JERITAN BATIN ORANG LUGU

GIGIH berjalan kaki 3.8 kilometer, meredah jalan berlumpur, meniti jambatan gantung sepanjang 630 meter, mengharung anak sungai dek kerana titi roboh, berjalan dalam gelap selepas 6.30 petang. Semua ini menjadi rutin harian penduduk Kampung Lugu, Pitas Sabah.

Bukan sekadar mencatat fenomena ini hasil didengar dari mulut penduduk, tetapi tulisan ini diluah ketika saya  "melancong" ke lokasi ini semasa menyertai misi kemanusiaan bantuan bencana banjir Pitas.

"Melancong" ke Kampung Lugu Pitas semasa misi bantuan banjir

Jambatan gantung yang sudah rosak tetap digunakan penduduk

Penduduk bersyukur menerima bantuan bencana banjir yang diusahakan oleh organisasi sukarela "Reach Out" apabila ia dihantar hingga ke kawasan pedalaman. Turut bersama sama menyumbang dana dan tenaga dalam misi itu ialah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Kota Kinabalu, PBSMM Pitas, Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia (Amal Malaysia), Sabah Engineers Association, Rotary Club Kota Kinabalu, HD Enterprise serta Syarikat Jawala Plantation Industries Sdn Bhd. 

Penduduk pedalaman yang amat mengharapkan bantuan bencana seperti itu, sempat meluahkan isi hati masing masing bercerita keadaan kampung yang jauh ketinggalan dari kemudahan infrastruktur.

Kampung Lugu kira-kira 30 kilometer dari Pekan Pitas diletakan dalam Program Kampung Sejahtera Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, namun infrastruktur utama seperti kemudahan jalan raya masuk ke kampung masih belum disediakan.

Kerana itulah penduduk perlu berjalan kaki meredah lumpur, mengharung anak sungai kerana jambatan yang disediakan sudah runtuh, menyeberang sungai dengan meniti jambatan gantung dan terpaksa bergelap untuk balik ke rumah masing-masing selepas pukul 6.30 petang.

Bantuan sampai ke pedalaman Pitas menggunakan 4x4



meniti jambatan gantung dan berjalan lebih 3.8 km memikul barang untuk dibawa pulang

Perahu terpaksa digunakan untuk mengangkut barangan bantuan


Andai ada penduduk kampung yang sakit hingga tidak boleh bergerak penduduk perlu memapah pesakit dan ada ketikanya mereka terpaksa diusung menggunakan pengusung yang dibuat sendiri.

papan pada jambatan gantung mula mereput

mengusug pesakit lebih 3km menuju Kg Pandan Mandamai sebelum menaiki kenderaan ke hospital



Bertemu salah seorang penduduk, Mejol Sukuan saya berpeluang ke kampung Lugu yang diceritakan sebelum ini. Sebaik sahaja tida di kampung Pandan Mandamai, saya dan rakan 4X4 Trans Borneo The Last Frontiers 2019 terpaksa meninggalkan kenderaan pacuan empat roda di penghujung jalan berturap kampung berkenaan.

Laluan pertama, kami meniti jambatan gantung sepanjang 630 meter merrentasi Sungai Bengkoka, kelihatan papan pada jambatan itu ada yang sudah reput malah ada juga yang telah pecah.

Perlu berhati hati untuk meniti jambatan tersebut, ketinggian dari sungai mencecah 20 meter, apabila berjalan jambatan akan bergoyang goyang, kaki perlu diimbang mata perlu awas memerhati papan papan alas yang reput dan tidak tersusun rapi.

Dalam hati berkata kata, inilah yang dialami penduduk Kampung Lugu setiap hari, kemudahan tidak mencukupi, namun dari sudut positif penduduk Kampung Lugu ini sangat gigih, cekal dan menelan yang pahit untuk mengecapi kemanisan yang entah bila kunjung tiba.




Selamat menyeberang jambatan gantung, perjalanan diteruskan kali ini laluan berlumpur terpaksa diredah bukan 10 meter, bukan 100 meter malah lebih 2 kilometer kaki melangkah di dalam lumpur menuju ke kampung Lugu.




meredah jalan berlumpur


Sepanjang perjalanan, mulut Mejol tak putus putus bercerita mengenai kehidupan penduduk kampung yang perlu mengharungi keadaan itu sejak mereka dilahirkan hingga kini.

Katanya, kalau diberi pilihan yang mana keperluan paling utama, bekalan air, bekalan elektrik dan jalan raya yang selesa. Mejol menjelaskan dia lebih mahukan jalan raya disediakan di kampung itu.

“Saya mahu jalanraya… bekalan elektrik dan air boleh disalurkan kemudian, bila sudah ada jalan raya akan memudahkan agensi terlibat untuk menyediakan kemudahan lain.

