CHOHONG: NAMA YANG TAK PERNAH PERGI

Nostalgia Santai Anak Jati Kampung Chohong

Oleh: Idzham Hadi Sidik

Dalam hiruk-pikuk dunia hari ini, ada satu sudut kecil yang tetap hangat ruang sembang WhatsApp Alumni SK Chohong. Di situlah kenangan lama kembali bernyawa. Bukan melalui gambar atau tarikh, tetapi melalui nama-nama manusia yang pernah hidup, berjalan dan bernafas dalam lorong-lorong kampung suatu ketika dahulu.

Sembang mereka bersahut-sahutan, seolah-olah kembali duduk di wakaf, di tepi parit, atau di kedai kopi kampung. Antara yang rancak menaip dan mencetuskan gelombang nostalgia ialah Khaidir Shah, Hairul, Hj Yazid, Shahdan, Maimun @ Dak Tam, Ramli Aziz, Yusri Muhammad, Md Yani, Rohaizad, Miah Jaafar, Cikgu Zaridah, ZZO, Shamsiah dan Mahaya. Setiap satu membawa cebisan ingatan ringkas, jujur dan penuh rasa.

Daripada situ, muncul semula nama-nama yang lama tersimpan di sudut memori. Tok Charop. Mat Letop. Gimau Akor. Wak Kemelan. Uteh Lamat. Mat Lohom. Mat Kuching. Ngah Hashim Gemok.
Nama-nama ini tidak perlu diperkenalkan panjang. Cukup disebut, wajah dan kisahnya terus terbayang. Itulah magis gelaran kampung ia hidup tanpa perlu penjelasan.

Sebelum cerita melangkah lebih jauh, satu perkara ditegaskan bersama: mohon ampun dan maaf kepada keluarga serta sanak saudara. Nama-nama yang disebutkan ini bukan untuk mempersendakan, jauh sekali merendahkan. Ia hanyalah satu cara orang kampung mengingati dengan penuh kasih, seperti mana orang lama menyebut nama dengan senyum dan anggukan kepala.

Satu demi satu, nama lain menyusul dalam perbualan, Cikgu Tahir, Ulong Senin, Jaapor Tan, Tok Lambut, Uda Mat Dom, Usop Pendek, Uda Sekrot, Cikgu Md Shah, Ngah Jusoh, Cik Kam, Cik Dayang, Cu Piah, Cibong, Ulong Boyor, Tok Munah, Ngah Calus, Mat Lesap, Ngah Embam, Tok Janggut dan Tok Ngah Taping

Nama nama ringkas Imam Sani, Tok DakNah, Ulong Tana, Simat, Tok wea, Dak Serah, Dak Simah, Dak Misah, Dukun Ketegor, Cik Dongkol, Dak Bontak, Cipih juga segar dalam perbualan anak Chohong.

Nama-nama ini mungkin kedengaran “rare” hari ini, tetapi suatu masa dahulu, ia adalah sebutan harian, nama yang memudahkan orang mencari, mengenal dan bertegur sapa.

Dalam budaya kampung, gelaran bukan satu ejekan. Ia lahir daripada keakraban. Ada yang berdasarkan rupa, ada yang kerana pekerjaan, ada yang kerana perwatakan atau kisah tertentu. Yang penting, ia menjadikan seseorang itu mudah diingati dan dekat di hati. Gelaran adalah bahasa sosial kampung ringkas, jujur dan penuh makna.

Apa yang berlaku dalam sembang WhatsApp Alumni SK Chohong ini sebenarnya lebih besar daripada sekadar nostalgia. Ia adalah satu bentuk pendokumentasian tidak rasmi, arkib hidup yang merakam siapa kita dan dari mana kita datang. Selagi nama-nama ini disebut dengan adab dan niat yang baik, selagi itulah ia menjadi tanda hormat kepada generasi terdahulu.

Kerana hakikatnya, orang kampung mungkin telah pergi, rumah mungkin berubah, tetapi nama yang disebut dengan ingatan tidak akan pernah hilang. Dan di situlah Kampung Chohong terus hidup dalam sebutan, dalam cerita, dan dalam hati anak-anak jatinya. Al-fatihah buat mereka yg telah kembali ke alam abadi

-ihs. 0km-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

AIR SOYA & TAUFUFAH BUDAK TIUT