AIR SOYA & TAUFUFAH BUDAK TIUT

BAZAR RAMADAN LIPIS - TAUFA BUDAK TIUT LAKU KERAS

Taufa budak tiut Lipis laku keras setiap kali bazar Ramadan... ini cerita 1989/1990

Tahun 1989/1990 menjadi antara kenangan paling manis dalam hidup saya. Itulah kali pertama saya dan rakan-rakan mencuba nasib berniaga di bazar Ramadan di Kuala Lipis, berhampiran stesen bas Kuala Lipis. 

Kami ketika itu masih penuntut di Institut Pertanian Kuala Lipis (IPKL) atau lebih popular dengan gelaran "Budak Tiut". Penuh semangat muda dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Saya bersama sahabat-sahabat baik — Ibrisham, Ramzee Baharin dan Ghazali Mohamad (Arwah), Hamidon (Arwah) sepakat untuk menjual air soya dan taufufah. 

Ilmu membuat kedua-dua produk ini kami pelajari sendiri daripada pensyarah IPKL. Setiap pagi selepas Subuh, ketika suasana masih berkabus dan sejuk, kami sudah berada di dapur bengkel.

Kerja bermula dengan merebus kacang soya, kemudian mengisar dan memerahnya sebelum diproses menjadi air soya dan taufufah.

Walaupun kini saya hampir terlupa langkah terperincinya, berikut saya sertakan semula resepi asas seperti yang kami amalkan dahulu:



Resepi Air Soya (Cara Tradisional)

Bahan-bahan:

  • 1 kg kacang soya (rendam semalaman)

  • 8–10 liter air

  • 2–3 helai daun pandan

  • Gula secukup rasa

  • Sedikit garam

Cara-cara:

  1. Rendam kacang soya semalaman. Esok paginya, buang kulit yang terapung dan bilas bersih.

  2. Kisar kacang soya bersama air sehingga halus.

  3. Tapis menggunakan kain kasa, perah untuk mendapatkan pati soya.

  4. Masak pati soya bersama daun pandan. Kacau selalu supaya tidak berketul atau berbau hanyir.

  5. Setelah mendidih 15–20 minit, masukkan gula dan sedikit garam.

  6. Sejukkan sebelum dimasukkan ke dalam plastik untuk dijual.


Resepi Taufufah (Tau Fu Fa)

Bahan-bahan:

  • 2 liter air soya segar (tanpa gula)

  • 1–2 sudu teh Saiko atau GDL (Glucono Delta Lactone) atau air batu kapur makanan

  • Air gula (gula melaka/gula putih + daun pandan)

Cara-cara:

  1. Panaskan air soya hingga hampir mendidih.

  2. Larutkan Saiko @ GDL dengan sedikit air suam dan tuang ke dalam bekas.

  3. Tuang air soya panas ke dalam bekas tersebut tanpa dikacau.

  4. Tutup dan biarkan 20–30 minit sehingga mengeras lembut.

  5. Hidangkan dengan air gula panas.

Cuma nak bagitau, Saiko atau GDL tu kami terpaksa beli di Kuala Lumpur. Saya ingat lagi lokasinya antara Pudu Raya nak ke Bas Stand Klang ada deretan kedai India menjual rempah ratus.

Di kawasan itulah saya membeli Saiko atau GDL ni, harganya tidak begitu mahal, tapi saya dah lupa nilainya. Beli sekali boleh simpan dan tahan lama. Saiko keras untuk buat tahu manakala Saiko lembut untuk buat taufufah.

Petang selepas kuliah, kami akan mengangkat tong-tong air soya dan bekas besar taufufah ke tapak bazar Ramadan berhampiran stesen bas. Kadang-kadang terasa lenguh juga mengusung barang, tetapi semangat berniaga mengatasi segalanya.

Alang-alang menulis saya ceritakan lah serba sedikit pusat pengajian yang menjadi kebangaan kami suatu ketika dulu. Institut Pertanian Kuala Lipis merupakan pusat pengajian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (ketika itu dikenali sebagai Kementerian Pertanian). 

Institut ini menawarkan pembelajaran berkaitan bidang pertanian secara teori dan praktikal. Penuntut dilatih menjadi bakal Juruteknik Pertanian yang mahir dalam tanaman, ternakan, pengurusan ladang serta teknologi asas pertanian. Selain itu, semangat keusahawanan turut diterapkan supaya graduan bukan sahaja mahir bekerja, tetapi mampu menjadi usahawan tani yang berdikari.

