BERBUKA PUASA PALING AWAL DI MALAYSIA

 TG ATIAM - TITIK TIMUR MALAYSIA

JAM 5.48 petang (9 - 12 November 2025) telah berkumandang azan menandakan masuk waktu solat maghrib dan waktu berbuka puasa bagi Zon 3 - Lahad Datu, Kunak, Silabukan, Sahabat dan Semporna di negeri Sabah.

Inilah lokasi waktu berbuka puasa dan waktu azan subuh pertama yang berkumandang di Malaysia, lokasinya di Kampung Tanjung Atiam, Lahad Datu Sabah. Ini cerita dan faktanya

Titik paling timur Malaysia mewarnai catatan saya kali ini dalam siri jelajah negeri Sabah. Tanjung Atiam terletak di dalam daerah Lahad Datu dan jaraknya kira-kira 150 kilometer dari bandar Lahad Datu.

Tanjung Atiam diiktiraf sebagi titik paling timur Malaysia, sila lihat peta Sabah dan anda akan dapati kedudukan Tanjung Atiam ini betul betul pada bahagian hidung peta negeri Sabah.

Pada bahagian tanduk terletaknya daerah Kudat, Sandakan berkedudukan  pada bahagian atas hidung, Lahad Datu pula  kedudukanya di bawah hidung atau di dalam mulut manakala Semporna pada dagu dan lokasi daerah Tawau umpama di bahagian bawah dagu.

Tanjung Atiam atau catatan di dalam google maps sebagai kampung  Ateamu terletak di mukim tambisan, Daerah Tungku Lahad Datu, Sabah. lokasi yang  terletak di kawasan paling timur peta sabah ini bagaimanapun tidak berpenghuni.

Destinasi ini saya kunjungi bersama sama krew RTM Sabah pada 2019, ketika bulan Ramadan dan sudah tentu kami dapat merasai menjadi orang pertama di Malaysia berbuka puasa. 

Waktu imsak di Tg Atiam Lahad Datu pada ketika itu adalah pukul 4.23 pagi manakala waktu berbuka puasa di kawasan tersebut pada Ramadan 1440h/2019 adalah pada pukul 6.13 minit petang. 

Perjalanan ke Tanjung Atiam ini melalui jalan utama Felda Sahabat kemudiannya akan memasuki estate yang memerlukan kebenaran untuk memasukinya kerana ia adalah Kawasan persendirian.

Suka diingatkan bahawa Tanjung Atiam ini bukanlah destinasi pelancongan yang popular kerana kedudukannya jauh di kawasan pedalaman dan tiada kemudahan asas di situ.

Bagaimanapun jika lokasi ini ingin dimajukan sebagai destinasi pelancongan, kemudahan asas seperti jalanraya berturap perlu dibuat untuk memudahkan orang ramai sampai ke situ.

Tanpa jalanraya yang baik sudah pasti pengunjung akan berfikir berkali kali sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan yang mempunyai keunikkan tersendiri ini.

Tumbuhan herba, hidupan liar dan pemandangan pantai pemisah antara laut Sulu dan laut Sulawesi menjanjikan fenomena yang cukup mengkagumkan terutamanya pada masa matahari terbit. 

Berdekatan Tg Atiam, terdapat beberapa buah kampung yang berpenghuni, paling hampir adalah kampung Tagupi Laut. Penduduk Tagupi Laut adalah di kalangan suku kaum Suluk dan mereka telah menghuni kawasan persisir pantai itu sejak 50 tahun lalu.

 Kebanyakan mereka adalah bersaudara, mereka saling hidup bekerjasama dan bersatu hati, jika ada berselisih faham, mereka akan segera meleraikan.

Kegiatan ekonomi mereka adalah bergantung kepada hasil laut dan berkebun, hasil laut akan dijual kepada pemborong. 

Berbeza dengan Tg Atiam, kampung Tagupi mempunyai kemudahan seperti sekolah dan pusat kegiatan masyarakat yang didirikan oleh kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).. 

Bagi penduduk kg Talupi Laut yang berdekatan dengan Tg Atiam mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa mereka adalah penghuni di tanah paling timur negara. Apabila diberitahu mereka sangat teruja dan bangga kerana menjadi salah seorang rakyat Malaysia yang menerima cahaya matahari paling awal di negara ini.




Pada 2013, ops daulat yang dilancarkan di Tanduo dan sekitar Tg Labian telah tercatat sebagai sejarah hitam negara. Tg Atiam yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Tg Labian melalui pantai turut menjadi kawasan operasi. 

Terlalu banyak khazanah dan rahsia masih belum dirungkai di Tg Atiam ini. kisah kapal jepun karam di perairan Tg Atiam juga masih menjadi tanda tanya.

