Memaparkan catatan dengan label Kg Lugu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kg Lugu. Papar semua catatan

JERITAN BATIN ORANG LUGU

GIGIH berjalan kaki 3.8 kilometer, meredah jalan berlumpur, meniti jambatan gantung sepanjang 630 meter, mengharung anak sungai dek kerana titi roboh, berjalan dalam gelap selepas 6.30 petang. Semua ini menjadi rutin harian penduduk Kampung Lugu, Pitas Sabah.

Bukan sekadar mencatat fenomena ini hasil didengar dari mulut penduduk, tetapi tulisan ini diluah ketika saya  "melancong" ke lokasi ini semasa menyertai misi kemanusiaan bantuan bencana banjir Pitas.

"Melancong" ke Kampung Lugu Pitas semasa misi bantuan banjir

Jambatan gantung yang sudah rosak tetap digunakan penduduk

Penduduk bersyukur menerima bantuan bencana banjir yang diusahakan oleh organisasi sukarela "Reach Out" apabila ia dihantar hingga ke kawasan pedalaman. Turut bersama sama menyumbang dana dan tenaga dalam misi itu ialah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Kota Kinabalu, PBSMM Pitas, Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia (Amal Malaysia), Sabah Engineers Association, Rotary Club Kota Kinabalu, HD Enterprise serta Syarikat Jawala Plantation Industries Sdn Bhd. 

Penduduk pedalaman yang amat mengharapkan bantuan bencana seperti itu, sempat meluahkan isi hati masing masing bercerita keadaan kampung yang jauh ketinggalan dari kemudahan infrastruktur.

Kampung Lugu kira-kira 30 kilometer dari Pekan Pitas diletakan dalam Program Kampung Sejahtera Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, namun infrastruktur utama seperti kemudahan jalan raya masuk ke kampung masih belum disediakan.

Kerana itulah penduduk perlu berjalan kaki meredah lumpur, mengharung anak sungai kerana jambatan yang disediakan sudah runtuh, menyeberang sungai dengan meniti jambatan gantung dan terpaksa bergelap untuk balik ke rumah masing-masing selepas pukul 6.30 petang.

Bantuan sampai ke pedalaman Pitas menggunakan 4x4



meniti jambatan gantung dan berjalan lebih 3.8 km memikul barang untuk dibawa pulang

Perahu terpaksa digunakan untuk mengangkut barangan bantuan


Andai ada penduduk kampung yang sakit hingga tidak boleh bergerak penduduk perlu memapah pesakit dan ada ketikanya mereka terpaksa diusung menggunakan pengusung yang dibuat sendiri.

papan pada jambatan gantung mula mereput

mengusug pesakit lebih 3km menuju Kg Pandan Mandamai sebelum menaiki kenderaan ke hospital



Bertemu salah seorang penduduk, Mejol Sukuan saya berpeluang ke kampung Lugu yang diceritakan sebelum ini. Sebaik sahaja tida di kampung Pandan Mandamai, saya dan rakan 4X4 Trans Borneo The Last Frontiers 2019 terpaksa meninggalkan kenderaan pacuan empat roda di penghujung jalan berturap kampung berkenaan.

Laluan pertama, kami meniti jambatan gantung sepanjang 630 meter merrentasi Sungai Bengkoka, kelihatan papan pada jambatan itu ada yang sudah reput malah ada juga yang telah pecah.

Perlu berhati hati untuk meniti jambatan tersebut, ketinggian dari sungai mencecah 20 meter, apabila berjalan jambatan akan bergoyang goyang, kaki perlu diimbang mata perlu awas memerhati papan papan alas yang reput dan tidak tersusun rapi.

Dalam hati berkata kata, inilah yang dialami penduduk Kampung Lugu setiap hari, kemudahan tidak mencukupi, namun dari sudut positif penduduk Kampung Lugu ini sangat gigih, cekal dan menelan yang pahit untuk mengecapi kemanisan yang entah bila kunjung tiba.




Selamat menyeberang jambatan gantung, perjalanan diteruskan kali ini laluan berlumpur terpaksa diredah bukan 10 meter, bukan 100 meter malah lebih 2 kilometer kaki melangkah di dalam lumpur menuju ke kampung Lugu.




meredah jalan berlumpur


Sepanjang perjalanan, mulut Mejol tak putus putus bercerita mengenai kehidupan penduduk kampung yang perlu mengharungi keadaan itu sejak mereka dilahirkan hingga kini.

