BANTUAN SERUMPUN BANJIR BANDANG - Part 1

 

BANTUAN KECEMASAN BENCANA BANJIR BANDANG - HARI 1 (29 Dis 2025)

DUKA  masyarakat Sumatera Barat (Sumbar), Sumatera Utara (Sumut) dan Aceh akibat musibah bencana banjir bandang yang melanda November 2025, menjentik hati sukarelawan Malaysia untuk sama sama merasai keperitan itu.

Gambaran kedukaan masyarakat Sumatera dan Aceh tersebut diketahui melalui media sosial yang tular dengan kemusnahan tempat tinggal, kerosakkan sawah padi dan tanam tanaman selain meragut ribuan nyawa.
Kediaman penduduk rosak akibat banjir bandang

Tidak menunggu lama, ramai sukarelawan Malaysia bergegas ke lokasi untuk meninjau dan seterusnya membantu mana yang perlu, mereka tak perlu di arah tapi begitulah sikap sukarelawan, jika ada bencana atau musibah jiwa mereka meronta mahu menolong.

Cakaplah apapun, jika jiwa masing-masing sudah sebati begitu, sesukar manapun, sukarelawan cuba sedaya upaya ke lokasi bencana, bukan untuk melihat sendiri tetapi datang untuk menyerah diri membantu seikhlas hati.            
                                                                 
Bersama sama enam rakan sukarelawan, kami bergerak atas nama Skuad Bencana Persatuan Pacuan Empat Roda Selangor (SFWDA) serta Team Bencana dan Kebajikan Kelab Sukan 4x4 Lima Bravo (KKS - 5 Bravo) merealisasikan Misi Kemanusiaan Bantuan Kecemasan Bencana Banjir Bandang Sumatera Barat pada 29 Disember 2025 hingga 1 Januari 2026.

Misi yang diketuai Pengerusi SFWDA, Rody Sufian Buang berlepas ke Padang Sumbar pada 29 Disember 2025 menggunakan pesawat komersial dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau Padang pada kira-kira jam 1125 pagi (WIB).

Sebaik sahaja tiba di Bandara Minangkabau Padang, kami disambut oleh kenalan lama saya Pak Khairul Nas (asal orang Kampung Pandai Sikek, Bukit Tinggi) yang juga sukarelawan Indonesia. Selesai makan tengahari di Padang Panjang kami terus bergerak ke Desa Toboh Tangah, Kenagarian Malalak Timur, Kecematan Malalak, Kabupaten Agam Sumbar.

Perjalanan dari rumah makan di Padang Panjang tadi ke kampung tersebut mengambil masa lebih 2 jam. Sebaik tiba di kampung tersebut kami dapati masyarakat setempat sibut bergotong royong membersih rumah masing-masing.

Kerja-kerja pembersihan turut dibantu para sukarelawan Indonesia, Tentera Nasional Indonesia (TNI) serta Polisi Republik Indonesia (Polri). Terdapat juga dua jentera berat digunakan untuk membantu membersihkan lumpur yang memenuhi kawasan kampung dan rumah di situ.

keadaan kampung 
Toboh Tangah yang
dilanda Banjir Bandang
Kehadiran kami di kampung tersebut diatur oleh Bapak Khairul Nas yang kemudiannya mempertemukan team sukarelawan kami dengan Ketua Komitee Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) Kab. Agam Bapak Fadli Rahmadi (Panduko Bung Fadli).

Beliau menerangkan keadaan semasa di kampung tersebut selain menjelaskan keperluan mendesak yang diperlukan oleh mangsa bencana yang kini masih lagi menumpang di beberapa Pusat Pemindahan Sementara yang disediakan oleh pihak pemerintah.

Pada hari pertama misi, kami belum menyerahkan apa-apa sumbangan kerana mengumpul data, apa keperluan yang perlu disumbangkan kepada pihak bertanggungjawab serta mangsa banjir bandang di situ.

Selepas melihat sendiri kemusnahan akibat banjir bandang di kampung tersebut, kami dibawa oleh Bapak Fadli ke pusat operasi bencana di kantor camat Malalak untuk perbincangan aktiviti pada hari seterusnya sebelum kami meninggalkan Sumatera Barat pada 1 Januari 2026.




Untuk rekod, kronologi misi ini bermula dengan perancangan secara lisan antara saya dengan Rody. Seterusnya dalam tempoh 3 minggu sebelum terbang ke Sumbar, kutipan dana digerakkan dengan konsep "Sumbang RM1 seorang, Sasaran kutipan RM1juta - bantu mangsa banjir bandang Sumbar". Hebahan sumbangan ini dilakukan setiap daripada kami melalui media sosial.

Alhamdulillah sehingga 30 Disember 2025 iaitu sehari selepas kami berada di Sumatera Barat, kutipan dana sumbangan orang ramai yang berjaya dikumpul adalah sebanyak RM2,700, ia diterima melalui akaun SFWDA dan akaun bank KKS - 5 Bravo.

Part 2 menyusul, teruskan membaca Travelog Misi Kemanusiaan hasil nukilan saya dengan saksi mata dan bersama sama dalam misi ini. terima kasih sudi membaca.

-ihs.0km-
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

AIR SOYA & TAUFUFAH BUDAK TIUT