Kembara ke Tanjung Atiam, Titik Paling Timur Malaysia ini menjadi memori indah dan saya percaya tidak ramai yang sampai ke sini. Lengkap destinasi “paling hujung” di Malaysia saya jelajah, pertama Tanjung Piai (Pontian) iaitu tanah paling penghujung Benua Asia dan kedua adalah Simpang Mengayau Kudat yang diiktiraf sebagai Tip of Borneo, serta titik paling tengah Semenanjung Malaysia di Temerloh.


Terus ketahui kembara saya ke seluruh negeri Sabah dan jika anda berminat mengikuiti catatan saya, dapatkan buku “Destinasi Tersembunyi Sabah” yang boleh dipesan secara atas talian atau membeli di kedai buku seluruh negara.

 

-ihs.0km-




SEBATIK - Harmoni Malaysia Indonesia

 1 PULAU 2 NEGARA

                 Pulau Sebatik terbahagi 2 antara Malaysia & Indonesia

SATU Pulau milik dua negara, mengetahui keunikan pulau itu membuatkan saya  teruja untuk menjejakkan kaki ke Pulau Sebatik, lokasinya di Pantai Timur kepulauan Borneo atau lebih tepat lagi berdekatan dengan bandar Tawau, Sabah

Jarak Pulau Sebatik dari bandar Tawau hanya 8 km sahaja, ia dipisahkan oleh Telok Cowie. Dengan menaiki bot yang mengambil masa 20 minit dari jeti Tawau ke jeti Kampung Sungai Tongkang.

Telok Cowie, mengingatkan kita tentang satu tragedi kemalangan sebuah pesawat Caribou TUDM dalam tahun 1970 yang mengorbankan 11 orang tentera termasuk juruterbangnya.

Alhamdulillah, untuk ke Pulau Sebatik, saya dibantu oleh penduduk tempatan iaitu saudara Arbain, beliau adalah pengendali bot di Kg Sg Tongkang, manakala seorang lagi kenalan iaitu Encik Mohd Zikri seorang peladang, penternak dan nelayan di Kg Sg Melayu Pulau Sebatik.

Mereka berdua adalah antara 25,000 penduduk Pulau Sebatik, sebuah pulau unik berdepan dengan bandar Tawau, pulau yang bergarisan sempadan sangat lurus, di tadbir dan dimiliki dua negara berjiran Malaysia dan Indonesia.

Pulau Sebatik secara keseluruhannya berkeluasan 433.84 kilometer persegi. Pulau Sebatik milik Malaysia luasnya 187.23 kilometer persegi manakala Pulau Sebatik di wilayah Indonesia pula berkeluasan 246.61 kilometer persegi.

                 Saudara Mohd Zikri (tengah) membawa kami ke Pulau Sebatik

Terdapat 15 kampung di Pulau Sebatik dalam wilayah Malaysia, di sebelah utara adalah Wallace Bay, di bahagian tengah kampung Sungai Tongkang manakala paling Selatan di Pulau Sebatik adalah kampung Sungai Melayu.

Daripada jumlah itu terdapat 3 kampung yang terletak betul2 di garisan sempadan Malaysia – Indonesia. Kampung tersebut ialah Kampung Sungai Melayu, Kampung Sungai Aji Kuning dan Kampung Sg Limau.

Bagaimanapun dari Kampung Sungai Melayu ke Kg Sg Tongkang dan seterusnya ke Wallace Bay hanya laluan laut saja yang boleh digunakan berikutan jaluran jalan raya yang menghubungkan antara kampung tersebut tidak tersedia, yang ada jalan berturap hanyalah  menghubungkan Wallace Bay dengan kampung Sg Tongkang dengan jarak  25 kilometer atau 30 minit masa perjalanan.



    Kawasan sempadan sebelah tanah Indonesia yang dikawal oleh TNI 

Wallace Bay ada sejarah tersendiri dan dipercayai menjadi penempatan awal Pulau Sebatik. Insfrastruktur di Pulau Sebatik yang disediakan oleh kerajaan, belum dapat menjangkau ke seluruh 14 kampung di pulau ini.

Sekolah Kebangsaan, masjid, klinik kesihatan, jalan raya, balai polis, pusat kegiatan masyarakat, kemudahan sukan disediakan di beberapa kampung sahaja manakala yang lain masih dalam proses perancangan.

Kemudahan elektrik dengan saluran kabel dasar laut telah disediakan tetapi ia masih belum dapat menampung ke semua kampung di Pulau Sebatik. Begitu juga dengan bekalan air, air bersih hanya dapat disalur dibeberapa kampung melalaui loji air di Wallace Bay.