Katanya, kalau diberi pilihan yang mana keperluan paling utama, bekalan air, bekalan elektrik dan jalan raya yang selesa. Mejol menjelaskan dia lebih mahukan jalan raya disediakan di kampung itu.

“Saya mahu jalanraya… bekalan elektrik dan air boleh disalurkan kemudian, bila sudah ada jalan raya akan memudahkan agensi terlibat untuk menyediakan kemudahan lain.

“Tuan bayangkan, budak budak ke sekolah terpaksa redah lumpur seperti yang tuan lalui sekarang, belum sampai ke sekolah kasut sudah berlumpur, pakaian seragam kotor, kerana itulah jalan raya saya mahukan,” katanya ketika menjadi “pemandu pelancong” membawa saya “bersiar siar” sekitar Kampung Lugu.

Selepas berjalan kaki meredah lumpur lebih 1 kilometer, kelihatan kayu dan papan timbul di anak sungai, ia sebenarnya jambatan kayu yang sudah runtuh, kami tiada pilihan selain terpaksa melintas juga anak sungai itu.


meredah anak sungai akibat titi runtuh





Kemudian, kami mendaki bukit yang tidak berapa tinggi, jalan sudah tidak berlumpur dan sepanjang perjalanan kelihatan pokok kelapa sawit milik penduduk. Tak jauh berjalan jumpa pula gereja dan balairaya kelihatanya seperti sudah lama tak digunakan.

Kelihatan juga dua rumah PPRT di situ dan kemudian kami berjalan lagi menuruni bukit, sekali lagi kami terpaksa melintas anak sungai dan keadaan yang sama jambatan yang dibina sebelum ini telah runtuh, entah bila akan dibaiki ianya tidak pasti.

Mejol terus bercerita sepanjang jalan menuju semula ke jambatan gantung ditebing Sungai Bengkoka, dia tak henti henti meluahkan rasa isi hati mengenang nasib anak isteri dan penduduk kampung Lugu yang dikasihi.

“Tuan bayangkan yea, pernah penduduk sakit tengah malam, kami terpaksa mengusung melalui laluan ini, sebelum dapat dibawa dengan kereta yang kami tinggalkan di Kampung Pandan Mandamai di seberang sana.

“kampung kami ni dah macam pulau, hasil sawit dan hasil pertanian banyak di kawasan ini tetapi sukar untuk dibawa keluar bagi dijual kerana ketiadaan jalan raya, kalau nak jual juga kami terpaksa memikul melalui laluan yang sangat mencabar ini,” katanya.

Mejol terus menyambung cerita, menurutnya Kampung Lugu sebenarnya pernah dikunjungi pemimpin negeri dan persekutuan, untuk melihat kehidupan penduduk di situ.

Katanya, mungkin pemimpin tersebut mempunyai perancangan untuk menyediakan kemudahan jalan raya di kampung ini, kerana permohonan daripada penduduk kampung sudah dibuat oleh pemimpin di sini.



“Saya tidak salahkan pemimpin kerana saya tahu mereka banyak kerja dan mungkin ada tempat lain di pedalama Pitas ini yang perlu diutamakan dulu, mungkin juga belum rezeki kami untuk menikmati jalan raya,” katanya.

Penjelajahan saya di Kampung Lugu Pitas kira-kira 3 jam berakhir di tebing Sungai Bengkoko, walaupun agak penat namun saya puas kerana dapat menyaksikan satu lagi kisah kehidupan penduduk  Negeri di Bawah Bayu yang sentiasa cekal, tabah dan gigih.





Gigih dalam menempuh kehidupan yang serba kekurangan dari segi kemudahan awam. Tabah menempuh dugaan hidup dalam negara dan negeri yang membangun tetapi kemudahan belum sampai ke kampung mereka. Cekal meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga tercinta dengan berusaha mencari makan dari sumber sedia ada.

Adakah mereka sememangnya tidak mahu kemudahan awam? Apakah mereka mahu kekal hidup dalam suasana alam semulajadi yang tidak tercemar? Hanya penduduk Kampung Lugu yang mengetahuinya.

Catatan:-

IDZHAM HADI SIDIK

Pengerusi
Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia (Amal Malaysia)
280121 - KK.Sabah


 

 

 

 

 

  

JERITAN BATIN ORANG LUGU