TG ATIAM - TITIK TIMUR MALAYSIA
JAM 5.48 petang (9 - 12 November 2025) telah berkumandang azan menandakan masuk waktu solat maghrib dan waktu berbuka puasa bagi Zon 3 - Lahad Datu, Kunak, Silabukan, Sahabat dan Semporna di negeri Sabah.
Inilah lokasi waktu berbuka puasa dan waktu azan subuh pertama yang berkumandang di Malaysia, lokasinya di Kampung Tanjung Atiam, Lahad Datu Sabah. Ini cerita dan faktanya
Titik paling timur Malaysia mewarnai catatan saya kali ini dalam siri jelajah negeri Sabah. Tanjung Atiam terletak di dalam daerah Lahad Datu dan jaraknya kira-kira 150 kilometer dari bandar Lahad Datu.
Tanjung Atiam diiktiraf sebagi titik paling timur Malaysia, sila lihat peta Sabah dan anda akan dapati kedudukan Tanjung Atiam ini betul betul pada bahagian hidung peta negeri Sabah.
Pada bahagian tanduk terletaknya daerah Kudat, Sandakan berkedudukan pada bahagian atas hidung, Lahad Datu pula kedudukanya di bawah hidung atau di dalam mulut manakala Semporna pada dagu dan lokasi daerah Tawau umpama di bahagian bawah dagu.
Tanjung Atiam atau catatan di dalam google maps sebagai kampung Ateamu terletak di mukim tambisan, Daerah Tungku Lahad Datu, Sabah. lokasi yang terletak di kawasan paling timur peta sabah ini bagaimanapun tidak berpenghuni.
Destinasi ini saya kunjungi bersama sama krew RTM Sabah pada 2019, ketika bulan Ramadan dan sudah tentu kami dapat merasai menjadi orang pertama di Malaysia berbuka puasa.
Waktu imsak di Tg Atiam Lahad Datu pada ketika itu adalah pukul 4.23 pagi manakala waktu berbuka puasa di kawasan tersebut pada Ramadan 1440h/2019 adalah pada pukul 6.13 minit petang.
Perjalanan
ke Tanjung Atiam ini melalui jalan utama Felda Sahabat kemudiannya akan
memasuki estate yang memerlukan kebenaran untuk memasukinya kerana ia adalah
Kawasan persendirian.
Suka diingatkan bahawa Tanjung Atiam ini bukanlah destinasi pelancongan yang popular kerana kedudukannya jauh di kawasan pedalaman dan tiada kemudahan asas di situ.
Bagaimanapun jika lokasi ini ingin dimajukan sebagai destinasi pelancongan, kemudahan asas seperti jalanraya berturap perlu dibuat untuk memudahkan orang ramai sampai ke situ.
Tumbuhan herba, hidupan liar dan pemandangan pantai pemisah antara laut Sulu dan laut Sulawesi menjanjikan fenomena yang cukup mengkagumkan terutamanya pada masa matahari terbit.
Berdekatan
Tg Atiam, terdapat beberapa buah kampung yang berpenghuni, paling hampir adalah
kampung Tagupi Laut. Penduduk Tagupi Laut adalah di kalangan suku kaum Suluk
dan mereka telah menghuni kawasan persisir pantai itu sejak 50 tahun lalu.
Kegiatan ekonomi mereka adalah bergantung kepada hasil laut dan berkebun, hasil laut akan dijual kepada pemborong.
Berbeza dengan Tg Atiam, kampung Tagupi mempunyai kemudahan seperti sekolah dan pusat kegiatan masyarakat yang didirikan oleh kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO)..
Bagi
penduduk kg Talupi Laut yang berdekatan dengan Tg Atiam mereka sebenarnya tidak
menyedari bahawa mereka adalah penghuni di tanah paling timur negara. Apabila
diberitahu mereka sangat teruja dan bangga kerana menjadi salah seorang rakyat Malaysia
yang menerima cahaya matahari paling awal di negara ini.
Pada 2013, ops daulat yang dilancarkan di Tanduo dan sekitar Tg Labian telah tercatat sebagai sejarah hitam negara. Tg Atiam yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Tg Labian melalui pantai turut menjadi kawasan operasi.
Terlalu
banyak khazanah dan rahsia masih belum dirungkai di Tg Atiam ini. kisah kapal
jepun karam di perairan Tg Atiam juga masih menjadi tanda tanya.
Kembara ke Tanjung Atiam, Titik Paling Timur Malaysia ini menjadi memori indah dan saya percaya tidak ramai yang sampai ke sini. Lengkap destinasi “paling hujung” di Malaysia saya jelajah, pertama Tanjung Piai (Pontian) iaitu tanah paling penghujung Benua Asia dan kedua adalah Simpang Mengayau Kudat yang diiktiraf sebagai Tip of Borneo, serta titik paling tengah Semenanjung Malaysia di Temerloh.

Terus ketahui kembara saya ke seluruh negeri Sabah dan jika anda berminat mengikuiti catatan saya, dapatkan buku “Destinasi Tersembunyi Sabah” yang boleh dipesan secara atas talian atau membeli di kedai buku seluruh negara.









Tiada ulasan:
Catat Ulasan