Di Kuala Lipis, pengajian hanya melibatkan Tahun 1 dan Tahun 2. Untuk Tahun 3, pelajar akan menyambung pengajian di institut lain seperti Institut Pertanian Besut, Institut Pertanian Ayer Hitam atau Institut Pertanian Serdang. Sistem ini membuka peluang kepada pelajar merasai suasana pembelajaran dan pengalaman pertanian di negeri yang berbeza.

Alhamdulillah, air soya dan taufufah IPKL memang cepat terkenal. Kalau tidak silap, masa itu hanya kami sahaja yang menjual air soya dan taufufah di bazar tersebut. 

Harga pula cuma RM2 satu plastik. Belum pun azan Maghrib berkumandang, jualan kami hampir habis. Ada hari yang belum sempat matahari terbenam, semuanya sudah licin!

Sokongan masyarakat Kuala Lipis memang luar biasa. Penduduk setempat cukup mengenali penuntut Institut Pertanian Kuala Lipis. Apa sahaja produk yang kami jual — sama ada hasil tanaman, anak pokok atau minuman seperti ini — pasti mendapat sambutan hangat. Mereka percaya kepada kualiti hasil tangan pelajar institut pertanian. Rasa seperti berniaga dalam kalangan keluarga sendiri.

Kuala Lipis sendiri bukanlah bandar biasa. Ia merupakan kampung halaman kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, artis kebanggaan negara. Ada rasa bangga juga berniaga di bumi yang melahirkan anak seni sehebat itu.

Waktu lapang pula, kami selalu “jemming” bersama rakan-rakan berhampiran Stesen Keretapi Kuala Lipis. Bunyi gitar bersahut dengan gelak tawa, kadang-kadang diselang-seli bunyi kereta api yang lalu. Itulah hiburan ringkas anak muda kampung pada waktu itu — sederhana tetapi penuh makna.

Kini, apabila dikenang kembali, bukan soal untung rugi yang paling diingati. Tetapi persahabatan, disiplin bangun awal pagi, semangat keusahawanan yang dipupuk oleh institut, serta sokongan masyarakat Kuala Lipis yang menjadikan pengalaman berniaga di bazar Ramadan tahun 1990 itu begitu istimewa.

Air soya RM2 satu plastik mungkin kecil nilainya hari ini, tetapi kenangannya terlalu besar dalam hidup kami. Institut Pertanian Kuala Lipis pusat pengeluaran modal insan berjiwa kental.

-ihs.0km-


PART 3 - BATAM DESTINASI LIBUR 3 KELUARGA

 HARI TERAKHIR DI BATAM : KEK LAPIS, DOLPHIN FAST FERI, POP MEE

MASA untuk berangkat meninggalkan Batam. 16 Februari tarikh akhir kami berada di Kepulauan Riau ini dan akan kembali ke Malaysia selepas lengkap kunjungan 3 hari 2 malam ke sini.

Ternyata ziarah ini tak ubah seperti melawat saudara serumpun yang sama adat resam dan budaya malah dialek percakapan, lenggok perbualan Melayu tak banyak beza, inilah Melayu - Riau.

Macam biasa apabila orang Malaysia melancong, 1 beg akan beranak 2 - 3 beg. Kunjungan ke Batam ini beranaknya kembar pulak, ada 10 beg (aku panggil beg cembet) tiba-tiba bertambah.

Bukan berat pun, dalamnya isi Pop Mee (Mi segera produk Indonesia), semua sekali berjumlah 10 kotak, 1 kota ada 24 cup, maknanya jumlah keseluruhan pop mee itu adalah sebanyak 240 cup.



Masalah nak bawak kotak - kota Pop Mee selesai, kami ada 12 orang jadi setiap oramg akan membawa 1 kotak. Perancangannya apabila tiba di pakir basement Berjaya Waterfront barulah akan dibahagi bahagi jenis Pop Mee tersebut.

Pukul 0820 WIB selepas daftar keluar hotel, kami semua bertolak dengan van ke Pelabuhan Gold Coast Bengkong. Barang - barang dan baggasi pula dibawa menggunakan MPV Avanza terus ke pelabuhan.

Sebelum sampai ke pelabuhan, sempat singgah di kedai kek rumah kue wiweka yang menjual produk kek lapis Batam, kek lapis lengit selain ada bika ambun dan kek pisang.

Harga antara IDR20k hingga IDR150k mengikut jenis kek dan saiz kek. Kalau membeli kek melebihi jumlah IDR200k, peniaga akan membungkus kek tersebut dalam kotak. Jika kuran bungkusan sekadar guna plastik bising.

Sebahagian jenis kek yang dijual untuk pelancong

Selesai membeli belah ke lapis (lontaran terakhir) perjalanan ke pelabuhan di teruskan dan kami singgah di lokasi penutup destinasi pelancongan Batam iaitu Masjid Muhammad Cheng Ho (Masjid Cina).

