SELAMAT HARI TUDM KE-62

Hercules C130 TUDM [pic: Mejar Azhar Abdul Rahman]


JURUTERBANG "nak jadi pilot cikgu", itulah jawapan saya pada cikgu apabila ditanya mengenai cita-cita semasa darjah 1 di Sekolah Rendah Panglima Adnan Port Dickson tahun 1978. Soalan cikgu "dah besar nanti nak jadi apa?.

Alhamdulillah kesampaian juga cita-cita itu apabila saya mampu menerbangkan pesawat ringan microlight dengan panduan daripada jurulatih (Kapten Royzan - KP4B) dan saya juga pernah memiliki Student Pilot Lisence (SPL).


Hanger KP4B Lapangan Terbang Batu Berendam

Microlight ini pernah terbang ke Dumai & Pekan Baru Indonesia

SPL tahun 2008

Kaitan intro dan catatan hari ini 1 Jun 2020 sebenarnya saya berhasrat hendak mengucapkan selamat menyambut ulang tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-62 kepada pegawai dan anggota TUDM di seluruh negara.

TUDM begitu dekat dengan saya kerana, kapal terbang pertama yang saya naik dalam hidup saya adalah pesawat TUDM. Tahun 1981 saya mengikut arwah Abah berpindah ke Kuching Sarawak.



Inilah kuarters Blok G19 di Kem Pendrissen, Kuching Sarawak, tempat tinggal saya dan keluarga semasa berusia 10 tahun






Pada masa itu, saya berusia 10 tahun sangat teruja untuk menaiki pesawat dan saatnya tiba juga, saya masuk ke pesawat yang disebut oleh arwah bapa saya sebagai kapalterbang "Charlie".

Saya masih ingat, saya sekeluarga  iaitu arwah Abah (Hj Sidik Hamid), mak (Hjh Miyamah Hj Limat)  dan arwah adik yang ke2 (Hjh Nurulhuda) menaiki pesawat itu dari lapangan terbang Sungai Besi Kuala Lumpur.

Dalam pesawat itu, ramai juga penumpang di kalangan anggota keluarga tentera. Semasa dalam penerbangan kami, kami diberi makanan dan minuman yang disediakan di dalam kotak. Inilah pengalaman pertama menaiki kapalterbang dan ia adalah milik TUDM.

Peluang menaiki pesawat TUDM tidak berakhir semasa kanak-kanak sahaja, ruang dan peluang terus datang apabila saya bertugas sebagai wartawan dan Penerbit Rancangan.

Kisah terbang dengan pesawat hercules C130 TUDM yang cukup saya ingat adalah semasa Misi kemanusiaan Tsunami Aceh, Misi Malbatt 001 ke Lebanon, Misi mencari dan menyelamat MH370 Perth Australia dan satu lagi misi kemanusiaan Taufan Haiyan di Tacloban Filipina.


terbang bersama C130 TUDM ke Lebanon

Paling lama berada dalam perut C130 TUDM adalah semasa ke Lebanon, mengikut pengiraan saya, penerbangan termasuk transit mengambil masa 23 jam.

Pada masa itu adalah bulan Ramadan, dan saya serta beberapa rakan lain sebenarnya boleh berbuka puasa kerana musafir, tetapi kami ingin cuba dan gagah juga berpuasa semasa dalam penerbangan. 

Dari Subang pukul 3 petang, penerbangan menuju ke arah barat maknanya masa akan lambat atau terkebelakang, akhirnya saya dan beberapa rakan berbuka puasa di lapangan terbang Dubai dan ketika itu kami sudah menahan lapar dahaga menghampiri 23 jam.

di dalam perut C130

menikmati juadah berbuka puasa di dalam perut C130

Alhamdulillah, juadah di dalam C130 yang menyelerakan

Penerbangan C130 TUDM ke Tacloban Filipina semasa saya menyertai misi kemanusiaan Kerajaan Malaysia yang dianjur olah Kelab Putera 1 Malaysia juga cukup saya ingat kerana ia membabitkan rakan sekolah saya.

