PART 2 - BATAM DESTINASI LIBUR 3 KELUARGA

 MEREDAH OMBAK KE BINTAN

Bot laju & Bot pancong menjadi kenderaan utama pada hari ke-2 dari Telaga Punggur
(Batam) menuju ke Tg. Uban, Tg.Pinang & Pulau Penyengat (Bintan)

SEAWAL jam 0600 (WIB) kami mengambil sarapan di level 1 Hotel Aston. Menu sarapan yang disediakan pelbagai pilihan. Dari western hinggalah makanan tradisional Melayu Riau, nasi lemak, lontong, sup, bubur kacang hijau dan bubur pulut hitam selain kuih muih tersedia.

Terdahulu, gerakan untuk mengejut anak-anak muda di bilik hotel berasingan menjadi cabaran. Call tak berjawab, bantuan reception untuk membuat panggilan telefon kamar juga gagal, akhirnya pergi sendiri ketuk pintu bilik, barulah tersedar dari lena yang mungkin dibuai mimpi indah sejak malam tadi.

Selesai sarapan dan semua bersedia, tepat pukul 0700 (WIB) van sewa khas untuk trip kami bertolak ke Pelabuhan Telaga Punggur. Jarak perjalanan kira-kira 28 kilometer dan mengambil masa 30 minit untuk sampai.

Apabila sampai di pelabuhan, pemandu pelancong Arkan sudah bersedia dengan boarding pass untuk menaiki bot laju menuju ke Tanjung Uban. Kelihatan penumpang beratur panjang bagi menuju ke destinasi masing-masing.

Dalam kesibukan penumpang beratur menunggu giliran, kami dengar suara petugas pelabuhan "Uban... uban... uban di antri ini", itu adalah destinasi kami dan segera Pak Arkan melambai kami untuk segera ke lane khas.

Syukur... permulaan perjalanan hari ke-2 kami dipermudahkan dengan susunan dan aturan terbaik daripada pemandu pelancong yang memastikan kami tidak perlu lagi beratur panjang untuk menaiki bot laju.

Bot laju muatan 25 orang sangat selesa dengan perjalanan 20 minit
dari Telaga Punggur ke Jeti Tanjung Uban (Bintan)

Bot laju dilengkapi dengan jaket keselamatan

Bot laju mula meluncur dan laluan digunakan merentasi beberapa pulau kecil yang berpenghuni. Kerana itu ia menuntut bot yang kami naiki memperlahankan kelajuan ketika melintasi Pulau Ngenang dan Tanjung Sauh.

Santai meredah dua pulau kecil itu, dapat kami lihat kampung dan rumah yang dibina di atas air selain kapal nelayan yang digunakan penduduk pulau untuk mencari rezeki.

Pulau Ngenang
    Info dari google map menjelaskan Pulau        Ngenang terdapat Gardu Induk 150KV        (Gardu induk adalah stesen janakuasa        elektrik).

Sekitar pukul 0910WIB, rombongan kami mendarat di jeti Tanjung Uban Pulau Bintan. Alhamdulillah masa yang diperuntukkan untuk jadual hari ke-2 berjalan lancar dan pada landasan terbaik.


Jeti Tanjung Uban Pulau Bintan

Van dari Bintan sudah sedia menunggu, kami terus bertolak menuju destinasi pelancongan viral dan popular iaitu Tasik Biru. 45 minit perjalanan kami sampai di Tasik Biru dan bayaran masuk IDR100k seorang.

Dari informasi pelancongan, Tasik Biru Bintan ini adalah bekas lombong pasir yang airnya kelihatan biru. Kebiruan air tasik ini akan lebih menyerlah apabila cuaca panas.




Melalui pemerhatian, kawasan tasik biru ini tak ubah atau sama saja keadaannya dengan tasik Chincin (tebat) di Jasin. Bezanya tebat kini sudah popular dengan markisa manakala tasik biru ini popular dengan pelbagai pemandangan selain disediakan photo booth untuk pelancong bergambar. 

Tak lama di tasik biru lebih kurang satu jam sahaja. Kami meneruskan tour Bintan dengan menuju ke Kota Tanjung Pinang. Tak singgah pun di ikonik siput gonggong kerana misi kami adalah ke Pulau Penyengat. 

Dari Tanjung Pinang kami menaiki bot pancong ke Pulau Penyengat. Dari pandangan mata kasar jaranya tidak jauh. Pelayaran mengambil masa 15 minit dan kami menjejakkan kami di Pulau yang kaya dengan kesan sejarah Kesultanan Melayu Johor dan Kesultanan Melayu Riau - Lingga.

Bot pancong menuju Pulau Penyengat

Sebaik sahaja tiba di Pulau Penyengat kami berjalan kaki kira-kira 100 meter menuju ke Masjid Raya Sultan Riau. Dari situ kami menaiki becak bergerak ke kompleks makan Raja Ali Haji. (Kisah Raja Ali Haji boleh rujuk link https://ms.wikipedia.org/wiki/Raja_Ali_Haji)

                                                          





Mengambil masa hampir satu jam di Pulau Penyengat, kami langsung berpatah balik ke Tanjung Pinang menggunakan bot pancong dan terus menaiki van untuk makan tengahari di restoran nasi Padang yang terletak di laluan Tanjung Pinang - Tanjung Uban.



Makan siang di restoran Nasi Padang semasa dalam perjalanan dari Tg Pinang ke Tg Uban

Selesai makan tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Tanjung Uban untuk pulang semula ke Kota Batam. Planning solat jamak dan qasar Zohor Asar di bilik hotel sahaja untuk lebih selesa.

Kebanyakan mussolah dan masjid di Bintan serta Batam tiada pemisah antara ruang solat lelaki dan wanita. Demi menjaga aurat kaum wanita maka lebih baik solat di hotel.

Aturan masa untuk sampai ke Pelabuhan Punggor Batam cantik sekali, 1530WIB kami mendarat dan kemudiannya terus bertolak ke hotel untuk menunaikan kewajiban dan rehat seketika.

1730WIB seperti yang dijanjikan, kami menunggu di lobi hotel untuk bertolak ke DC Mall bagi aktiviti membeli belah. Mengambil masa 1 jam 30 minit berada di pasaraya itu cukup memberi peluang kepada kami membeli apa yang dihajati.

Selesai mendapatkan pelbagai barangan seperti pakaian dan tudung di DC Mall, masa untuk mengisi perut dengan makan malam di restoran Sunda. sajian nasi ayam penyet.

Masa untuk rehat dan packing barang-barang yang dibeli sebab esok hari terakhir di Batam sekaligus menamatkan trip 3 hari 2 malam bersama pemandu pelancong Pak Ardi dan anaknya Arkan.






Hari ke dua... dari Batam ke Pelabuhan Punggor meluncur bersama bot laju ke Tanjung Uban, menaiki bas ke Tanjung Pinang meredah ombak dengan bot pancong ke Pulau Penyengat, berpatah balik ke Tanjung Pinang, Tg Uban dan Pelabuhan Punggor selesai trip sehari suntuk Bintan.

Hari terakhir di Batam, kek lapis Batam dan perjalanan pulang dengan Dolphin Fast Ferry serta cerita Pop Mie Indonesia, tunggu catatan Bukan sekadar holiday 3 family bersahabat dalam Part 3.

-ihs.0km-










Tiada ulasan:

Catat Ulasan

AIR SOYA & TAUFUFAH BUDAK TIUT