Masjid ini juga ada hubungkaitnya dengan Laksamana Cheng Ho yang datang ke Melaka, nama-nama ikon seperti ini menguatkan lagi bahawa Batam sememangnya ada kaitan dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka.



Pelabuhan Gold Coast Bengkok menjadi destinasi terakhir kami berada di Batam. Terminal jeti dan kompleks Kastam serta Imigrasi di sini nampak baru malah urusannya juga tidak sesibuk pelabuhan Batam Centre.

Kami sampai awal di pelabuhan, masih belum ada kumpulan lain kelihatan ke pelabuhan ini untuk berlepas dengan ferri dolphin menuju ke Stulang Laut ataupun lain-lain pelabuhan.

Barang-baran kami telah dipersiapkan oleh Pak Arkan dan kelihatan di bawa masuk terlebih dahulu ke ruang pemeriksaan Kastam sebelum kami pula masuk ke ruang Imigresen untuk urusan dokumentasi.


Pukul 1130WIB penumpang tujuan ke Stulang Laut dipanggil melalui pembesar suara di pelabuhan itu. kami suda beratur lebih awal dan sebaik panggilan, kami 12 orang segera masuk untuk imbas boarding pass kemudiannya terus ke ruang imigrasi.

Urusan di pelabuhan Bengkong ini amat teratur dan mudah, dalam tempoh 10 minit semuanya selesai dan kami sudah berada di bahagian belakang perut feri untuk memulakan pelayaran.

Belum pun feri bergerak, Pop Mee dan kerepek di ruang cafe feri menjadi pilihan untuk kami beli menggunakan rupiah yang masih berbaki, nak tukar semula kepada ringgit sudah pasti nilai rupiah rendah, confirm rugi

Alhamdulillah... dapat naik feri yang sama semasa perjalanan Stulang Laut - Batam pada Sabtu (140226). Selesa dan luas, penumpang pun tak ramai maka tidak bersesak sesak dalam feri.

Selepas menempuh pelayaran 2 jam 15 minit, kami sampai di Pelabuhan Antarabangsa Stulang Laut Johor Bahru. Selesai urusan kastam dan imigresen kami terus ke tempat pakir.

Pembahagian Pop Mee dibuat di ruang pakir "satu untuk ko, satu untuk aku, dua untuk ko, dua untuk aku.... begitulah setersunya.

Percutian ke Batam 3 hari 2 malam melibatkan saya bersama keluarga Saifullah dan Sabaruddin (exTeknik Melaka 87/88) menjadi sejarah buat kami sendiri. InshaAllah ada rezeki kita jalan lagi.




-ihs.0km-




JEJAK TAMADUN MELAYU KEPULAUAN RIAU


TRIP BATAM - BUKAN SEKADAR PERCUTIAN TETAPI MENJEJAKI SEJARAH MELAYU

Dari Kejatuhan Melaka ke Kegemilangan Raja Ali Haji


Sebelum berkelana dengan beberapa kumpulan rombongan di kalangan rakan-rakan ke Batam, saya berpendapat ada baiknya dikaji dan diselidiki dulu destinasi tujuan supaya ziarah atau kunjung kita ke tempat itu akan lebih dijiwai.

Kebetulan wilayah Kepualaun Riau adalah lokasi dan tempat diadakan pelbagai program semasa saya bergiat aktif dalam persatuan belia sejak 25 tahun lalu. Jadi Riau tidak asing lagi bagi saya dan kisah serta sejarah Riau ada dalam pengetahuan saya.
 
Angin laut yang menyapu pesisir Pulau Penyengat seakan membawa gema sejarah silam. Di pulau kecil inilah terjalin kesinambungan tamadun Melayu yang bermula daripada Kesultanan Melayu Melaka, berkembang melalui Kesultanan Johor, dan mencapai kematangan intelektual dalam era Kesultanan Riau-Lingga.

Sejarah Melayu bukan hanya kisah kekuasaan, tetapi kisah kelangsungan bahasa, adab dan ilmu. Dari Melaka ke Johor-Riau, Warisan yang tidak terputus. Selepas Melaka jatuh pada 1511, waris kesultanan berundur dan membina semula kekuatan di Johor. 


Dari situ lahirlah empayar maritim Johor-Riau yang menguasai laluan perdagangan penting Nusantara. Walaupun perpecahan politik berlaku akibat Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, warisan budaya dan bahasa tetap berakar sama. Di Riau-Lingga, perkembangan ilmu dan persuratan menjadi nadi kekuatan baharu. Siapakah Raja Ali Haji?