Mejar Azhar Abdul Rahman rakan Sekolah Teknik Melaka, beliau adalah juruterbang pesawat C130 yang saya tumpang (kisah ini ada dalam catatan Haiyan Mengganas, menggila dan membinasa {episod Hercules C130 TUDM})

Saya juga berpengalaman menaiki pesawat TUDM semasa menyertai misi kemanusiaan tsunami Aceh, pesawat yang dinaiki berlegar legar di ruang udara lebih 10 pusingan kerana menunggu giliran untuk mendarat disebabkan lapangan terbang Aceh sesak dengan pelbagai pesawat yang menghantar bantuan.

menumpang pesawat TUDM semasa menyertai misi kemanusiaan tsunami Aceh


Selain menumpang pesawat C130 TUDM, saya juga pernah membuat liputan jet pejuang TUDM di Butterworth dan Kuantan untuk rancangan majalah RTM iaitu Galeri Nasional dan juga Galeri Perdana (sekarang hanya tinggal rancangan Galeri Nasional Mandarin & Tamil sahaja).

Pegawai dan anggota TUDM amat komited dalam melaksanakan tugas masing-masing, sepanjang tugasan liputan mereka sentiasa memberi kerjasama yang sangat baik.

Rakan2 sekolah saya dan rakan kampung saya juga ada yang pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan ada yang masih lagi berkhidmat, pengorbanan mereka amat dihargai.

Kepada Pegawai, anggota dan kakitangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bersempena catatan saya pada 1 Jun ini saya mengucapkan menyambut Selamat Hari Ulang Tahun TUDM ke-62. "Berupaya Bersiaga Kedaulatan Terjaga"

Gambar kenangan bersama krew TUDM ketika penerbangan ke Lebanon




Ucapan Selamat Hari TUDM ini juga ditujukan kepada kawan-kawan saya terutamanya Mejar Azhar Abdul Rahman (Sekolah Teknik Melaka) yang masih berkhidmat serta rakan2 yang telah bersara Encik Ali bin Meon (Kg Chohong), Encik Faizal Jalil (Kg Chohong), Encik Malek (Sekolah Teknik Melaka).

- Idzham Hadi Sidik-  














PKPB - JELAJAH NEGERI SENDIRI

0 miles Banda Hilir Melaka 30/5/2020
RENTAS negeri masih belum dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dan ini bermakna sesebuah negeri itu akan membabitkan pergerakan anak negeri atau mereka yang bermastautin di negeri tersebut sahaja.

Orang Melaka inilah masanya untuk anda berjalan di negeri sendiri terutamanya di kawasan pelancongan di Banda Hilir yang sering sibuk dan sesak dengan kunjungan pelancong domestik serta luar negara.

Bagaimanapun, anda hendaklah mematuhi Prosedur tetap operasi (SOP) PKPB supaya tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa ketika melancong di dalam negeri sendiri.

Saya pasti dan yakin ramai orang Melaka yang masih belum berkesempatan atau berpeluang berkunjung ke destinasi pelancongan popular di negeri Melaka yang sememangnya sudah dikenali serata dunia.

 




Bandaraya Melaka masih lengang daripada kunjungan pelancong



Sebelum ini, sukar untuk mencari tempat pakir kenderaan di kawasan Banda Hilir, namun ketika ini (30/5) begitu banyak kawasan pakir dan anda tidak perlu berebut-rebut untuk meletakkan kenderaan.

Jalan raya juga tidak sesak, anda boleh memandu santai sambil menikmati pemandangan bangunan bersejarah di kawasan bangunan merah serta di sekitar Jongker Walk.











Untuk di luar Banda Hilir pula, anda boleh ke Jasin atau ke Alor Gajah, jika di Jasin banyak kesan sejarah atau produk pelancongan yang boleh dikunjungi, antaranya, Makam Tun Teja di Kampung Pengkalan Samak Merlimau.


Makam Tun Teja Merlimau


Orang Melaka, jangan lepaskan peluang ini, segeralah melancong di dalam negeri, untuk kita nikmati sendiri produk pelancongan sejarah, adat dan budaya yang banyak terdapat di Banda Hilir, Melaka. 



