapi
Antara objektif misi kemanusiaan terkandung dalam kertas kerja itu ialah membuat tinjauan dengan merakam keadaan semasa di lokasi bencana dalam bentuk video serta gambar pegun untuk panduan kepada lain-lain sukarelawan termasuk kerajaan negeri serta NGO yang akan menghantar bantuan tsunami.
Selain itu, dalam bab perbelanjaan pula. Saya serta rakan – rakan yang menyertai misi tersebut akan mendahulukan wang sendiri ke Aceh tanpa mengharapkan peruntukan atau dana daripada NGO yang dianggotai.
Maka inilah antara penyebab utama saya bersama sama rakan Persatuan Kelab Kelab Belia Malaysia (MAYC) Melaka, Abdul Razak Abu, Nasrul Ahmad dan Allahyarham Yaakub Nyat dapat ke Aceh untuk melihat sendiri kemusnahan dan kerosakkan bumi Serambi Mekah yang dilanda tsunami.
Mereka bertiga ini juga adalah ahli Persatuan Belia Duyung Melaka atau popular dengan nama Beduma. Persatuan Belia ini sangat aktif dan pernah memenangi Anugerah Belia Negara peringkat negeri Melaka dan juga peringkat Kebangsaan.
Walaupun kertas kerja telah diluluskan, tetapi banyak perkara lagi yang perlu dibuat persiapan rapi. Bagi saya cuti tiada masalah kerana pekerjaan saya dengan Berita Harian dan RTM Melaka adalah sebagai kakitangan sambilan sahaja. Begitu juga dengan Nasrul, beliau adalah seorang ahli perniagaan, cuti boleh susun sendiri.
Bagaimanapun bagi Abdul Razak Abu dan Allahyarham Yaakub Nyat mereka perlu memohon cuti rehat atau cuti tanpa rekod selain mendapat kelulusan luar negara terlebih dahulu daripada Ketua Jabatan masing-masing.
Perahu sudah di air, Dayung sudah ditangan,
Sementara menunggu kelulusan tersebut, saya terus dengan persiapan lain iaitu mencari semula rakan-rakan di Medan serta Aceh Indonesia untuk memudahkan kami melaksanakan tugasan apabila tiba di Aceh.
Untuk urusan di Medan Indonesia, saya menghubungi Tengku Mira Sinar Tengku Luckman. Beliau adalah kerabat Kesultanan Serdang Medan Indonesia. Tengku Mira saya kenali melalui aktiviti belia Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) sejak awal penubuhan pada tahun 2000.
Apapun, untuk misi kemanusiaan itu, telah dijangka bahawa saya dan rakan-rakan akan berdepan masalah apabila tiba di bumi Aceh kerana saya gagal menghubungi beberapa sahabat yang dikenali melalui program Pesta Gendang Nusantara DMDI.
Kegagalan menghubungi kawan – kawan di Aceh itu berikutan mereka mungkin salah seorang mangsa tsunami atau telefon mudah alih mereka rosak atau hilang semasa kejadian bencana 26 Disember itu.
Saya dan tiga lagi rakan anak jati bumi Hang Tuah tak menoleh kebelakang lagi. Hasrat kami untuk melihat sendiri kemusnahan akibat ombak besar tsunami di bumi Aceh kami laksanakan mengikut perancangan asal yang terkandung dalam kertas kerja.
Kepercayaan telah diberi dan kami perlu membuktikan bahawa pemergian kami ke bumi Aceh untuk membuat tinjauan awal bagi misi kemanusiaan susulan mencapai matlamat serta objektif yang kami sendiri muktamadkan.
Segala maklumat menjadi tanggungjawab saya dan rakan-rakan misi awal tinjauan ke Aceh ini, video recorder dan kamera pegun sudah dibekalkan, tugas kami mengumpul seberapa banyak maklumat untuk membolehkan pelbagai pihak menyalurkan bantuan kepada mangsa tsunami di Aceh.
11 Januari 2005, dengan pesawat komersial Air Asia, kami mendarat dilapangan terbang Polonia Medan. Sebaik sahaj tiba, Tengku Youl iaitu sepupu kepada Tengku Mira Sinar telah sedia menanti kami di pintu keluar lapangan terbang Polonia.
Inilah pentingnya “contact”. Selain memudahkan urusan kita di tempat orang ia secara tak langsung menjalin ukhwah silaturahim yang berpanjangan dan alhamdulillah sehingga kini saya masih berhubung dengan keluarga Tengku Mira Sinar.
Perkara pertama dan sangat penting yang dilakukan, kami ke pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan untuk melapor diri dan menyatakan keberadaan kami di Medan Indonesia seterusnya ke Acehh untuk menyertai Misi Kemanusiaan.
Alhamdulillah, Pucuk dicipta, ulam mendatang, Jika ada kemahuan di situ ada jalan
Ini perlu dilakukan oleh semua NGO atau orang persendirian yang mahu melaksanakan kerja – kerja amal di luar negara dengan memberitahu kehadiran kita supaya jika berlaku apa-apa masalah, pihak Konsul Jeneral atau Kedutaan dapat mengetahuinya.
Taklimat dan maklumat berkaitan bencana tsunami di Aceh dan kawasan terjejas kami perolehi dan pihak Konsul Jeneral turut memberitahu bahawa pihak Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) sememangnya telah terlibat dalam misi ini sejak tsnunami melanda.
Nampaknya urusan kami ke Aceh agak lebih mudah jika dapat menumpang pesawat TUDM yang setiap hari berulang alik ke Bandara Sultan Iskandar Muda Aceh untuk menghantar pelbagai barangan bantuan.