Kawasan sempadan dua negara di Pulau Sebatik mempunyai keunikan tersendiri, di Kampung Sungai Melayu, tiga batang pokok mangga di tanah Mohd Zikri menjadi penanda.

           Pokok mangga (belakang) menjadi penanda sempadan 

     
         Tugu Garuda Pulau Sebatik di tanah milik Indonesia

Bagaimanapun, pencarian kawasan sempadan pada google map menunjukkan kawasan sempadan sebenarnya terletak kira-kira 100 meter dari kawasan mangga tiga batang, masuk ke bahagian Indonesia

Terus menelusiri kawasan sempadan Malaysia – Indonesia di Pulau Sebatik, destinasi seterusnya adalah Kampung Sg Aji Kuning. Untuk ziarah sebuah rumah penduduk yang berkedudukan bahagian depan atau serambi pada tanah Indonesia manakala bahadian dapur di wilayah Malaysia, kami perlu melapor diri di Pos kawalan Tentera Nasional Indonesia (Angkatan Darat).

Kedudukan rumah ini sememangnya sudah tular di media sosial yang kebanyakkannya diterbitkan oleh pengamal media sosial Indonesia, bagi Anuar kedudukan rumahnya itu memang unik. Dalam soal hubungan dengan warga Indonesia di kampung itu, Anuar mengakui dia sekeluarga hidup harmoni dan sentiasa bekerjasama dengan penduduk serta pihak berkuasa.

  UNIK... Dapur Malaysia, serambi Indonesia rumah di Pulau Sebatik

Berikutan kedudukan Kg Sg Aji Kuning dan Kg Sg Melayu yang sangat berhampiran dengan tanah Indonesia, penduduk di sini menumpang ihsan kemudahan yang disediakan pemerintah Indonesia, termasuklah solat Jemaah dan solat Jumaat di masjid, menggunakan jalan raya negara jiran dan ada di kalangan anak-anak di kampung ini bersekolah di sekolah dalam pentadbiran Indonesia.

Realiti di Kampung Sungai Melayu dan Kampung Sungai Aji Kuning Pulau Sebatik ini, sama sekali berbeza dengan apa yang sering dipaparkan oleh Pengamal Media Indonesia yang memuji tahap kemajuan Pulau Sebatik Malaysia berbanding Pulau Sebatik Indonesia.

Pengamal Media sosial Indonesia sebenarnya membandingkan kemajuan di bandar Tawau berbanding dengan Pulau Sebatik wilayah Indonesia, memang di akui Tawau lebih membangun daripada Pulau Sebatik, Nunukan dan Tarakan dalam tanah Indonesia.

Hakikatnya pembangunan Pulau Sebatik di wilayah Indonesia lebih terkehadapan selepas lawatan Presiden Indonesia pada 2014 ke Sg Nyamuk.

Melalui perairan negara, setiap bot diwajibkan untuk melapor diri kepada pasukan yang bertugas seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Kawalan keselamatan di perairan negara termasuk di Teluk Cowie, sungai sungai yang sering digunakan penduduk untuk berulang alik diutamakan, bagaimanapun pos kawalan di kawasan sempadan seperti di Kampung Sg Aji Kuning dan Kg Melayu tidak disediakan oleh pihak berkuasa negara. 

Walaupun penduduk setempat di kawasan sempadan Malaysia – Indonesia sentiasa hidup dalam harmoni dan sentiasa damai. Tetapi soal kedaulatan negara di sempadan perlu diberi perhatian.

Untuk memastikan tanah milik negara seinci pun tidak diceroboh, kerajaan mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk memajukan kawasan sempadan di Pulau Sebatik terutamanya di kampung Sungai Melayu.

Dengan keunikan sebagai sebuah pulau yang terletak dalam 2 negara, Pulau Sebatik berpotensi untuk tarikan pelancong. Di sebelah Indonesia, ada tugu perbatasan atau tugu sempadan yang dibina. Tak mustahil di sebelah Malaysia terutamanya di kampung Sg Melayu dan Sg Aji Kuning juga perlu dibina mercu tanda sempadan 2 negara.

Penduduk Pulau Sebatik akan terus mengharap pembangunan di pulau itu menjadi kenyataan, jika tidak sehebat Tawau, standing dengan Pulau Sebatik di seberang sudah memadai.