TAMBUNAN - SINURAMBI


Pintu masuk Sinurambi Tambunan
MASA yang sangat sesuai untuk kita melancong dalam negeri ketika kerajaan masih menguatkuasakan Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB), rentas negeri tidak dibenarkan, maka melawatlah negeri di mana anda berada ketika ini, tetapi patuhilah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi orang Sabah, suka saya berkongsi lokasi dan destinasi domestik yang telah saya kunjungi sepanjang saya berada atau bertugas di Sabah sejak April 2018, sebelum ini tidak berkesempatan untuk berkongsi cerita namun ketika ini, ada kelapangan waktu untuk berkongsi dengan anda semua.
Penggambaran dokumentari Rona Sabah bersama Tuan Pegawai Daerah Tambunan En Jumain Abd Ghani

Pegawai Daerah Tambunan memberi kerjasama baik menerangkan berkaitan produk pelancongan di daerah Tambunan

Catatan kali ini, saya bawa anda ke daerah Tambunan, iaitu semasa saya dan krew RTM Sabah membuat penggambaran dokumentari Rona Sabah. Daerah Tambunan adalah kawasan tanah tinggi yang terletak di bahagian pedalaman negeri Sabah. Kedudukannya 81 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu dan keunikannya ialah, Tambunan berada pada ketinggian 1000 m di Banjaran Crocker. 

Kebanyakan daripada penduduk di sini ialah Kaum Dusun, pemandangannya amat indah berikutan daerah ini dikelilingi oleh sawah padi dan 77 buah perkampungan. Gunung Trus Madi iaitu gunung ke dua tertinggi di Malaysia selepas Gunung Kinabalu ini terletak di arah Timur Tambunan

Salah satu lokasi yang boleh kita lihat dari arah pekan Tambunan adalah Sinurambi atau Menara tinjau. Sinurambi ini dijadikan sebagai mercu tanda Tambunan bersempena tahun melawat Tambunan 2017. Menara ini tingginya 17 meter dan pembinaannya menelan belanja lebih ½ juta. Individu yang bertanggungjawab mencetuskan idea membina menara tinjau ini ialah anak jati Tambunan iaitu, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Baiklah, sebagai panduan laluan ke puncak Sinurambi. bulatan sompoton, jalan terus sehingga sampai di simpang tiga yang terdapat signboard Gereja Katolik St. Mary Magdalene dan Sister Putri Karmel & Brother CSE.

bulatan sompoton pekan Tambunan
Jangan masuk simpang tersebut tapi maju terus kedepan lagi. Tidak sampai 50 meter dari signboard Gereja Katolik St. Mary Magdalene, akan sampai di simpang tiga dengan signboard Hutan Simpanan TrusMadi sekali lagi. Masuk simpang tersebut (kanan) dan nampak signboard sinurambi Tambunan dengan jelas. Ikut arah yang ditunjukkan dalam signboard tersebut".

Dalam masa 30 minit hingga 45 minit dari bulatan sompoton pekan Tambunan kita akan di puncak bukit yang ada menara tinjau sinurambi ini. Bukit ini tinggi ditambah pula dengan menara tinjau, maknanya pemandangan dari sinurambi ini memang luas dan cantik.

Ini pemandangan dari puncak Sinurambi


Jadi jika anda ke Tambunan, banyak tempat yang bolehh dilawati, sehari tidak mencukupi untuk pusing Tambunan, elok kiranya anda bermalam sambil menikmati udara segar dari daerah ini.

Banyak hotel, chalet malah ada rumah rehat disediakan oleh Pejabat Daerah Tambunan untuk pelawat bermalam di pekan Tambunan, tak rugi berkunjung ke sini.

Antara tempat menarik di daerah Tambunan termasuklah Pisompuruan square, Air Terjun Mahua,Gunung Trusmadi, Batu Gong Kampung Solibog, Kampung tradisional Tombotuon, tugu peringatan Mat Salleh (Pahlawan Sabah) dan Laluan Garam.
air terjun Ma Hua
laluan masuk ke Gunung Alab

Alam semulajadi di laluan garam

Untuk catatan seterusnya nanti, saya akan ceritakan pengalaman berkunjung ke tempat2 menarik di daerah Tambunan seperti yang tersenarai di atas.

Moga catatan Tambunan - Sinurambi ini dapat memberi panduan kepada anda untuk menikmati sendiri destinasi dan produk pelancongan yang sangat menarik di daerah Tambunan. Pasti masih ramai orang Sabah yang belum sampai ke Tambunan kan? Jadi apa lagi, datanglah ke Tambunan. Jemputan ini juga buat anda semua, Jika ke Sabah selepas keadaan pulih seperti sediakan, pastikan Tambunan termasuk dalam destinasi pelancongan idaman anda.

