MISI BANTUAN BANJIR PITAS

SEMANGAT ingin membantu, berkongsi rasa dukacita, mengaggih rezeki untuk sama dirasa dan tegar melaksanakan kerja sukarela mendorong 13 individu sepakat menghantar bantuan bencana banjir di Pitas mulai 18 Januari 2021.

Saya dan semua individu yang terlibat dalam misi ini pernah sama sama mengharungi cabaran Trans Borneo The Last Frontiers 2019 (TBFL) dengan menempuh laluan berliku lebih 1,200 kilometer dari Kota Kinabalu ke Lawas Sarawak menjalajah Kalimantan Utara dan kembali ke Sabah melalui Kalabakan.
peserta misi bantuan bencana banjir Pitas berkumpul di rumah Toh Puan Hajjah Rahimah sebelum berlepas ke lokasi [180121 - 0851hrs]

Pada misi banjir Pitas kali ini saya dan rakan-rakan mewakili NGO masing-masing, REACH OUT, Tough Diesel, Persatuan Bulan Sabit Merah Kota Kinabalu, Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia dan Kelab Land Rover Sabah.

Fauziah (Elma) Stephens individu bertanggungjawab mengumpulkan wang tunai daripada kenalan rapat dan orang ramai seluruh Malaysia untuk membeli barangan keperluan harian antaranya beras, minyak masak, tepung, gula, garam dan mee segera.
telur antara barangan yang dibawa ke lokasi untuk diserah kepada mangsa banjir

Alhamdulillah, sebagai Pengerusi Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia, saya mempelawa rakan2 RTM Sabah dan rakan niaga Q SureRich untuk sama sama menyumbang, hasilnya barangan keperluan diri seperti sabun mandi, berus dan ubat gigi, tuala wanita dan tisu basah dapat dibeli untuk diaggih kepada mangsa banjir.
Tuala wanita, berus gigi, ubat gigi dan sabun mandi antara barangan keperluan diri sumbangan rakan RTM Sabah

Semua peserta berlepas dari Kota Kinabalu pada pukul 10 pagi. Oleh kerana laluan Kota Kinabalu - Kota Belud ditenggelami air, konvoi bantuan banjir ini melalui jalan Tamparuli - Ranau - Marak Parak - Kota Marudu. Konvoi akhirnya sampai ke Pitas pada jam 3.49 petang.
konvoi 4x4 ke Pitas melalui Jalan Tamparuli - Ranau - Kota Marudu - Pitas.

TBLF 2019 Group sukarelawan misi bantuan banjir Pitas

Sebaik tiba di Pitas, sukarelawan bergerak ke Kampung Andab untuk menghantar bantuan yang dibawa sebelum diaggihkan kepada penduduk kampung Kg. Andap, Kg Ladap, Kg Gambir, Kg Kambalang dan Kg Kinagoh..

pekan Pitas sunyi sepi selepas banjir

Selain konvoi 7 pacuan empat roda (4x4), sebuah lori 7 tan turut digunakan untuk membawa barangan bantuan.

Dari pekan Pitas, kami terus masuk ke kampung Andab melalui jalan Kampung Babau Katabasan Laut. 500 meter pertama konvoi bergerak lancar, namun memasuki jarak 1 kilometer dari jalan besar, lori yang digunakan terbenam di dalam lumpur pada jalan tak berturap.

lori membawa barangan bantuan tenggelam di dalam lumpur

Disinilah sukarelawan berpadu tenaga mengerah kudrat berusaha mengatasi masalah yang sedang dihadapi. Tiada langsung rungutan, tak berbunyi ayat salah menyalah antara satu sama lain, sebaliknya mereka tahu tugas masing masing.

Lori ditarik oleh kenderaan pacuan empat roda milil white, namun gagal. Cuba lagi, kali ini 3 pacuan empat roda digunakan untuk menarik lori yang suda sengget akibat tayar belakang sebelah kanan sudah tenggelam dilumpur.
usaha menarik lori yang terbenan di lumpur menggunakan 3 kenderaan pacuan 4 roda
Usaha ini juga gagal. Langkah seterusnya mengeluarkan barang2 bantuan yang dimuatkan di dalam lori untuk menjadikan kenderaan itu lebih ringan dan boleh ditarik keluar dari lumpur. 

semua muatan dalam lori dikeluarkan

Tindakan ini berjaya menarik keluar lori yang terbenam. Semua barang2 dimuatkan dalam kenderaan penduduk kampung yang datang beramai ramai membantu. Dalam masa sejam semua kerja memindahkan barang barang dapat diselesaikan.
selesai memindahkan barangan bantuan dari lori ke kenderaan penduduk kampung

Dalam cuaca hujan dan keadaan mulai gelap perjalananan ke kampung Andab diteruskan demi untuk menyampaikan bantuan antaranya 235 kampit beras dan lain lain keperluan harian dan kelengkapan kebersihan diri.

Sekitar jam 7.38 malam semua barangan dapat diserahkan kepada penduduk kampung. Alangkah terharu apabila kami dimaklumkan mereka sebenarnya menunggu kehadiran sukarelawan sejak pagi.

Ada di kalangan penduduk yang gigih berjalan kaki lebih setengah hari dari kampung masing masing ke kampung Andab untuk mendapatkan barangan bantuan yang kami bawa.
Ucapan terima kasih saya sampaikan daripada penerima bantuan kepada setiap individu yang menyumbang dalam misi bantuan bencana banjir Pitas ini. Semoga rezeki anda akan diperluaskan lagi. 
Idzham Hadi Sidik
Pengerusi
Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia [190121]








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

JERITAN BATIN ORANG LUGU