Dengan pembangunan dan keprihatinan terhadap pulau unik ini Kedaulatan Pulau Sebatik di bahagian Malaysia akan terjamin, malah penduduk dikedua-dua negara akan terus harmoni. Pulau Sebatik… 1 Pulau 2 Negara, Pulau sepakat Malaysia – Indonesia sejahtera selamanya 

- ihs.0km -


MINTA NYAWA - Misi kemanusiaan Aceh 2004


 Balik Hari Medan – Aceh – Medan

Berani kerana benar, Takut kerana salah,

 “MAU KE MANA YA PAK… “ nada tegas dan Garang, sergah seorang anggota tentera Indonesia di kawasan Bandara Sultan Iskandar Muda Aceh, kepada kumpulan kami yang memasuki kawasan larangan itu dalam keadaan tergesa gesa dek bimbang ketinggalan pesawat TUDM yang kami tumpang awal pagi tadi.

Muncung senapang betul-betul menghala ke arah kami, nyawa kami ibarat telur di hujung tanduk ketika itu, kecut perut bukan kepalang, mujur tak terkencing dalam seluar. Saya memberanikan diri seraya berkata kepada anggota tentera berkenaan.

“Maaf Tuan… eh Maaf Pak, kami dari Malaysia maksud saya relawan dari Malaysia yang menyertai Misi Kemanusiaan Tsunami Aceh. Kami ke sini menumpang pesawat Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) dan sekarang kami mencari anggota TUDM untuk kami kembali semula ke Medan, ini surat sukarelawan kami Pak,” saya menjelaskan.

“Maaf Pak, ini kawasan larangan… kalau begitu Bapak tunggu di sini dan saya akan infokan kepada anggota TUDM bahawa bapak – bapak semua menunggu di sini, tunggu ya Pak. Oh saya bagi pihak pemerintah Indonesia juga mengucapkan terima kasih kerana datang membantu misi peduli Aceh,” anggota itu bersuara dengan sopan dan baik.

Fuhhh… Syukur Alhamdulillah. Jadi inilah pentingnya persiapan mental dan fizikal serta komunikasi yang baik dalam menyertai misi kemanusiaan lebih-lebih lagi di kawasan bencana yang banyak tempat larangan.

Surat pengesahan daripada NGO serta tag nama yang menjelaskan tujuan serta misi yang disertai juga perlu ada dan digantung pada leher atau disemat pada badan untuk membuktikan kehadiran kita ke lokasi bencana, tujuan untuk membantu dalam misi sukarelawan.

Lebih baik jika ada surat daripada pihak kedutaan atau Konsul Jeneral Malaysia yang mengesahkan kita dari NGO sedang melaksanakan kerja kerja sukarela untuk membantu mangsa bencana di sesuatu negara. Bahasa kasarnya jangan main redah je

Sebaik pesawat TUDM berlepas gambar pegun dan video terus kami rakam dari udara, sayu hati melihat kehancuran, kerosakkan dan kemusnahan bandar Aceh akibat bencana ombak besar tsunami.

 


 Berat mata memandang, Berat lagi bahu memikul, 

Walaupun dalam tempoh hanya beberapa jam kami dibumi Aceh, namun pelbagai info dapat kami kumpulkan untuk panduan dan maklumat kepada MGBM dan MAYC serta lain-lain NGO yang hendak melaksanakan misi kemanusiaan Aceh selepas ini.

Dalam pesawat TUDM menuju ke Medan ada beberapa mangsa tsunami yang turut sama menyertai penerbangan itu, tujuan mereka adalah untuk mendapatkan rawatan selain menumpang di rumah saudara mara mereka di Medan dan daerah sekitar berikutan mereka kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Sempat menyapa dan bertanya mengenai peristiwa yang mereka alami, ternyata beberapa Wanita dan lelaki dalam lingkungan usia 15 hingga 40 tahun itu masih trauma dan tidak dapat menceritakan saat-saat getir bagaimana terselamat, cuma yang keluar dari mulut mereka hanyalah, kejadian itu berlaku sekelip mata, ombak sangat besar dan air menerjah amat laju.

“Kami menyelamatkan diri masing-masing, suasananya ibarat kiamat, seperti yang diceritakan oleh ustaz-ustaz melalui terjemahan al-quran dan ceramah ceramah agama yang sering kami ikuti di madrasah serta masjid sekitar Aceh,” jelas seorang mangsa tsunami dalam pesawat itu.

Penerbangan balik ke Medan mengambil masa kira-kira 2 jam, sebaik mendarat di Bandara Polonia, saya mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada semua krew TUDM yang menumpangkan kami pergi balik dari Medan ke Aceh.

Dengan penerbangan TUDM itu secara tak langsung ia memudahkan kerja kami selain menjimatkan kos tambang pesawat selain keselamatan kami terjamin sepanjang menumpang pengangkutan TUDM yang sama sama menyertai misi kemanusiaan tsunami Aceh.