- Idzham Hadi Sidik -  

LAIN MACAM AIDILFITRI 1441/2020


RAYA MAYA
TMN SERI KEMENDOR / IPOH 1 SYAWAL 1441H 

 AIDILFITRI pada tahun 1441H atau 2020M akan dikenang dalam lipatan sejarah sebagai hari raya paling ramai Imam tak bertauliah yang mengimamkan solat sunat Aidilfitri di kediaman masing-masing.

Sambutan 1 Syawal pada 1441H atau 2020M ini juga akan diingati sebagai raya dalam kurungan, raya tanpa berjabat salam, raya tanpa ziarah menziarahi, raya tanpa sanak saudara, raya tanpa balik kampung, raya tanpa rumah terbuka, raya tanpa menghulur duit raya, raya kita kita saja, raya lain macam dan kita tak boleh macam macam.

Namun setiap apa yang berlaku pada Syawal 1441H ini banyak hikmahnya, banyak pengajarannya malah banyak mendidik setiap insan untuk menghargai apa yang sedang dikecapi pada masa ini.

Ibu bapa yang pasti menanti kepulangan anak-anak dan menantu juga tak perlu lagi menjaja cerita, mendabik dada, gebang bagai dan mengepak bercerita pasal anak-anak yang berkereta besar, baru beli rumah baru, bla bla bla...

Masing masing juga tak perlu riak menggayakan kenderaan baru, perabot baru, dan segala gala yang baru yang sengaja nak diceritakan pada adik beradik lain, saudara mara dan sahabat handai semasa berada di kampung atau menziarahi sanak saudara. 

Pendek kata, banyak kebiasaan yang negatif mampu kita hindari dan tahniah kepada kita semua kerana berjaya mengamalkan norma baharu pada Aidilfitri kali ini.

Aidilfitri kali ini mengajar kita semua berdisiplin dan sentiasa mengikut peraturan yang diperintahkan oleh kerajaan serta pihak berkuasa termasuk PDRM dan ATM. Malah lebih utama kita berdisiplin dan mematuhi perintah Allah SWT.

Di kawasan perumahan mahupun di kampung kampung tiada suara kanak kanak memberi salam "Assalamualaikum..., makcik kami datang nak raya"

Kemudian enjamah seteguk air, menikmati sekeping dua biskut raya, anak-anak mohon diri meninggalkan rumah yang dikunjungi sambil bersalaman dengan tuan rumah yang pastinya akan menghulurkan sampul raya buat anak-anak itu.

Kemudian mereka meneguk segelas air sambil menikmati biskut raya, tak sampai 10 minit mereka sudah bersuara untuk meminta diri meninggalkan rumah yang dikunjungi. Mereka bersalaman dengan tuan rumah dan setiap isi rumah dan pastinya tuan rumah menghulurkan duit raya untuk anak-anak ini.

Suasana itu tidak dilihat pada raya 2020, tetapi dibeberapa lokasi masih kedengaran bunyi dentuman meriam buluh, bunyi letupan kecil mercun mercun yang entah dari mana dibeli.

Mematuhi PKPB ziarah hari raya pertama ke rumah keluarga di Chohong


Sesungguhnya Ramadan dan Syawal kali ini banyak cerita yang kita lalui, kenanglah ia sepanjang hayat, catatan ini sekadar dijadikan coretan untuk mengingati sejarah yang pernah kita lalui ini.





Coretan ini sebagai rujukan generasi yang akan datang (yang sedang membaca) untuk anda semua meneruskan kehidupan sebagai hamba Allah yang sentiasa bertaqwa.

- idzham hadi sidik -


    

CHOHONG - LUBANG BESAR ATAU KAPAL DAGANG



CHOHONG sebuah kampung yang terletak kira kira 12 kilometer dari bandar Jasin Melaka dan 7 kilometer dari bandar Tangkak Johor.

Kedudukan kampung ini memang strategik iaitu di kawasan sempadan Melaka – Johor dengan berlatar belakang Gunung Ledang.


Pelbagai cerita mengenai asal usul nama kampung Chohong diperolehi, salah satu versi adalah diceritakan oleh orang dulu-dulu, nama kampung Chohong ini berkaitan dengan lubang besar yang disebut lubang “terlohong”.

