BATAM - Destinasi pilihan sahabat 55 liburan (Part 1)

MENCIPTA MEMORI DI RIAU KEPULAUAN

3 keluarga melakar memori buat kali pertama di Riau Kepulauan
(Batam, Bintan, Tg.Pinang & Pulau Penyengat

INTRO:
Kisah persahabatan yang terjalin antara kami (Idzham Hadi Sidik, Sabarudin Md Sudi dan Saifullah Saadon) yang bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu Melaka pada 1987 & 1988, tak pernah terputus hingga kini.

Menyambung persahabatan itu hinggalah masing-masing ada keluarga sendiri dengan pelbagai cerita... ziarah raya, jemputan kenduri, ngeteh... tapi tak selalu, setahun sekali pun payah tetapi  komunikasi sentiasa ada walaupun sesekali.

BUAT kali pertama, tercetus idea untuk bercuti bersama sama keluarga masing-masing di luar negara. Sabaruddin buka mulut "Jom gi Batam". Kebetulan saya kini berjinak jinak dalam kegiatan membawa pelancong ke Indonesia melalui pengalaman menganjur pelbagai program sejak tahun 1996 ketika bergiat dalam persatuan belia.

Pak Khairul Nas, rakan yang dikenali 30 tahun lalu rekmen pada
 Pak Ardi untuk menguruskan percutian 3H 2M di Batam

Pelawaan daripada Sabaruddin itu saya sambut dan terus bagi tarikh iaitu pada 14 hingga 16 Februari, minggu terakhir Syaaban sebelum kedatangan Ramadan pada 19 Februari 2026. Perancangan percutian ini saya info di Group whatsapp "Captain Safarin - TI 87/88".

Saifullah sambut dan tiga keluarga confirm akan terlibat dalam percutian ini. Lebih kurang sebulan setengah jugalah perancangan ini. Saya terus hubungi rakan di Sumatera Barat, Pak Khairul Nas untuk mengatur pakej ke Batam.

Pak Khairul kemudiannya memberi nama dan nombor telefon rakan sekampungnya yang menetap di Batam iaitu Pak Ardi untuk urusan secara terus bagi mengurusakan tiket feri, hotel, makan dan minum selain urusan lawatan di Batam.

HARI 1 (140226)
0300 - Tayar golek dari rumah masing-masing, Sabaruddin bergerak dua kereta dari Bemban, Saifullah berdua dengan isteri bertolak dari Tangkak dan saya sendiri berempat dengan isteri serta dua anak memulakan perjalanan dari Kemendor Jasin.

Pukul 0345 kami regroup di hentian Tangkak. Meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), menempuh suasana dinihari yang tenang, purata kelajuan 110km/j kami melintasi Pagoh, Yong Peng, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Kulai dan akhirnya keluar di tol Skudai.

Dua jam perjalanan, empat kenderaan konvoi sampai di parkir berbumbung Berjaya waterfront / International Terminal Jetty Stulang Laut Johor Bahru. Sempat rehat sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah.

Dolphin fast ferry yang kami naiki berlepas pukul 0845, masih ada masa untuk kami 12 orang sarapan sebelum memasuki ruang imigresen bagi urusan dokumentasi ke luar negara.

0830 penumpang dipanggil untuk memasuki feri, sepantas kilat kami bergerak. Alhamdulillah urusan di Imigresen amat mudah. Duduk di barisan hadapan tempat duduk feri (free seating). tepat pukul 0900 Dolphin fast ferry berlepas menuju ke Batam.

Satu jam pertama, perjalanan tidak laju, kami dimaklumkan feri hanya bergerak dengan kelajuan 12knot/jam untuk mengelakkan hakisan pada tebing daratan Singapura dan Malaysia.

Dalam perjalanan, kami turut berpeluang naik ke bahagian dek atas feri untuk menikmati keindahan laluan laut dan sempat bergambar sepanjang pelayaran itu.

Sebaik melepasi selat Singapura, pecutan bermula dan feri yang kami naiki selamat sampai di Pelabuhan Gold Coast Bengkong Kota Batam pada kira-kira pukul 1045 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB). Beza 1 jam waktu Malaysia dan Indonesia.