Sebagai panduan, bagi orang awam yang hendak menumpang pesawat TUDM beberapa peraturan perlu dipatuhi, antaranya setiap penumpang perlu melapor diri kepada pihak TUDM terlebih dahulu dan membuat permohonan.

Jika diluluskan, penumpang perlu mengisi borang yang disediakan oleh pihak TUDM dan antara syaratnya, penumpang yang menaiki pesawat TUDM adalah tertakluk kepada undang-undang yang ditetapkan.

Penumpang yang sudah menandatangani borang hendaklah faham bahawa pihak TUDM tidak akan bertanggungjawabb jika berlaku kemalangan sebelum, semasa dan selepas menumpang pesawat itu.

Bulat air kerana pembentung, Bulat kata kerana muafakat,

Syukur, misi mendapatkan informasi bencana tsunami di bandar Aceh dapat dilaksanakan walupun berada di bumi serambi Mekah itu hanya kira-kira 5 jam tetapi pelbagai maklumat berjaya dikumpul untuk misi yang lebih besar dalam usaha membantu mangsa bencana.

18 hari selepas tsunami melanda Aceh, kami dah sampai di lokasi, namun pada masa sama ramai juga di antara rakan-rakan yang berada lebih awal di Aceh dengan menumpang pelbagai misi kemanusiaan antaranya menaiki kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan lain-lain.

Kita tahu, bantuan awal telah diagih kepada mangsa tsunami, kerana itu matlamat misi kami adalah untuk bantuan jangka masa panjang kerana kita melihat kemusnahan dan kehancuran Aceh akan mengambil masa untuk dibangunkan semula.

Mangsa tsunami bukan hanya ditempatkan di pusat pemindahan sementara sekitar Aceh, namun banyak pusat penempatan sementara di buka di Medan, yang cedera juga ramai di bawa ke hospital-hospital di wilayah lain yang mempunyai kemudahan asas.

Kerana itu, kami juga mengambil masa dan peluang untuk melihat sendiri mangsa tsunami di sekitar Medan baik di hospital mahupun di pusat pusat penempatan sementara yang dibuka oleh pemerintah Indonesia atau NGO negara terbabit.

Tengku Mira Sinar banyak membantu ketika kami berada di Medan, banyak tempat dan pusat penempatan sementara mangsa tsunami yang kami kunjungi hasil informasi beliau, tak semua pusat penempatan sementara yang sempurna, kebanyakan pusat penempatan sementara itu dilihat agak padat dan tidak selesa.

Tetapi itu yang termampu disediakan, bantuan makanan, pakaian sememangnya banyak disumbangkan oleh pelbagai pihak, namun dari segi keselesaan agak kurang kerana mereka yang menumpang terlalu ramai.

Di hospital pula, ramai mangsa cedera menerima rawatan, yang cukup diingati adalah  seorang kanak-kanak dilihat kudung kaki kanan. Ketika ditanya apa puncanya, kanak - kanak itu menjawab dia sendiri tidak sedar apa yang berlaku.

“Saya dihanyutkan air, beberapa kali saya tenggelam timbul dan tercunggap cunggap melawan arus, saya berpaut pada kayu yang turut hanyut dan apabila saya terdampar di tanah, saya sedar bahagian kaki saya hingga ke lutut dah hilang”, ceritanya sayu.

 

Misi pertama ke serambi Mekah, kisah balik hari Medan – Aceh – Medan kami tamatkan pada 14 Januari 2005. Gambar, video dan maklumat kami bawa pulang untuk mengajak lebih ramai kawan-kawan untuk membantu.

                                                al-Fatihah buat Allahyarham Yaakub bin Nyat

21 TAHUN TSUNAMI ACEH - Misi kemanusiaan pertama disertai

 



Musibah Serambi Mekah : Teruja Ke Sana

 “Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. Surah Ar-Rum (ayat 41)

FOKUS berita keberangkatan Jemaah haji pada musim 2004 ke tanah suci tiba-tiba disentap oleh kejadian yang sangat mengejutkan seluruh dunia. Bencana ombak besar dari lautan Hindi melanda Aceh di Indonesia dan sebahagian negeri negeri di utara tanah air.

Ramai sedia maklum, bencana itu adalah tsunami, ia menjadi tajuk utama berita baik di media cetak mahupun media elektronik. Pada masa itu media sosial belum popular maka kejadian tersebut hanya dirujuk melalui media massa televisyen, radio serta akhbar.

Tsunami menyebabkan pelbagai kemusnahan dan kerosakkan malah di Aceh sahaja kehilangan nyawa menjangkau angka 300,000 orang. Bantuan dari seluruh dunia mula dihantar ke Aceh.

Pelbagai jenis bantuan dihantar ke Aceh, Pasukan keselamatan menyertai misi mencari dan menyelamat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pula melaksanakan misi kemanusiaan dengan menyalurkan bantuan makanan dan pakaian.