Raja Ali Haji (1808–1873) ialah seorang ulama, sejarawan, sasterawan dan pemikir bahasa Melayu yang lahir di Pulau Penyengat, pusat intelektual dalam wilayah Kesultanan Riau-Lingga. Beliau berasal daripada keluarga bangsawan Bugis-Melayu yang berpengaruh dalam pentadbiran Johor-Riau.



Peranan dan Sumbangan Utama

Tokoh Persuratan Melayu
Beliau mengangkat kesusasteraan Melayu ke tahap yang lebih sistematik dan berfalsafah. Karya terkenalnya, Gurindam Dua Belas (1847), menghimpunkan nasihat tentang agama, akhlak, kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam bentuk puisi yang padat dan mendalam.

Sejarawan Johor-Riau
Melalui Tuhfat al-Nafis, beliau merakam sejarah politik dan keturunan raja-raja Melayu-Bugis Johor-Riau. Karya ini menjadi sumber penting dalam kajian sejarah Alam Melayu abad ke-18 dan ke-19.

Perintis Pembakuan Bahasa Melayu
Menerusi Bustan al-Katibin, Raja Ali Haji menyusun pedoman tatabahasa dan penggunaan bahasa Melayu. Usaha ini dianggap antara langkah awal pembentukan sistem bahasa Melayu baku yang menjadi asas kepada bahasa Melayu moden di Malaysia dan Indonesia.

Mengapa Beliau Penting?

  • Diiktiraf sebagai Pahlawan Nasional Indonesia atas sumbangan intelektualnya.

  • Dianggap pelopor standardisasi bahasa Melayu.

  • Menjadikan Pulau Penyengat pusat keilmuan dan kebudayaan Melayu abad ke-19.

  • Menyatukan unsur agama, adat dan politik dalam pemikiran Melayu.

Warisan yang Kekal

Makamnya di Pulau Penyengat terus diziarahi oleh sarjana, pelajar dan pencinta sejarah dari seluruh Nusantara. Beliau bukan sekadar tokoh sejarah, tetapi simbol martabat bahasa dan tamadun Melayu.

Ringkasnya, Raja Ali Haji ialah arkitek intelektual Melayu moden — tokoh yang memastikan bahasa dan pemikiran Melayu terus hidup merentas zaman dan sempadan negara.

Raja Ali Haji dan Falsafah Melayu

Di tengah kebangkitan intelektual itu muncul tokoh besar, Raja Ali Haji (1808–1873). Melalui karya agungnya Gurindam Dua Belas, beliau merumuskan falsafah kehidupan Melayu dalam bentuk puisi nasihat yang padat dan mendalam.

Antara rangkap paling terkenal ialah:

“Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang yang ma‘rifat.”

Empat yang dimaksudkan merujuk kepada syariat, tarekat, hakikat dan makrifat — asas pembentukan insan berakhlak dan berilmu.

Dalam fasal lain, beliau mengingatkan tentang kepentingan menjaga pancaindera:

“Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.

Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah damping.”

Nasihat ini menunjukkan betapa pembinaan tamadun menurut Raja Ali Haji bermula daripada disiplin diri.

Tentang kepimpinan dan tanggungjawab raja pula, beliau menegaskan:

“Raja mufakat dengan menteri,
Seperti kebun berpagarkan duri.”

Ungkapan ini menggambarkan pentingnya musyawarah dan sistem pentadbiran yang adil dalam sesebuah kerajaan.

Hang Tuah, Hang Nadim dan Jiwa Kepahlawanan

Kepulauan Riau juga tidak terpisah daripada legenda Melayu. Kisah Hang Tuah sebagai simbol kesetiaan dan keberanian tersebar luas dalam manuskrip dan tradisi lisan Johor-Riau.

Begitu juga cerita Hang Nadim yang bijaksana menyelamatkan Singapura daripada serangan todak. Legenda ini hidup merentas Melaka, Johor dan Riau, memperlihatkan kesatuan imaginasi dan nilai dalam dunia Melayu.

Batam dan Bintan: Percutian yang Menjadi Ziarah Sejarah

Batam hari ini dikenali sebagai kota moden, namun secara sejarah ia terletak dalam jaringan perdagangan Johor-Riau.

Sementara itu, Bintan pernah menjadi pusat awal pemerintahan Johor selepas kejatuhan Melaka. Di pulau inilah berdiri tapak istana dan kompleks makam diraja.

Percutian ke Batam dan Bintan boleh dirancang sebagai pengembaraan sejarah:

  • Menelusuri jejak pemerintahan Johor-Riau
  • Menghayati seni bina masjid abad ke-19
  • Mengkaji manuskrip dan warisan persuratan Melayu
  • Menziarahi makam ulama dan bangsawan

Ia adalah perjalanan menyelami akar identiti, bukan sekadar menikmati pantai.