Kisah asal usul Chohong ini saya perolehi daripada Allahyarham Haji Ismail Sadin atau lebih dikenali dengan panggilan sidang Mail atau Alang Anyil atau Tok Alang.

Satu lagi versi dan digunakan pakai mengenai asal usul kampung Chohong ini ialah berkaitan dengan kapal dagang yang namanya “Chu Hong”.

Ceritanya, pada masa dahulu Sungai Kesang yang terletak di Chohong memang besar dan digunakan untuk urusan pengangkutan serta perdagangan.

Sungai Kesang yang memisahkan Kampung Chohong (Melaka) dan Kampung Sialang di Tangkak (Johor) merupakan salah satu lokasi perdagangan yang dikunjungi ramai pedagang dari China.

Kapal Chu Hong ini adalah salah satu kapal yang sering berlabuh di sungai tersebut. Penduduk kampung pada ketika itu sering berurusan dan bila di Tanya hendak ke mana mereka akan menyebut “nak ke kapal Chu Hong”.

Lama kelamaan sebutan itu menjadi lebih ringkas, mereka akan menyebut “nak ke Chu Hong” dan kerana itulah penduduk menggelarkan kampong itu sebagai Kampung Chohong.

Tidak diketahui siapa yang mula-mula membuka kampong ini dan pada masa ini kampung Chohong semakin membangun dengan penyediaan pelbagai kemudahan awam termasuklah sekolah, masjid, balai raya serta pintu gerbang “Selamat datang Ke daerah Jasin” yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Lidah Tanah dan “Chu Hong”
Sejarah Kampung Chohong bermula kira-kira tahun 1700-an. Pada masa dahulu berlakunya penghijrahan 40 keluarga dari Pagar Ruyung. Mereka telah menyusuri Kuala Sungai Kesang sehingga ke hulu sungai. Mereka berhenti di suatu kawasan hutan belukar untuk berehat.

Akhirnya, mereka bersepakat untuk membuka perkampungan di kawasan hutan tersebut. 
Pada awalnya, kawasan yang ditebang dan dijadikan penempatan penduduk Pagar Ruyung dinamakan “Lidah Tanah”. Mereka berhijrah secara beramai-ramai dari kampung lama mereka iaitu Kampung Batu Sangkar ke penempatan baru pada abad ke 18.

Mereka berhijrah bersama-sama dengan penghulu, seorang imam, beberapa orang panglima serta pawang. Kerjasama dan usaha antara mereka untuk membuka perkampungan baru di sini membuahkan hasil dan mereka menamakan tempat ini dengan nama Lidah Tanah.

Pada awal abad ke 19, berlaku perkembangan ekonomi yang pesat ketika itu. Penduduk Pagar Ruyung telah membuka kawasan pertanian sawah padi dan hasil-hasil pertanian lain seperti sagu rumbia, ubi kayu, buah-buahan serta hasil hutan seperti rotan, damar dan lain-lain. Perkembangan ekonomi mereka bertambah pesat lagi apabila hasil usaha mereka dalam bidang pertanian dan hasil hutan dapat dipasarkan keluar.

Pada waktu itu, Melaka telah menjadi pusat perdagangan yang terkenal dan mempunyai pelabuhan bagi pedagang-pedagang dari luar. Kapal-kapal dagang pada ketika itu singgah di Sungai Kesang untuk ke pelabuhan Melaka. Terdapat sebuah kapal dagang yang selalu singgah di kawasan penempatan mereka. Kapal yang dinamakan “Chu Hong” menjadi alat perhubungan dan pengangkutan untuk penduduk menghantar hasil pertanian mereka ke tempat perdagangan di Melaka.

Setiap kali kapal dagang Chu Hong tiba di penempatan mereka, penduduk di situ akan berteriak “Kapal Chu Hong datang, Kapal Chu Hong datang.” Dari situlah, nama “Chu Hong” diambil untuk nama kampung mereka. Pada awalnya kampung ini dipanggil Kampung “Chu Hong” namun ejaannya ditukarkan sebagai “Chohong” dan akhirnya disebut Kampung Chohong. 


KISAH BATU NISAN BELIMBING
Sekitar tahun 2015, tersebar penemuan batu nisan berbentuk Belimbing di Kampung Chohong.