Bantuan dari Malaysia tidak terkecuali, ia juga terus dihantar, Kerajaan Persekutan, Kerajaan Negeri, NGO, orang perseorangan turut ke Aceh dan beberapa wilayah lain di Indonesia yang dilanda tsunami untuk menabur bakti.

Pada masa kejadian saya sendiri berkhidmat sebagai wartawan sambilan (stringer) di Berita Harian Melaka dan juruhebah sambilan di Radio Malaysia Melaka (Melakafm). Selain itu dalam NGO saya menjawat jawatan sebagai Ketua Penerangan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM).

Ramai kawan – kawan NGO yang terpilih telah berangkat ke Aceh untuk menyertai misi kemanusiaan, rakan2 wartawan pula dihantar ke lokasi bencana untuk membuat liputan berkaitan kemusnahan dan keadaan semasa di sana.

Dua minggu kejadian tsunami Aceh berlalu, saya masih tak dapat apa-apa ‘signal’ baik dari Berita Harian mahupun NGO untuk saya terlibat dalam tugasan pemberitaan atau misi kemanusiaan tsunami di tanah serambi Mekah itu.

Hendak seribu daya, Tak hendak seribu dalih,

Saya mula resah dan hati melonjak lonjak nak ke Aceh untuk terlibat dalam misi kemanusiaan. Dengan semangat Pingat Bakti Masyarakat (PBM) kurniaan kerajaan negeri Melaka pada 1999, saya tekad membuat kertas kerja untuk diajukan kepada Pengerusi MGBM bagi membolehkan saya terlibat dengan kerja sukarelawan ke Aceh.

Ingat… setiap kertas kerja yang disediakan perlu lengkap dengan Pendahuluan, Objektif, Aktiviti, Perbelanjaan selain fakta yang memberi keyakinan kepada Pengerusi serta Jawatankuasa tertinggi NGO untuk meluluskan kertas kerja tersebut.

Kertas kerja saya diterima sebulat suara oleh MGBM dan selepas mendapat restu untuk saya serta beberapa rakan yag dipiilih menyertai misi kemanusiaan ke Aceh, kami membuat persiapan rapi

Antara objektif misi kemanusiaan terkandung dalam kertas kerja itu ialah membuat tinjauan dengan merakam keadaan semasa di lokasi bencana dalam bentuk video serta gambar pegun untuk panduan kepada lain-lain sukarelawan termasuk kerajaan negeri serta NGO yang akan menghantar bantuan tsunami.

Selain itu, dalam bab perbelanjaan pula. Saya serta rakan – rakan yang menyertai misi tersebut akan mendahulukan wang sendiri ke Aceh tanpa mengharapkan peruntukan atau dana daripada NGO yang dianggotai.

Maka inilah antara penyebab utama saya bersama sama rakan Persatuan Kelab Kelab Belia Malaysia (MAYC) Melaka, Abdul Razak Abu, Nasrul Ahmad dan Allahyarham Yaakub Nyat dapat ke Aceh untuk melihat sendiri kemusnahan dan kerosakkan bumi Serambi Mekah yang dilanda tsunami.

Mereka bertiga ini juga adalah ahli Persatuan Belia Duyung Melaka atau popular dengan nama Beduma. Persatuan Belia ini sangat aktif dan pernah memenangi Anugerah Belia Negara peringkat negeri Melaka dan juga peringkat Kebangsaan.

Walaupun kertas kerja telah diluluskan, tetapi banyak perkara lagi yang perlu dibuat persiapan rapi. Bagi saya cuti tiada masalah kerana pekerjaan saya dengan Berita Harian dan RTM Melaka adalah sebagai kakitangan sambilan sahaja. Begitu juga dengan Nasrul, beliau adalah seorang ahli perniagaan, cuti boleh susun sendiri.

Bagaimanapun bagi Abdul Razak Abu dan Allahyarham Yaakub Nyat mereka perlu memohon cuti rehat atau cuti tanpa rekod selain mendapat kelulusan luar negara terlebih dahulu daripada Ketua Jabatan masing-masing.

Perahu sudah di air, Dayung sudah ditangan,

Sementara menunggu kelulusan tersebut, saya terus dengan persiapan lain iaitu mencari semula rakan-rakan di Medan serta Aceh Indonesia untuk memudahkan kami melaksanakan tugasan apabila tiba di Aceh.

Untuk urusan di Medan Indonesia, saya menghubungi Tengku Mira Sinar Tengku Luckman. Beliau adalah kerabat Kesultanan Serdang Medan Indonesia. Tengku Mira saya kenali melalui aktiviti belia Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) sejak awal penubuhan pada tahun 2000.