Gold Coast Bengkong, Kompleks pelabuhan yang masih nampak baru, urusan imigrasi dan Kastam juga tersusun, mudah untuk kumpulan kami dan penumpang lain berurusan, tak sampai setengah jam semua selesai.

Keluar dari pelabuhan, Pak Arkan suda sedia menanti, begitu juga Pak Ardi ayah kepada Arkan dan Pak Khairul Nas juga menunggu. Mereka berdua bukan sahaja menanti ketibaan kumpulan kami tetapi turut menunggu kumpulan 40 orang pelancong dari Terengganu.

Selamat sampai di Pelabuhan Gold Coast Bengkon Kota Batam pukul 1045 (WIB)

Destinasi pertama sebaik menjejakkan kaki di Kota Batam adalah Masjid Agong Raja Hamidah dan ikon "Welcome To Batam". Masjid Agong Raja Hamidah (dulu dikenali sebagai Masjid Agong Batam) telah dinaiktaraf dan boleh memuat antara 10,000 hingga 20,000 jemaah pada satu satu masa menjadi simbul agama Islam terpenting di Kota Batam.

Ikonik "Welcome To Batam" kelihatan jelas apabila kumpul;an pelancong merakam gambar dari salah satu sudut di Masjid Agong Raja Hamidah Kota Batam ini.


Tiba2 ada Mat Salleh dari US, katanya dia adalah anggota polis Amerika

On time ... masa makan tengahari cantik disusun, restoran nasi padang menjadi pilihan kumpulan pelancong kami yang diuruskan oleh Pak Arkan. Makanan yang disediakan enak malah kami turut memesan jus buah seperi buah naga, mangga dan jus jeruk (limau).

Hidangan nasi padang dengan pelbagai lauk pauk bayarannya sudah termasuk dalam pakej, kecuali jus yang dipesan masing-masing perlu membayarnya sebelum meninggalkan restoran.

Restoran Nasi Padang di Kota Batam menjadi pilihan untuk makan tengahari








Alhamdulillah... Selesai  makan tengahari, kami bergerak pula ke Masjid Tanwirun Naja atau Masjid Tanjak.

Konsep masjid ini adalah masjid terbuka, tidak mempunyai kipas cukup sekadar angin kuat bertiup di sekeliling masjid itu.

Solat Jamak dan Qasar Zohor Asar. Kami selesaikan dulu kewajiban sebelum melawat dan bergambar di sekitar masjid Tanjak serta menikmati ais krim yang dijual oleh penjaja sekitar masjid.





Berhampiran dengan Masjid Tanjak ini adalah Bandara @ Bandar Udara (Lapangan terbang) Hang Nadim Batam. Siapa Hang Nadim? laksamana Hang Nadim adalah Pahlawan Maritim Riau yang terkenal dengan keberaniannya. Beliau dipercayai anak Hang Jebat yang dipelihara oleh Hang Tuah. 

di belakang itu adalah Bandara Hang Nadim Kota Batam

Meneruskan trip 3H 2M di Batam pada hari pertama, kami meneruskan jelajah dengan berkunjung ke ikon terkemuka Batam iaitu Jambatan Balerang. Jambatan ini bukan satu tetapi ada 8 kesemuanya.

Jambatan ini menghubungkan pulau-pulau kecil di sekitar Batam dan ia sekaligus menjimatkan masa perjalanan dari satu pulau ke satu pulau (Boleh lihat peta Batam & lihat jambatan2 balerang dari 1 hingga 8)



Masa untuk menerokai produk dan destinasi pelancongan di Kota Batam pada hari pertama diteruskan dengan lawatan ke Saung Budaya. Jarak perjalanan dari Jambatan Balerang kira-kira 25 kilometer atau masa pergerakan antara 30 hingga 45 minit.

Sebelum sampai di Saung Budaya, kami berhenti seketika di Masjid Sultan Mahmud Riayat Shah untuk merakam gambar bersama di salah satu lagi ikon pelancongan Kota Batam yang kaya dengan kisah Kesultanan Melayu Riau. 