“Tuan bayangkan, budak budak ke sekolah terpaksa redah lumpur seperti yang tuan lalui sekarang, belum sampai ke sekolah kasut sudah berlumpur, pakaian seragam kotor, kerana itulah jalan raya saya mahukan,” katanya ketika menjadi “pemandu pelancong” membawa saya “bersiar siar” sekitar Kampung Lugu.

Selepas berjalan kaki meredah lumpur lebih 1 kilometer, kelihatan kayu dan papan timbul di anak sungai, ia sebenarnya jambatan kayu yang sudah runtuh, kami tiada pilihan selain terpaksa melintas juga anak sungai itu.


meredah anak sungai akibat titi runtuh





Kemudian, kami mendaki bukit yang tidak berapa tinggi, jalan sudah tidak berlumpur dan sepanjang perjalanan kelihatan pokok kelapa sawit milik penduduk. Tak jauh berjalan jumpa pula gereja dan balairaya kelihatanya seperti sudah lama tak digunakan.

Kelihatan juga dua rumah PPRT di situ dan kemudian kami berjalan lagi menuruni bukit, sekali lagi kami terpaksa melintas anak sungai dan keadaan yang sama jambatan yang dibina sebelum ini telah runtuh, entah bila akan dibaiki ianya tidak pasti.

Mejol terus bercerita sepanjang jalan menuju semula ke jambatan gantung ditebing Sungai Bengkoka, dia tak henti henti meluahkan rasa isi hati mengenang nasib anak isteri dan penduduk kampung Lugu yang dikasihi.

“Tuan bayangkan yea, pernah penduduk sakit tengah malam, kami terpaksa mengusung melalui laluan ini, sebelum dapat dibawa dengan kereta yang kami tinggalkan di Kampung Pandan Mandamai di seberang sana.

“kampung kami ni dah macam pulau, hasil sawit dan hasil pertanian banyak di kawasan ini tetapi sukar untuk dibawa keluar bagi dijual kerana ketiadaan jalan raya, kalau nak jual juga kami terpaksa memikul melalui laluan yang sangat mencabar ini,” katanya.

Mejol terus menyambung cerita, menurutnya Kampung Lugu sebenarnya pernah dikunjungi pemimpin negeri dan persekutuan, untuk melihat kehidupan penduduk di situ.

Katanya, mungkin pemimpin tersebut mempunyai perancangan untuk menyediakan kemudahan jalan raya di kampung ini, kerana permohonan daripada penduduk kampung sudah dibuat oleh pemimpin di sini.



“Saya tidak salahkan pemimpin kerana saya tahu mereka banyak kerja dan mungkin ada tempat lain di pedalama Pitas ini yang perlu diutamakan dulu, mungkin juga belum rezeki kami untuk menikmati jalan raya,” katanya.

Penjelajahan saya di Kampung Lugu Pitas kira-kira 3 jam berakhir di tebing Sungai Bengkoko, walaupun agak penat namun saya puas kerana dapat menyaksikan satu lagi kisah kehidupan penduduk  Negeri di Bawah Bayu yang sentiasa cekal, tabah dan gigih.





Gigih dalam menempuh kehidupan yang serba kekurangan dari segi kemudahan awam. Tabah menempuh dugaan hidup dalam negara dan negeri yang membangun tetapi kemudahan belum sampai ke kampung mereka. Cekal meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga tercinta dengan berusaha mencari makan dari sumber sedia ada.

Adakah mereka sememangnya tidak mahu kemudahan awam? Apakah mereka mahu kekal hidup dalam suasana alam semulajadi yang tidak tercemar? Hanya penduduk Kampung Lugu yang mengetahuinya.

Catatan:-

IDZHAM HADI SIDIK

Pengerusi
Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia (Amal Malaysia)
280121 - KK.Sabah


 

 

 

 

 

  

BANTUAN BANJIR PITAS GUNA HELIKOPTER

HELIKOPTER digunakan dalam Misi Bantuan Banjir Pitas siri II anjuran bersama organisasi sukarela "Reach Out", Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Kota Kinabalu dan PBSMM Pitas pada 25 hingga 31 Januari 2021.

Penggunaan helikopter milik Layang Layang Aerospace Sdn Bhd ini merupakan salah satu misi kemanusiaan dan CSR syarikat penerbangan tersebut dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan pedalaman.


Sukarelawan misi bantuan banjir Pitas bergambarbersama sama
Kapten Khalaiselvan, Juruterbang Sofia Lena dan krew Layang Layang Aerospace 

Kerjasama antara syarikat swasta itu dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ini terbukti memberi manfaat kepada lebih 300 mangsa banjir di beberapa kampung yang terjejas dan sukar untuk mendapatkan bantuan yang disalurkan sebelum ini.