Warisan yang Terus Berdenyut

Dari Melaka ke Johor, dari Johor ke Riau-Lingga — kesinambungan ini membuktikan bahawa tamadun Melayu bertahan melalui ilmu dan bahasa.

Seperti yang diungkapkan Raja Ali Haji:

“Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.”

Nasihat itu masih relevan hari ini — dalam kehidupan individu mahupun dalam memelihara warisan bangsa.

Menjejakkan kaki ke Pulau Penyengat, Batam atau Bintan bererti mendekati akar sejarah serumpun. Di situlah kita menyedari bahawa bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi jiwa tamadun yang menyatukan Nusantara.

Tiga hari menjelang Ramadan 1447H, saya bersama dua sahabat yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu Melaka memilih berkunjung ke Batam, Bintan, Pulau Penyengat dan Tanjung Pinang.

Kedatangan kami bersama keluarga masing-masing bukan sekadar percutian biasa, kami jelajah kerana persahabatan, kami jejaki wilayah Riau yang kaya dengan sejarah Kesultanan Melayu yang kini hanya tinggal kenangan. Pengajaran sudah di depan mata. Jangan sampai kedaulatan serta kuasa Raja dan Sultan di bumi Malaysia hilang... tinggal adat sahaja.

Sejarah Kesultanan Melayu dan adat budaya Melayu
di Pulau Penyengat terpelihara sebaiknya 

-ihs.0km-

 



 

PART 2 - BATAM DESTINASI LIBUR 3 KELUARGA

 MEREDAH OMBAK KE BINTAN

Bot laju & Bot pancong menjadi kenderaan utama pada hari ke-2 dari Telaga Punggur
(Batam) menuju ke Tg. Uban, Tg.Pinang & Pulau Penyengat (Bintan)

SEAWAL jam 0600 (WIB) kami mengambil sarapan di level 1 Hotel Aston. Menu sarapan yang disediakan pelbagai pilihan. Dari western hinggalah makanan tradisional Melayu Riau, nasi lemak, lontong, sup, bubur kacang hijau dan bubur pulut hitam selain kuih muih tersedia.

Terdahulu, gerakan untuk mengejut anak-anak muda di bilik hotel berasingan menjadi cabaran. Call tak berjawab, bantuan reception untuk membuat panggilan telefon kamar juga gagal, akhirnya pergi sendiri ketuk pintu bilik, barulah tersedar dari lena yang mungkin dibuai mimpi indah sejak malam tadi.

Selesai sarapan dan semua bersedia, tepat pukul 0700 (WIB) van sewa khas untuk trip kami bertolak ke Pelabuhan Telaga Punggur. Jarak perjalanan kira-kira 28 kilometer dan mengambil masa 30 minit untuk sampai.

Apabila sampai di pelabuhan, pemandu pelancong Arkan sudah bersedia dengan boarding pass untuk menaiki bot laju menuju ke Tanjung Uban. Kelihatan penumpang beratur panjang bagi menuju ke destinasi masing-masing.

Dalam kesibukan penumpang beratur menunggu giliran, kami dengar suara petugas pelabuhan "Uban... uban... uban di antri ini", itu adalah destinasi kami dan segera Pak Arkan melambai kami untuk segera ke lane khas.

Syukur... permulaan perjalanan hari ke-2 kami dipermudahkan dengan susunan dan aturan terbaik daripada pemandu pelancong yang memastikan kami tidak perlu lagi beratur panjang untuk menaiki bot laju.

Bot laju muatan 25 orang sangat selesa dengan perjalanan 20 minit
dari Telaga Punggur ke Jeti Tanjung Uban (Bintan)

Bot laju dilengkapi dengan jaket keselamatan

Bot laju mula meluncur dan laluan digunakan merentasi beberapa pulau kecil yang berpenghuni. Kerana itu ia menuntut bot yang kami naiki memperlahankan kelajuan ketika melintasi Pulau Ngenang dan Tanjung Sauh.

Santai meredah dua pulau kecil itu, dapat kami lihat kampung dan rumah yang dibina di atas air selain kapal nelayan yang digunakan penduduk pulau untuk mencari rezeki.

Pulau Ngenang
    Info dari google map menjelaskan Pulau        Ngenang terdapat Gardu Induk 150KV        (Gardu induk adalah stesen janakuasa        elektrik).