Apapun, untuk misi kemanusiaan itu, telah dijangka bahawa saya dan rakan-rakan akan berdepan masalah apabila tiba di bumi Aceh kerana saya gagal menghubungi beberapa sahabat yang dikenali melalui program Pesta Gendang Nusantara DMDI.

Kegagalan menghubungi kawan – kawan di Aceh itu berikutan mereka mungkin salah seorang mangsa tsunami atau telefon mudah alih mereka rosak atau hilang semasa kejadian bencana 26 Disember itu.

Saya dan tiga lagi rakan anak jati bumi Hang Tuah tak menoleh kebelakang lagi. Hasrat kami untuk melihat sendiri kemusnahan akibat ombak besar tsunami di bumi Aceh kami laksanakan mengikut perancangan asal yang terkandung dalam kertas kerja.

Kepercayaan telah diberi dan kami perlu membuktikan bahawa pemergian kami ke bumi Aceh untuk membuat tinjauan awal bagi misi kemanusiaan susulan mencapai matlamat serta objektif yang kami sendiri muktamadkan.

Segala maklumat menjadi tanggungjawab saya dan rakan-rakan misi awal tinjauan ke Aceh ini, video recorder dan kamera pegun sudah dibekalkan, tugas kami mengumpul seberapa banyak maklumat untuk membolehkan pelbagai pihak menyalurkan bantuan kepada mangsa tsunami di Aceh.

11 Januari 2005, dengan pesawat komersial Air Asia, kami mendarat dilapangan terbang Polonia Medan. Sebaik sahaj tiba, Tengku Youl iaitu sepupu kepada Tengku Mira Sinar telah sedia menanti kami di pintu keluar lapangan terbang Polonia.

Inilah pentingnya “contact”. Selain memudahkan urusan kita di tempat orang ia secara tak langsung menjalin ukhwah silaturahim yang berpanjangan dan alhamdulillah sehingga kini saya masih berhubung dengan keluarga Tengku Mira Sinar.

Perkara pertama dan sangat penting yang dilakukan, kami ke pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan untuk melapor diri dan menyatakan keberadaan kami di Medan Indonesia seterusnya ke Acehh untuk menyertai Misi Kemanusiaan.

Alhamdulillah, Pucuk dicipta, ulam mendatang, Jika ada kemahuan di situ ada jalan

Ini perlu dilakukan oleh semua NGO atau orang persendirian yang mahu melaksanakan kerja – kerja amal di luar negara dengan memberitahu kehadiran kita supaya jika berlaku apa-apa masalah, pihak Konsul Jeneral atau Kedutaan dapat mengetahuinya.

Taklimat dan maklumat berkaitan bencana tsunami di Aceh dan kawasan terjejas kami perolehi dan pihak Konsul Jeneral turut memberitahu bahawa pihak Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) sememangnya telah terlibat dalam misi ini sejak tsnunami melanda.

Nampaknya urusan kami ke Aceh agak lebih mudah jika dapat menumpang pesawat TUDM yang setiap hari berulang alik ke Bandara Sultan Iskandar Muda Aceh untuk menghantar pelbagai barangan bantuan.

Syukur, akhirnya kami dapat menumpang pesawat TUDM utuk ke Aceh selepas mendapatkan kebenaran daripada pihak keselamatan. Bersama sama kami dalam pesawat TUDM itu kelihatan kumpulan tabligh dari Malaysia yang sama sama berhasrat ke Bumi Serambi Mekah untuk menghulur bantuan.

Penerbangan mengambil masa hampir tiga jam, dan sebelum mendarat di Bandara Sultan Iskandar Muda Aceh, pesawat yang kami naiki terpaksa berlegar legar di ruang lapangan terbang lebih 5 pusingan kerana menunggu kebenaran dan giliran untuk mendarat.

Dari ruang udara bandar Aceh Darussalam, saya nampak dengan jelas kemusnahan dan kerosakkan dialami akibat ombak besar tsunami yang melanda wilayah serta daerah tersebut.

Sekitar 5 kilometer dari Pantai Aceh jelas kelihatan tiada bangunan yang tidak rosak, semuanya pecah, ada yang runtuh malah kelihatan juga banyak kapal kapal besar dan kecil apatah lagi perahu serta bot yang menumpang berlabuh di atas bumbung rumah serta bangunan.

Sebaik mendarat… wah dah macam pameran pengangkutan udara di Bandara Sultan Iskandar Muda Aceh, macam – macam model kapalterbang, helikopter dari pelbagai negara mendarat di situ. Ada dari Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Singapura dan dari negara kita Malaysia.

