MINTA NYAWA - Misi kemanusiaan Aceh 2004


 Balik Hari Medan – Aceh – Medan

Berani kerana benar, Takut kerana salah,

 “MAU KE MANA YA PAK… “ nada tegas dan Garang, sergah seorang anggota tentera Indonesia di kawasan Bandara Sultan Iskandar Muda Aceh, kepada kumpulan kami yang memasuki kawasan larangan itu dalam keadaan tergesa gesa dek bimbang ketinggalan pesawat TUDM yang kami tumpang awal pagi tadi.

Muncung senapang betul-betul menghala ke arah kami, nyawa kami ibarat telur di hujung tanduk ketika itu, kecut perut bukan kepalang, mujur tak terkencing dalam seluar. Saya memberanikan diri seraya berkata kepada anggota tentera berkenaan.

“Maaf Tuan… eh Maaf Pak, kami dari Malaysia maksud saya relawan dari Malaysia yang menyertai Misi Kemanusiaan Tsunami Aceh. Kami ke sini menumpang pesawat Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) dan sekarang kami mencari anggota TUDM untuk kami kembali semula ke Medan, ini surat sukarelawan kami Pak,” saya menjelaskan.

“Maaf Pak, ini kawasan larangan… kalau begitu Bapak tunggu di sini dan saya akan infokan kepada anggota TUDM bahawa bapak – bapak semua menunggu di sini, tunggu ya Pak. Oh saya bagi pihak pemerintah Indonesia juga mengucapkan terima kasih kerana datang membantu misi peduli Aceh,” anggota itu bersuara dengan sopan dan baik.

Fuhhh… Syukur Alhamdulillah. Jadi inilah pentingnya persiapan mental dan fizikal serta komunikasi yang baik dalam menyertai misi kemanusiaan lebih-lebih lagi di kawasan bencana yang banyak tempat larangan.

Surat pengesahan daripada NGO serta tag nama yang menjelaskan tujuan serta misi yang disertai juga perlu ada dan digantung pada leher atau disemat pada badan untuk membuktikan kehadiran kita ke lokasi bencana, tujuan untuk membantu dalam misi sukarelawan.

Lebih baik jika ada surat daripada pihak kedutaan atau Konsul Jeneral Malaysia yang mengesahkan kita dari NGO sedang melaksanakan kerja kerja sukarela untuk membantu mangsa bencana di sesuatu negara. Bahasa kasarnya jangan main redah je

Sebaik pesawat TUDM berlepas gambar pegun dan video terus kami rakam dari udara, sayu hati melihat kehancuran, kerosakkan dan kemusnahan bandar Aceh akibat bencana ombak besar tsunami.

 


 Berat mata memandang, Berat lagi bahu memikul, 

Walaupun dalam tempoh hanya beberapa jam kami dibumi Aceh, namun pelbagai info dapat kami kumpulkan untuk panduan dan maklumat kepada MGBM dan MAYC serta lain-lain NGO yang hendak melaksanakan misi kemanusiaan Aceh selepas ini.

Dalam pesawat TUDM menuju ke Medan ada beberapa mangsa tsunami yang turut sama menyertai penerbangan itu, tujuan mereka adalah untuk mendapatkan rawatan selain menumpang di rumah saudara mara mereka di Medan dan daerah sekitar berikutan mereka kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Sempat menyapa dan bertanya mengenai peristiwa yang mereka alami, ternyata beberapa Wanita dan lelaki dalam lingkungan usia 15 hingga 40 tahun itu masih trauma dan tidak dapat menceritakan saat-saat getir bagaimana terselamat, cuma yang keluar dari mulut mereka hanyalah, kejadian itu berlaku sekelip mata, ombak sangat besar dan air menerjah amat laju.

“Kami menyelamatkan diri masing-masing, suasananya ibarat kiamat, seperti yang diceritakan oleh ustaz-ustaz melalui terjemahan al-quran dan ceramah ceramah agama yang sering kami ikuti di madrasah serta masjid sekitar Aceh,” jelas seorang mangsa tsunami dalam pesawat itu.