Sekitar pukul 0910WIB, rombongan kami mendarat di jeti Tanjung Uban Pulau Bintan. Alhamdulillah masa yang diperuntukkan untuk jadual hari ke-2 berjalan lancar dan pada landasan terbaik.


Jeti Tanjung Uban Pulau Bintan

Van dari Bintan sudah sedia menunggu, kami terus bertolak menuju destinasi pelancongan viral dan popular iaitu Tasik Biru. 45 minit perjalanan kami sampai di Tasik Biru dan bayaran masuk IDR100k seorang.

Dari informasi pelancongan, Tasik Biru Bintan ini adalah bekas lombong pasir yang airnya kelihatan biru. Kebiruan air tasik ini akan lebih menyerlah apabila cuaca panas.




Melalui pemerhatian, kawasan tasik biru ini tak ubah atau sama saja keadaannya dengan tasik Chincin (tebat) di Jasin. Bezanya tebat kini sudah popular dengan markisa manakala tasik biru ini popular dengan pelbagai pemandangan selain disediakan photo booth untuk pelancong bergambar. 

Tak lama di tasik biru lebih kurang satu jam sahaja. Kami meneruskan tour Bintan dengan menuju ke Kota Tanjung Pinang. Tak singgah pun di ikonik siput gonggong kerana misi kami adalah ke Pulau Penyengat. 

Dari Tanjung Pinang kami menaiki bot pancong ke Pulau Penyengat. Dari pandangan mata kasar jaranya tidak jauh. Pelayaran mengambil masa 15 minit dan kami menjejakkan kami di Pulau yang kaya dengan kesan sejarah Kesultanan Melayu Johor dan Kesultanan Melayu Riau - Lingga.

Bot pancong menuju Pulau Penyengat

Sebaik sahaja tiba di Pulau Penyengat kami berjalan kaki kira-kira 100 meter menuju ke Masjid Raya Sultan Riau. Dari situ kami menaiki becak bergerak ke kompleks makan Raja Ali Haji. (Kisah Raja Ali Haji boleh rujuk link https://ms.wikipedia.org/wiki/Raja_Ali_Haji)

                                                          





Mengambil masa hampir satu jam di Pulau Penyengat, kami langsung berpatah balik ke Tanjung Pinang menggunakan bot pancong dan terus menaiki van untuk makan tengahari di restoran nasi Padang yang terletak di laluan Tanjung Pinang - Tanjung Uban.



Makan siang di restoran Nasi Padang semasa dalam perjalanan dari Tg Pinang ke Tg Uban

Selesai makan tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Tanjung Uban untuk pulang semula ke Kota Batam. Planning solat jamak dan qasar Zohor Asar di bilik hotel sahaja untuk lebih selesa.

Kebanyakan mussolah dan masjid di Bintan serta Batam tiada pemisah antara ruang solat lelaki dan wanita. Demi menjaga aurat kaum wanita maka lebih baik solat di hotel.

Aturan masa untuk sampai ke Pelabuhan Punggor Batam cantik sekali, 1530WIB kami mendarat dan kemudiannya terus bertolak ke hotel untuk menunaikan kewajiban dan rehat seketika.

1730WIB seperti yang dijanjikan, kami menunggu di lobi hotel untuk bertolak ke DC Mall bagi aktiviti membeli belah. Mengambil masa 1 jam 30 minit berada di pasaraya itu cukup memberi peluang kepada kami membeli apa yang dihajati.

Selesai mendapatkan pelbagai barangan seperti pakaian dan tudung di DC Mall, masa untuk mengisi perut dengan makan malam di restoran Sunda. sajian nasi ayam penyet.

Masa untuk rehat dan packing barang-barang yang dibeli sebab esok hari terakhir di Batam sekaligus menamatkan trip 3 hari 2 malam bersama pemandu pelancong Pak Ardi dan anaknya Arkan.






Hari ke dua... dari Batam ke Pelabuhan Punggor meluncur bersama bot laju ke Tanjung Uban, menaiki bas ke Tanjung Pinang meredah ombak dengan bot pancong ke Pulau Penyengat, berpatah balik ke Tanjung Pinang, Tg Uban dan Pelabuhan Punggor selesai trip sehari suntuk Bintan.

Hari terakhir di Batam, kek lapis Batam dan perjalanan pulang dengan Dolphin Fast Ferry serta cerita Pop Mie Indonesia, tunggu catatan Bukan sekadar holiday 3 family bersahabat dalam Part 3.

-ihs.0km-










BATAM - Destinasi pilihan sahabat 55 liburan (Part 1)

MENCIPTA MEMORI DI RIAU KEPULAUAN

3 keluarga melakar memori buat kali pertama di Riau Kepulauan
(Batam, Bintan, Tg.Pinang & Pulau Penyengat

INTRO:
Kisah persahabatan yang terjalin antara kami (Idzham Hadi Sidik, Sabarudin Md Sudi dan Saifullah Saadon) yang bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu Melaka pada 1987 & 1988, tak pernah terputus hingga kini.