Maklumat daripada seorang kawan saya yang juga Ahli Arkeologi, Dr Mohd Nasaruddin Rahman,  beliau menerangkan bahawa berdasarkan kajian bersama rakan seperjuangan dari Indonesia dan Perancis, pihaknya mendapati batu nisan belimbing yang ditemui di Melaka adalah satu-satunya seumpama itu di nusantara ini.

Menurutnya, batu nisan berbentuk belimbing atau bunga lawang itu yang ditemui, diperbuat daripada batu merah atau laterit, yang disifatkan sukar untuk diukir dan mengambil tempoh yang cukup panjang.



Dalam temubual ringkas melalui panggilan telefon, Nasruddin berkata, kewujudan batu nisan belimbing ini membuktikan tamadun Melayu mula berkembang menerusi penempatan yang ada di sini.


Katanya, Jika dilihat pada ukiran batu nisan ini, menunjukkan penempatan di sini mempunyai nilai lebih tinggi dari segi teknologi kerana ukiran yang dibuat pada jarak ukuran yang agak sama.

artikel di bawah ini dipetik daripada BH online
Tinjauan mendapati, ada lebih 100 kubur lama dipercayai berusia ratusan tahun dengan pelbagai rupa bentuk batu nisan seperti puting susu dan tangan menadah doa serta kelihatan dibina menghadap arah kiblat.

Mohd Nasruddin yang juga Pengurus Besar Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), berkata pihaknya kini mula mengkaji secara mendalam bagi mendapatkan pentarikhan sebenar sesebuah tamadun yang wujud di seluruh kawasan itu.



"Penemuan batu nisan belimbing itu juga sebagai kajian sumber arkeologi bagi membantu menyokong pentarikhan baharu pengasasan Melaka yang berdasarkan manuskrip lama adalah pada tahun 1262 Masihi.


"Jika pentarikhan itu tidak kuat, ia hanya sebuah manuskrip yang boleh ditulis semula. Kita juga belum jumpa sumber arkeologi yang menyokong pentarikhan ini, jadi inilah kajian yang sedang kita usahakan,"katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Dr Zainah Ibrahim, berkata pihaknya perlu menjalankan kajian secara komprehensif bagi mengenal pasti binaan batu nisan belimbing itu mempunyai kaitan dengan kerajaan purba Melayu Melaka atau Lang Buana, berikutan belum pernah dijumpai di Semenanjung.

"Penelitian awal mendapati, empat kubur ini mempunyai bentuk ukiran batu nisan berbeza, ada yang pecahan lapan dan tujuh, dibina bersekali dengan kepok (binaan penahan pusara).

"Kita juga dapati tiada sebarang catatan pada batu nisan, jadi terlalu awal untuk mengaitkannya dengan kerajaan Lang Buana.


"Bagaimanapun ia dipercayai kubur orang beragama Islam dan ukiran halus buatan tangannya seperti dikhususkan untuk orang kenamaan atau tanda hormat kepada darjah kepemimpinan pemilik," katanya yang merancang memasang pagar di sekeliling kawasan itu bagi mengelak diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Razaki'n Abdul Rashid, 35, antara individu yang diamanahkan untuk menjaga kawasan perkuburan terbabit, mendakwa mendapat mimpi pelik selepas diarahkan membersihkan kawasan terbabit sejak bulan lalu.


Katanya, kawasan itu sebelum ini hanyalah hutan belukar dan penduduk kampung bersama wakil rakyat pernah membersihkannya tanpa mengetahui wujud perkuburan lama berusia ratusan tahun di situ.

"Saya pernah bermimpi pada malam Jumaat, seorang lelaki muda berpakaian baju kuning, ada keris cantik menunggu bersama gajah.

"Dalam mimpi itu, saya diminta menggunakan membaluti dua batu nisan di situ dengan kain kuning supaya tiada lagi gangguan sebab ramai yang jatuh sakit selepas bergotong-royong di kawasan ini," katanya yang mendakwa tiada lagi gangguan itu.

INFO:


Laterit - tanah liat merah yang terbentuk daripada pereputan batu dan terdiri daripada besi oksida dan aluminium hidroksida.

NOTA: artikel ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa

- Idzham Hadi Sidik -


JERITAN BATIN ORANG LUGU