BERAT SAMA DIPIKUL - NGO BERGABUNG BANTU MALALAK (Hari 3 - 31/12/25)
![]() |
| GABUNGAN NGO MALAYSIA - SFWDA, 4X4 LIMA BRAVO & LYNA SENAM TARI |
BERGABUNG pada hari terakhir 2025, menjadi aktiviti kemuncak tiga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam misi kemanusiaan bantuan kecemasan bencana banjir bandang di Kabupaten Agam Sumatera Barat.
Skuad Bencana Selangor Persatuan Pacuan Empat Roda Negeri Selangor (SFWDA), Kelab Sukan 4x4 Lima Bravo (4x4 - 5 Bravo) dan Lyna Senam Tari berganding bahu menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir bandang di Toboh Tangah, Malalak Timur.
Info mengenai Pasukan Lyna Senam Tari akan bergabung dalam misi ini disampaikan oleh Pengerusi SFWDA, Rody Sofian Buang pada malam ke-2 ketika kami tiba dari Tanah Datar selepas meninjau keadaan banjir bandang di sana.
Menurut Rody pasukan yang diketuai Cikgu Lyna itu disertai tiga lagi anggota kesemuanya wanita. Mereka membawa sumbangan hasil dana sumbangan orang ramai yang prihatin dengan kedukaan masyarakat Sumatera Barat akibat musibah tersebut.
Melalui dana itu, pelbagai barangan keperluan harian dapat dibeli di Kota Bukit Tinggi, antaranya mee segera, gula, biskut dan beras.
Misi pada 31 Disember 2025 itu bermula seawal pukul 6.30 pagi. Kami memulakan perjalanan dari Kota Bukit Tinggi menuju ke Kabupaten Agam lebih awal untuk mengelakkan kesesakkan jalan raya berikutan laluan berhampiran lembah anai ditutup pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari.
Ini disebabkan laluan utama Padang ke Bukit Tinggi itu ditutup untuk pihak bertanggungjawab melaksanakan kerja kerja pembaikkan akibat tanah runtuh kesan amukkan banjir bandang Sumatera Barat.
Alhamdulillah, Lembah Anai dapat kami lintas sebelum pukul 8.00 pagi. Sebelum meneruskan perjalanan kami singgah sarapan sebelum menyambung perjalanan ke Malalak Timur Kabupaten Agam.
Lontong, bihun sup, serabi dan teh telor selain kopi O menjadi pilihan kami 15 sukarelawan termasuk empat pemandu dari Padang yang bersama sama kami dalam misi bantuan masuk hari ke-3 itu.
Selesai menikmati sarapan dengan harga yang amat berpatutan, kami meneruskan perjalanan dan di sepanjang laluan tersebut dapatt kami lihat jemuran kayu manis dan padi di kaki lima jalanraya
![]() |
| Teh Telo |
Sementara menunggu ketibaan Bapak Fadli kami meninjau persiapan pada bahagian penyimpanan makanan kering untuk kerja kerja memasak makan tengahari bagi agihan kepada pengungsi dan petugas banjir bandang.
Sebaik sahaja Bapak Fadli tiba, kami mendengar taklimat dariapada beliau berkaitan aktiviti yang akan kami laksanakan pada hari itu. Pertama kami akan menyampaikan sumbangan sembako (bungkusan bakul makanan) kepada setiap mangsa bencana di kediaman masing-masing.
Selesai agihan, kami ditugaskan untuk membantu kerja gotong royong di lokasi dan selepas itu, kami akan balik semula ke kantor camat untuk membantu kerja kerja memasak makanan tengahari.
Syukur, semua jadual dan perancangan yang diatur dapat dilaksanakan dengan baik. Cuaca turut menyebelahi kami. Setiap inci tanah Malalak Timur yang terkena banjir bandang dapat kami lihat bukan sahaja dengan mata tapi dengan hati.
Semua kerja kerja dapat diselesaikan pada kira-kira pukul 3.00 petang. Sebelum meninggalkan kantor Camat Malalak, kami menyerahkan sumbangan tunai kepada Bapak Fadli untuk kegunaan pengurusan sukarelawan di situ.
Misi ini tidak berakhir di situ, banyak lagi bantuan yang diperlukan oleh mereka antaranya mesin air @ water jet, drone untuk kerja kerja pemantauan serta bekalan air bersih yang dianggarkan kos keseluruhan berjumlah RM50,000.
InshaAllah jika ada ihsan daripada anda semua atau syarikat swasta yang ingin membantu, projek pembekalan air bersih boleh dilaksanakan di Kecamatan Malalak bagi membantu masyarakat menersukan kehidupan dengan lebih baik.
Team kami menuju ke Kota Padang manakala, Team Lyna Senam Tari bergerak semula ke Bukit Tinggi untuk meneruskan misi kemanusiaan di lokasi lain pula. Kami tiba di Kota Padang kira-kira pukul 4.30 petang.
Misi Kemanusiaan Bantuan Kecemasan Bencana Banjir Bandang di Sumatera Barat berakhir pada 1 Januari 2025. Kami berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 1150 pagi (WIB) menggunakan pesawat komersial dengan no penerbangan AK407 dan selamat mendarat di KLIA2 pukul 2.10 petang.
Jumpa lagi pada misi seterusnya


.jpeg)



.jpeg)
.jpeg)

.jpeg)




Tiada ulasan:
Catat Ulasan