Menyambung persahabatan itu hinggalah masing-masing ada keluarga sendiri dengan pelbagai cerita... ziarah raya, jemputan kenduri, ngeteh... tapi tak selalu, setahun sekali pun payah tetapi  komunikasi sentiasa ada walaupun sesekali.

BUAT kali pertama, tercetus idea untuk bercuti bersama sama keluarga masing-masing di luar negara. Sabaruddin buka mulut "Jom gi Batam". Kebetulan saya kini berjinak jinak dalam kegiatan membawa pelancong ke Indonesia melalui pengalaman menganjur pelbagai program sejak tahun 1996 ketika bergiat dalam persatuan belia.

Pak Khairul Nas, rakan yang dikenali 30 tahun lalu rekmen pada
 Pak Ardi untuk menguruskan percutian 3H 2M di Batam

Pelawaan daripada Sabaruddin itu saya sambut dan terus bagi tarikh iaitu pada 14 hingga 16 Februari, minggu terakhir Syaaban sebelum kedatangan Ramadan pada 19 Februari 2026. Perancangan percutian ini saya info di Group whatsapp "Captain Safarin - TI 87/88".

Saifullah sambut dan tiga keluarga confirm akan terlibat dalam percutian ini. Lebih kurang sebulan setengah jugalah perancangan ini. Saya terus hubungi rakan di Sumatera Barat, Pak Khairul Nas untuk mengatur pakej ke Batam.

Pak Khairul kemudiannya memberi nama dan nombor telefon rakan sekampungnya yang menetap di Batam iaitu Pak Ardi untuk urusan secara terus bagi mengurusakan tiket feri, hotel, makan dan minum selain urusan lawatan di Batam.

HARI 1 (140226)
0300 - Tayar golek dari rumah masing-masing, Sabaruddin bergerak dua kereta dari Bemban, Saifullah berdua dengan isteri bertolak dari Tangkak dan saya sendiri berempat dengan isteri serta dua anak memulakan perjalanan dari Kemendor Jasin.

Pukul 0345 kami regroup di hentian Tangkak. Meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), menempuh suasana dinihari yang tenang, purata kelajuan 110km/j kami melintasi Pagoh, Yong Peng, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Kulai dan akhirnya keluar di tol Skudai.

Dua jam perjalanan, empat kenderaan konvoi sampai di parkir berbumbung Berjaya waterfront / International Terminal Jetty Stulang Laut Johor Bahru. Sempat rehat sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah.

Dolphin fast ferry yang kami naiki berlepas pukul 0845, masih ada masa untuk kami 12 orang sarapan sebelum memasuki ruang imigresen bagi urusan dokumentasi ke luar negara.

0830 penumpang dipanggil untuk memasuki feri, sepantas kilat kami bergerak. Alhamdulillah urusan di Imigresen amat mudah. Duduk di barisan hadapan tempat duduk feri (free seating). tepat pukul 0900 Dolphin fast ferry berlepas menuju ke Batam.

Satu jam pertama, perjalanan tidak laju, kami dimaklumkan feri hanya bergerak dengan kelajuan 12knot/jam untuk mengelakkan hakisan pada tebing daratan Singapura dan Malaysia.

Dalam perjalanan, kami turut berpeluang naik ke bahagian dek atas feri untuk menikmati keindahan laluan laut dan sempat bergambar sepanjang pelayaran itu.

Sebaik melepasi selat Singapura, pecutan bermula dan feri yang kami naiki selamat sampai di Pelabuhan Gold Coast Bengkong Kota Batam pada kira-kira pukul 1045 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB). Beza 1 jam waktu Malaysia dan Indonesia.

Gold Coast Bengkong, Kompleks pelabuhan yang masih nampak baru, urusan imigrasi dan Kastam juga tersusun, mudah untuk kumpulan kami dan penumpang lain berurusan, tak sampai setengah jam semua selesai.

Keluar dari pelabuhan, Pak Arkan suda sedia menanti, begitu juga Pak Ardi ayah kepada Arkan dan Pak Khairul Nas juga menunggu. Mereka berdua bukan sahaja menanti ketibaan kumpulan kami tetapi turut menunggu kumpulan 40 orang pelancong dari Terengganu.