Kesukaran itu disebabkan, kampung kampung berkenaan terletak jauh di pedalaman, tiada perhubungan jalan raya manakala ada juga kampung yang terputus hubungan disebabkan kejadian tanah runtuh dan laluan masih berlumpur akibat banjir.

taklimat sebelum penerbangan misi bantuan banjir

                                                                 Kapten Khalaiselvan



Juruterbang Sofia Lena


Helikopter yang diterbangkan oleh juruterbang Sofia Lena Wiliam berlepas dari Hanger Layang Layang Aerospace pada kira kira jam 10 pagi dan selamat mendarat di Padang Daerah Pitas pada pukul 10.29 pagi.

Penulis berpeluang menaiki helikopter untuk menghantar bantuan




Fauziah turut menaiki helikopter ke lokasi penghantaran bantuan

Kampung Lok Dangkaan dari udara

Cuaca berawan dan hujan pada sebelah pagi tidak mengganggu penerbangan helikopter yang diketuai Kapten Khalaiselvan Letchumanan bersama sama dua lagi juruterbang Layang Layang Aerospace.

Menurut Kapten Khalaiselvan Letchumanan, sebanyak lapan penerbangan di lakukan antara Padang Daerah Pitas ke lokasi penghantaran barangan bantuan di kampung Lok Dangkaan.

 

antara barangan makanan yang di hantar ke lokasi





Katanya, penerbangan dilakukan pada ketinggian 1,000 kaki, setiap penerbangan pergi dan balik mengambil masa 30 minit dengan membawa barangan makanan seberat 300 kilogram.

 "Kelajuan helikopter agak terhad disebabkan cuaca berawan dan hujan serta menghadapi keadaan angin lintang selain tempat mendarat di kampung Dangkaan bertanah tidak rata dan terdapat banyak pokok tinggi," katanya.

Beliau menegaskan, penerbangan yang dilakukan sentiasa mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta prosedur penerbangan untuk memastikan keselamatan pada tahap terbaik.





Berkenaan misi itu, Kapten Khalaiselvan berkata dia amat teruja dan bertuah kerana dapat sama sama menyumbang tenaga untuk membantu mangsa banjir yang kekurangan belakan makanan harian akibat jalan terputus dan tanah runtuh.

 "Saya bertuah kerana dapat membantu penduduk kampung di Kawasan pedalaman Pitas ini, saya berharap bantuan yang diberikan ini dapat meringankan bebanan yang mereka hadapi," katanya.

Sementara itu, Juruterbang Sofia Lena William yang terlibat secara langsung dalam misi itu amat gembira kerana dapat bersama sama sukarelawan yang bersemangat membantu mangsa banjir.

Anak gadis kelahiran negeri di Bawah Bayu ini turut melahirkan rasa bertuah kerana terpilih dalam misi itu sambil mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan juga penaja yang membolehkan helikopter yang diterbangkannya beroperasi dalam misi itu.

 "Saya amat gembira dapat bekerja  dengan orang kampung yang bersemangat untuk tolong mangsa banjir, terima kasih semua," katanya.



Untuk rekod, misi bantuan banjir bagi daerah Pitas Sabah ini  diusahakan oleh organisasi sukarela "Reach Out" diketuai oleh Fauziah Mohd Fuad Stephens dengan mengumpulkan dana daripada orang ramai.

Turut terlibat dalam misi bantuan banjir ini ialah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Kota Kinabalu, PBSMM Pitas, Syarikat Jawala Plantation Industries S/B, Persatuan Amal dan Kebajikan Bencana Malaysia (Amal Malaysia), Sabah Engineers Association, Rotary Club Kota Kinabalu dan HD Enterprise. 













- Idzham Hadi Sidik - [270121]







MISI BANTUAN BANJIR PITAS

SEMANGAT ingin membantu, berkongsi rasa dukacita, mengaggih rezeki untuk sama dirasa dan tegar melaksanakan kerja sukarela mendorong 13 individu sepakat menghantar bantuan bencana banjir di Pitas mulai 18 Januari 2021.

Saya dan semua individu yang terlibat dalam misi ini pernah sama sama mengharungi cabaran Trans Borneo The Last Frontiers 2019 (TBFL) dengan menempuh laluan berliku lebih 1,200 kilometer dari Kota Kinabalu ke Lawas Sarawak menjalajah Kalimantan Utara dan kembali ke Sabah melalui Kalabakan.
peserta misi bantuan bencana banjir Pitas berkumpul di rumah Toh Puan Hajjah Rahimah sebelum berlepas ke lokasi [180121 - 0851hrs]

Pada misi banjir Pitas kali ini saya dan rakan-rakan mewakili NGO masing-masing, REACH OUT, Tough Diesel, Persatuan Bulan Sabit Merah Kota Kinabalu, Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia dan Kelab Land Rover Sabah.