Penerbangan balik ke Medan mengambil masa kira-kira 2 jam, sebaik mendarat di Bandara Polonia, saya mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada semua krew TUDM yang menumpangkan kami pergi balik dari Medan ke Aceh.

Dengan penerbangan TUDM itu secara tak langsung ia memudahkan kerja kami selain menjimatkan kos tambang pesawat selain keselamatan kami terjamin sepanjang menumpang pengangkutan TUDM yang sama sama menyertai misi kemanusiaan tsunami Aceh.

Sebagai panduan, bagi orang awam yang hendak menumpang pesawat TUDM beberapa peraturan perlu dipatuhi, antaranya setiap penumpang perlu melapor diri kepada pihak TUDM terlebih dahulu dan membuat permohonan.

Jika diluluskan, penumpang perlu mengisi borang yang disediakan oleh pihak TUDM dan antara syaratnya, penumpang yang menaiki pesawat TUDM adalah tertakluk kepada undang-undang yang ditetapkan.

Penumpang yang sudah menandatangani borang hendaklah faham bahawa pihak TUDM tidak akan bertanggungjawabb jika berlaku kemalangan sebelum, semasa dan selepas menumpang pesawat itu.

Bulat air kerana pembentung, Bulat kata kerana muafakat,

Syukur, misi mendapatkan informasi bencana tsunami di bandar Aceh dapat dilaksanakan walupun berada di bumi serambi Mekah itu hanya kira-kira 5 jam tetapi pelbagai maklumat berjaya dikumpul untuk misi yang lebih besar dalam usaha membantu mangsa bencana.

18 hari selepas tsunami melanda Aceh, kami dah sampai di lokasi, namun pada masa sama ramai juga di antara rakan-rakan yang berada lebih awal di Aceh dengan menumpang pelbagai misi kemanusiaan antaranya menaiki kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan lain-lain.

Kita tahu, bantuan awal telah diagih kepada mangsa tsunami, kerana itu matlamat misi kami adalah untuk bantuan jangka masa panjang kerana kita melihat kemusnahan dan kehancuran Aceh akan mengambil masa untuk dibangunkan semula.

Mangsa tsunami bukan hanya ditempatkan di pusat pemindahan sementara sekitar Aceh, namun banyak pusat penempatan sementara di buka di Medan, yang cedera juga ramai di bawa ke hospital-hospital di wilayah lain yang mempunyai kemudahan asas.

Kerana itu, kami juga mengambil masa dan peluang untuk melihat sendiri mangsa tsunami di sekitar Medan baik di hospital mahupun di pusat pusat penempatan sementara yang dibuka oleh pemerintah Indonesia atau NGO negara terbabit.

Tengku Mira Sinar banyak membantu ketika kami berada di Medan, banyak tempat dan pusat penempatan sementara mangsa tsunami yang kami kunjungi hasil informasi beliau, tak semua pusat penempatan sementara yang sempurna, kebanyakan pusat penempatan sementara itu dilihat agak padat dan tidak selesa.

Tetapi itu yang termampu disediakan, bantuan makanan, pakaian sememangnya banyak disumbangkan oleh pelbagai pihak, namun dari segi keselesaan agak kurang kerana mereka yang menumpang terlalu ramai.

Di hospital pula, ramai mangsa cedera menerima rawatan, yang cukup diingati adalah  seorang kanak-kanak dilihat kudung kaki kanan. Ketika ditanya apa puncanya, kanak - kanak itu menjawab dia sendiri tidak sedar apa yang berlaku.

“Saya dihanyutkan air, beberapa kali saya tenggelam timbul dan tercunggap cunggap melawan arus, saya berpaut pada kayu yang turut hanyut dan apabila saya terdampar di tanah, saya sedar bahagian kaki saya hingga ke lutut dah hilang”, ceritanya sayu.

 

Misi pertama ke serambi Mekah, kisah balik hari Medan – Aceh – Medan kami tamatkan pada 14 Januari 2005. Gambar, video dan maklumat kami bawa pulang untuk mengajak lebih ramai kawan-kawan untuk membantu.

                                                al-Fatihah buat Allahyarham Yaakub bin Nyat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

AIR SOYA & TAUFUFAH BUDAK TIUT