Sekitar terminal lapangan terbang yang tidak begitu besar menjadi sangat sibuk dengan petugas pasukan keselamatan, pasukan mencari dan menyelamat, sukarelawan dan individu yang datang ke Aceh untuk melihat situasi terkini di sana.

Alang alang menyeluk pekasam, Biar sampai ke pangkal lengan

Kami tak menunggu lama, keluar dari terminal segera saya mendapatkan kenderaan awam “kijang” untuk membolehkan kami ke kawasan dilanda tsunami dan membuat tinjauan segera. Ini perlu kami lakukan kerana mengejar masa.

Penerbangan pesawat komersial masih belum beroperasi sepenuhnya, kami hanya bergantung pada pesawat TUDM yang kami tumpeng tadi untuk kami kembali semula ke Medan.

Jika kami lewat dari masa yang ditetapkan, kami mungkin tertinggal dan terpaksa bermalam di Bandar Aceh. Keadaan di situ amat mendukacitakan, bekalan elektrik, air bersih terputus sama sekali. Kemudahan penginapan seperti hotel juga masih belum beroperasi.

Para petugas membina khemah sendiri di kawasan yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa Indonesia. Di situlah pasukan keselamatan, NGO dan sukarelawan menjalankan operasi dan melaksanakan misi bantuan masing-masing.

Nun disekitar Bandar Aceh kelihatan pasukan mencari dan menyelamat sedang memacakkan bendera Indonesia serta kain berwarna merah di beberapa tempat. Selepas diselidik rupa-rupanya bendera tersebut sebagai penanda di situ ada mayat yang masih belum diangkat.

Kelihatan juga jentolak membersihkan kawasan disamping lori-lori sedang menunggu untuk membawa sisa-sisa runtuhan yang dikhuatiri ada jasad-jasad bersekali dalam timbunan akibat rakus ombak tsunami.

Kamera pegun dan video tak henti merakam suasana yang kami lihat, Allahuakhbar inikah bencana angkara manusia yang berpunca daripada kegagalan membendung alam sekitar dari pencemaran dan kerosakkan... wallahualam

“Pak… kenal anak-anak pada foto ini… Pak tolong saya Pak, anak-anak ini udah dua minggu tak ketemu, ini anak saya Pak… tolong Pak tolong….”, tersentak seketika terdengar raung seorang ibu sambil menarik baju saya bertanya khabar anak-anaknya yang hilang.

Sambil memujuk, tangan saya menarik perlahan lahan jaket yang saya pakai supaya tak digenggam oleh wanita dalam lingkungan usia 40an itu, saya berjaya melepaskan diri dan meminta supaya Wanita terbabit bersabar. “InshaAllah bu… anak ibu sentiasa ada bersama sama Allah SWT, ibu langsung doa ya” itu yang terhambur dari mulut saya sebelum saya, Razak, Nasrul dan Allahyarham Yaakub berlalu pergi.

Kami dah kesuntukkan masa, pesawat TUDM akan berlepas ke Bandara Polonia Medan pada kira-kira pukul 5 petang Waktu Indonesia barat atau pukul 6 petang waktu Malaysia. Dari Lokasi kami ke Bandara Sultan Islandar Muda Aceh akan mengambil masa 45minit.

“Jak… kita kena gerak sekarang, kalau lambat jawabnya kita terpaksa bermalam di bandar Aceh ni, jom” saya meminta supir Kijang tadi segera membawa kami ke lapangan terbang Aceh. Dalam perjalanan banyak maklumat yang diperolehi daripada Pak Supir.

Sepanjang perjalanan rakaman video diteruskan untuk sumber informasi kepada MGBM dan MAYC Melaka yang bercadang mengadakan misi kemanusiaan tsunami Aceh dalam tempoh terdekat. Kami sampai di lapangan terbang, namun nyawa kami jadi taruhan…

                                   Melapor diri di pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan


           (dari kiri) Saya, Arwah Yaakub Nyat, Konsul Jeneral Malaysia di Medan dan Razak Abu

                         Menumpang pesawat TUDM dari Medan ke Bandar Aceh untuk tinjauan

                            Menemubual mangsa tsunami Aceh yang kehilangan kedua dua kaki 


                         Meninjau mangsa tsunami Aceh yang menumpang di salah satu Posko

        Mangsa Tsunami Aceh yang kehilangan tempat tinggal menumpang pesawat TUDM ke Medan

         Pengalaman pertama menyertai Misi Kemanusiaan di negara jiran adalah pelajaran terbaik  buat             saya dan rakan2 meneruskan misi yang sama hingga sekarang. Terus membaca kisah                                "Minta Nyawa"          

AIR SOYA & TAUFUFAH BUDAK TIUT