Kesultanan Melayu Riau ini ada hubung kaitnya dengan Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Johor, Kesultanan Lingga dan beberapa lagi Kesultanan Nusantara di Tanah Melayu seperti selangor, Pahang dan Perak.

Saung Budaya Batam adalah milik persendirian. Tiket masuk IDR100k seorang. Sebaik tiba di perkarangan Saung Budaya, kumpulan pelancung sudah siap dinanti oleh petugas dan mereka menyambut dengan ramah mesra.

Sempat pula membeli Bakso Bakar sambil menikmati,
buah mangga potong dan air tebu piow

Selepas membeli tiket, kita akan dibawa terus ke pentas budaya dan disajikan dengan persembahan tarian selamat datang pelbagai suku etnik kaum Indonesia. Di sini biasanya kita disajikan dengan tarian Minangkabau, Jawa dan Melayu Riau serta pencak silat.







Saung Budaya Kota Batam memelihara budaya Melayu Riau

Satu jam di pentas Saung Budaya, kami terus berangkat ke Kota Batam untuk meninjau toko kain ela (lontaran pertama). Sebaik sahaja sampai, isteri masing-masing bergegas masuk melihat dan memilih kain-kain pasang untuk kegunaan Aidilfitri kali ini.

Namun belum sampai 15 minit masing-masing dengan riak muka mencuka, senyum pura-pura keluar dari ruang toko sambil gerak bibir menyampaikan ayat berbunyi "mahal..." maknanya minta pergi ke toko lain yang lebih murah dan harga mampu milik.

Tak perlu dihebohkan toko mana yang kami pergi. Terus melangkah ke dalam van dan meninggalkan toko tersebut menuju ke penginapan iaitu Hotel Aston Nagoya yang terletak di kawasan perniagaan Kota Batam.


Aston Hotel & Residence bertaraf 4 bintang ditempah oleh Pak Ardi, cukup selesa dan penyambut tetamu juga sangat ramah dan mesra, selepas kad hotel diserahkan kepada kami, maka dapatlah berehat selama sejam 30 minit sebelum kami turun semula ke lobi untuk makan malam di restoran makanan laut.

Perjalanan ke restoran makanan laut mengambil masa 30 minit juga disebabkan keadaan jalan raya yang dipenuhi kenderaan berikutan malam minggu dan bersempena sambutan Tahun Baru Cina.

Sampai sahaja di restoran tersebut makanan sudah siap dihidangkan dan kami menikmatinya. Enak dan menepati citarasa. Ada ketam, udang, ikan serta sup seperti tomyam, amat menyelerakan dan alhamdulillah kenyang.




makan di tingkat atas, hanya kami 12 orang sahaja di ruang makan restoran
makanan laut Kota Batam ini, fuhhh ini restoran ana yang punya

Selesai makan malam, rombongan kami dibawa pula ke kedai menjual produk hiliran Batam. Pelbagai jenis kerepek, buah avarcado dan jeruk ada dijual di situ. Harga berpatutan dan kerana itulah banyak lontaran yang berlaku. beg nampak macam mula nak beranak.


Batamia

Mengakhiri aktiviti hari pertama, kami dibawa pula ke Pasaraya cenderahati Batamia. kedudukannya dengan Hotel Aston kira-kira 100 meter sahaja. Di sini ada jual pelbagai coklat, key chain, cenderahati dan kemeja T.

Bagaimanapun kebanyakan produk di sini asal dari Malaysia, hinggakan ada key chain menara Kuala Lumpur dan coklat "Made in Malaysia". Kurang jugalah lontarannya kerana apa yang kami mahukan produk Batam atau Indonesia.

2235WIB kami sampai di Hotel, masa untuk berehat. Esok menjanjikan perjalanan yang lebih jauh. Catatan ini bersambung, jangan ketinggalan ikuti Part 2 - Memori 55 Jelajah Riau Kepulauan. Bintan, Pulau Penyengat dan Tanjung Pinang. Bot laju, bot pancong dan beca seharian meredah lautan.

-ihs.0km-










Tiada ulasan:

Catat Ulasan

AIR SOYA & TAUFUFAH BUDAK TIUT