Syukur, akhirnya kami dapat menumpang pesawat TUDM utuk ke Aceh selepas mendapatkan kebenaran daripada pihak keselamatan. Bersama sama kami dalam pesawat TUDM itu kelihatan kumpulan tabligh dari Malaysia yang sama sama berhasrat ke Bumi Serambi Mekah untuk menghulur bantuan.
Penerbangan mengambil masa hampir tiga jam, dan sebelum mendarat di Bandara Sultan Iskandar Muda Aceh, pesawat yang kami naiki terpaksa berlegar legar di ruang lapangan terbang lebih 5 pusingan kerana menunggu kebenaran dan giliran untuk mendarat.
Dari ruang udara bandar Aceh Darussalam, saya nampak dengan jelas kemusnahan dan kerosakkan dialami akibat ombak besar tsunami yang melanda wilayah serta daerah tersebut.
Sekitar 5 kilometer dari Pantai Aceh jelas kelihatan tiada bangunan yang tidak rosak, semuanya pecah, ada yang runtuh malah kelihatan juga banyak kapal kapal besar dan kecil apatah lagi perahu serta bot yang menumpang berlabuh di atas bumbung rumah serta bangunan.
Sebaik mendarat… wah dah macam pameran pengangkutan udara di Bandara Sultan Iskandar Muda Aceh, macam – macam model kapalterbang, helikopter dari pelbagai negara mendarat di situ. Ada dari Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Singapura dan dari negara kita Malaysia.
Sekitar terminal lapangan terbang yang tidak begitu besar menjadi sangat sibuk dengan petugas pasukan keselamatan, pasukan mencari dan menyelamat, sukarelawan dan individu yang datang ke Aceh untuk melihat situasi terkini di sana.
Alang alang menyeluk pekasam, Biar sampai ke pangkal lengan
Kami tak menunggu lama, keluar dari terminal segera saya mendapatkan kenderaan awam “kijang” untuk membolehkan kami ke kawasan dilanda tsunami dan membuat tinjauan segera. Ini perlu kami lakukan kerana mengejar masa.
Penerbangan pesawat komersial masih belum beroperasi sepenuhnya, kami hanya bergantung pada pesawat TUDM yang kami tumpeng tadi untuk kami kembali semula ke Medan.
Jika kami lewat dari masa yang ditetapkan, kami mungkin tertinggal dan terpaksa bermalam di Bandar Aceh. Keadaan di situ amat mendukacitakan, bekalan elektrik, air bersih terputus sama sekali. Kemudahan penginapan seperti hotel juga masih belum beroperasi.
Para petugas membina khemah sendiri di kawasan yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa Indonesia. Di situlah pasukan keselamatan, NGO dan sukarelawan menjalankan operasi dan melaksanakan misi bantuan masing-masing.
Nun disekitar Bandar Aceh kelihatan pasukan mencari dan menyelamat sedang memacakkan bendera Indonesia serta kain berwarna merah di beberapa tempat. Selepas diselidik rupa-rupanya bendera tersebut sebagai penanda di situ ada mayat yang masih belum diangkat.
Kelihatan juga jentolak membersihkan kawasan disamping lori-lori sedang menunggu untuk membawa sisa-sisa runtuhan yang dikhuatiri ada jasad-jasad bersekali dalam timbunan akibat rakus ombak tsunami.
Kamera pegun dan video tak henti merakam suasana yang kami lihat, Allahuakhbar inikah bencana angkara manusia yang berpunca daripada kegagalan membendung alam sekitar dari pencemaran dan kerosakkan... wallahualam
“Pak… kenal anak-anak pada foto ini… Pak tolong saya Pak, anak-anak ini udah dua minggu tak ketemu, ini anak saya Pak… tolong Pak tolong….”, tersentak seketika terdengar raung seorang ibu sambil menarik baju saya bertanya khabar anak-anaknya yang hilang.
Sambil memujuk, tangan saya menarik perlahan lahan jaket yang saya pakai supaya tak digenggam oleh wanita dalam lingkungan usia 40an itu, saya berjaya melepaskan diri dan meminta supaya Wanita terbabit bersabar. “InshaAllah bu… anak ibu sentiasa ada bersama sama Allah SWT, ibu langsung doa ya” itu yang terhambur dari mulut saya sebelum saya, Razak, Nasrul dan Allahyarham Yaakub berlalu pergi.
Kami dah kesuntukkan masa, pesawat TUDM akan berlepas ke Bandara Polonia Medan pada kira-kira pukul 5 petang Waktu Indonesia barat atau pukul 6 petang waktu Malaysia. Dari Lokasi kami ke Bandara Sultan Islandar Muda Aceh akan mengambil masa 45minit.
“Jak… kita kena gerak sekarang, kalau lambat jawabnya kita terpaksa bermalam di bandar Aceh ni, jom” saya meminta supir Kijang tadi segera membawa kami ke lapangan terbang Aceh. Dalam perjalanan banyak maklumat yang diperolehi daripada Pak Supir.
Sepanjang perjalanan rakaman video diteruskan untuk sumber informasi kepada MGBM dan MAYC Melaka yang bercadang mengadakan misi kemanusiaan tsunami Aceh dalam tempoh terdekat. Kami sampai di lapangan terbang, namun nyawa kami jadi taruhan…
Melapor diri di pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan
(dari kiri) Saya, Arwah Yaakub Nyat, Konsul Jeneral Malaysia di Medan dan Razak Abu Menumpang pesawat TUDM dari Medan ke Bandar Aceh untuk tinjauan Menemubual mangsa tsunami Aceh yang kehilangan kedua dua kaki
Pengalaman pertama menyertai Misi Kemanusiaan di negara jiran adalah pelajaran terbaik buat saya dan rakan2 meneruskan misi yang sama hingga sekarang. Terus membaca kisah "Minta Nyawa"


Tiada ulasan:
Catat Ulasan