Fauziah (Elma) Stephens individu bertanggungjawab mengumpulkan wang tunai daripada kenalan rapat dan orang ramai seluruh Malaysia untuk membeli barangan keperluan harian antaranya beras, minyak masak, tepung, gula, garam dan mee segera.
telur antara barangan yang dibawa ke lokasi untuk diserah kepada mangsa banjir

Alhamdulillah, sebagai Pengerusi Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia, saya mempelawa rakan2 RTM Sabah dan rakan niaga Q SureRich untuk sama sama menyumbang, hasilnya barangan keperluan diri seperti sabun mandi, berus dan ubat gigi, tuala wanita dan tisu basah dapat dibeli untuk diaggih kepada mangsa banjir.
Tuala wanita, berus gigi, ubat gigi dan sabun mandi antara barangan keperluan diri sumbangan rakan RTM Sabah

Semua peserta berlepas dari Kota Kinabalu pada pukul 10 pagi. Oleh kerana laluan Kota Kinabalu - Kota Belud ditenggelami air, konvoi bantuan banjir ini melalui jalan Tamparuli - Ranau - Marak Parak - Kota Marudu. Konvoi akhirnya sampai ke Pitas pada jam 3.49 petang.
konvoi 4x4 ke Pitas melalui Jalan Tamparuli - Ranau - Kota Marudu - Pitas.

TBLF 2019 Group sukarelawan misi bantuan banjir Pitas

Sebaik tiba di Pitas, sukarelawan bergerak ke Kampung Andab untuk menghantar bantuan yang dibawa sebelum diaggihkan kepada penduduk kampung Kg. Andap, Kg Ladap, Kg Gambir, Kg Kambalang dan Kg Kinagoh..

pekan Pitas sunyi sepi selepas banjir

Selain konvoi 7 pacuan empat roda (4x4), sebuah lori 7 tan turut digunakan untuk membawa barangan bantuan.

Dari pekan Pitas, kami terus masuk ke kampung Andab melalui jalan Kampung Babau Katabasan Laut. 500 meter pertama konvoi bergerak lancar, namun memasuki jarak 1 kilometer dari jalan besar, lori yang digunakan terbenam di dalam lumpur pada jalan tak berturap.

lori membawa barangan bantuan tenggelam di dalam lumpur

Disinilah sukarelawan berpadu tenaga mengerah kudrat berusaha mengatasi masalah yang sedang dihadapi. Tiada langsung rungutan, tak berbunyi ayat salah menyalah antara satu sama lain, sebaliknya mereka tahu tugas masing masing.

Lori ditarik oleh kenderaan pacuan empat roda milil white, namun gagal. Cuba lagi, kali ini 3 pacuan empat roda digunakan untuk menarik lori yang suda sengget akibat tayar belakang sebelah kanan sudah tenggelam dilumpur.
usaha menarik lori yang terbenan di lumpur menggunakan 3 kenderaan pacuan 4 roda
Usaha ini juga gagal. Langkah seterusnya mengeluarkan barang2 bantuan yang dimuatkan di dalam lori untuk menjadikan kenderaan itu lebih ringan dan boleh ditarik keluar dari lumpur. 

semua muatan dalam lori dikeluarkan

Tindakan ini berjaya menarik keluar lori yang terbenam. Semua barang2 dimuatkan dalam kenderaan penduduk kampung yang datang beramai ramai membantu. Dalam masa sejam semua kerja memindahkan barang barang dapat diselesaikan.
selesai memindahkan barangan bantuan dari lori ke kenderaan penduduk kampung

Dalam cuaca hujan dan keadaan mulai gelap perjalananan ke kampung Andab diteruskan demi untuk menyampaikan bantuan antaranya 235 kampit beras dan lain lain keperluan harian dan kelengkapan kebersihan diri.

Sekitar jam 7.38 malam semua barangan dapat diserahkan kepada penduduk kampung. Alangkah terharu apabila kami dimaklumkan mereka sebenarnya menunggu kehadiran sukarelawan sejak pagi.

Ada di kalangan penduduk yang gigih berjalan kaki lebih setengah hari dari kampung masing masing ke kampung Andab untuk mendapatkan barangan bantuan yang kami bawa.
Ucapan terima kasih saya sampaikan daripada penerima bantuan kepada setiap individu yang menyumbang dalam misi bantuan bencana banjir Pitas ini. Semoga rezeki anda akan diperluaskan lagi. 
Idzham Hadi Sidik
Pengerusi
Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia [190121]








AIR SOYA & TAUFUFAH BUDAK TIUT