Selamat sampai di Pelabuhan Gold Coast Bengkon Kota Batam pukul 1045 (WIB)

Destinasi pertama sebaik menjejakkan kaki di Kota Batam adalah Masjid Agong Raja Hamidah dan ikon "Welcome To Batam". Masjid Agong Raja Hamidah (dulu dikenali sebagai Masjid Agong Batam) telah dinaiktaraf dan boleh memuat antara 10,000 hingga 20,000 jemaah pada satu satu masa menjadi simbul agama Islam terpenting di Kota Batam.

Ikonik "Welcome To Batam" kelihatan jelas apabila kumpul;an pelancong merakam gambar dari salah satu sudut di Masjid Agong Raja Hamidah Kota Batam ini.


Tiba2 ada Mat Salleh dari US, katanya dia adalah anggota polis Amerika

On time ... masa makan tengahari cantik disusun, restoran nasi padang menjadi pilihan kumpulan pelancong kami yang diuruskan oleh Pak Arkan. Makanan yang disediakan enak malah kami turut memesan jus buah seperi buah naga, mangga dan jus jeruk (limau).

Hidangan nasi padang dengan pelbagai lauk pauk bayarannya sudah termasuk dalam pakej, kecuali jus yang dipesan masing-masing perlu membayarnya sebelum meninggalkan restoran.

Restoran Nasi Padang di Kota Batam menjadi pilihan untuk makan tengahari








Alhamdulillah... Selesai  makan tengahari, kami bergerak pula ke Masjid Tanwirun Naja atau Masjid Tanjak.

Konsep masjid ini adalah masjid terbuka, tidak mempunyai kipas cukup sekadar angin kuat bertiup di sekeliling masjid itu.

Solat Jamak dan Qasar Zohor Asar. Kami selesaikan dulu kewajiban sebelum melawat dan bergambar di sekitar masjid Tanjak serta menikmati ais krim yang dijual oleh penjaja sekitar masjid.





Berhampiran dengan Masjid Tanjak ini adalah Bandara @ Bandar Udara (Lapangan terbang) Hang Nadim Batam. Siapa Hang Nadim? laksamana Hang Nadim adalah Pahlawan Maritim Riau yang terkenal dengan keberaniannya. Beliau dipercayai anak Hang Jebat yang dipelihara oleh Hang Tuah. 

di belakang itu adalah Bandara Hang Nadim Kota Batam

Meneruskan trip 3H 2M di Batam pada hari pertama, kami meneruskan jelajah dengan berkunjung ke ikon terkemuka Batam iaitu Jambatan Balerang. Jambatan ini bukan satu tetapi ada 8 kesemuanya.

Jambatan ini menghubungkan pulau-pulau kecil di sekitar Batam dan ia sekaligus menjimatkan masa perjalanan dari satu pulau ke satu pulau (Boleh lihat peta Batam & lihat jambatan2 balerang dari 1 hingga 8)



Masa untuk menerokai produk dan destinasi pelancongan di Kota Batam pada hari pertama diteruskan dengan lawatan ke Saung Budaya. Jarak perjalanan dari Jambatan Balerang kira-kira 25 kilometer atau masa pergerakan antara 30 hingga 45 minit.

Sebelum sampai di Saung Budaya, kami berhenti seketika di Masjid Sultan Mahmud Riayat Shah untuk merakam gambar bersama di salah satu lagi ikon pelancongan Kota Batam yang kaya dengan kisah Kesultanan Melayu Riau. 


Kesultanan Melayu Riau ini ada hubung kaitnya dengan Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Johor, Kesultanan Lingga dan beberapa lagi Kesultanan Nusantara di Tanah Melayu seperti selangor, Pahang dan Perak.

Saung Budaya Batam adalah milik persendirian. Tiket masuk IDR100k seorang. Sebaik tiba di perkarangan Saung Budaya, kumpulan pelancung sudah siap dinanti oleh petugas dan mereka menyambut dengan ramah mesra.

Sempat pula membeli Bakso Bakar sambil menikmati,
buah mangga potong dan air tebu piow

Selepas membeli tiket, kita akan dibawa terus ke pentas budaya dan disajikan dengan persembahan tarian selamat datang pelbagai suku etnik kaum Indonesia. Di sini biasanya kita disajikan dengan tarian Minangkabau, Jawa dan Melayu Riau serta pencak silat.







Saung Budaya Kota Batam memelihara budaya Melayu Riau

Satu jam di pentas Saung Budaya, kami terus berangkat ke Kota Batam untuk meninjau toko kain ela (lontaran pertama). Sebaik sahaja sampai, isteri masing-masing bergegas masuk melihat dan memilih kain-kain pasang untuk kegunaan Aidilfitri kali ini.

Namun belum sampai 15 minit masing-masing dengan riak muka mencuka, senyum pura-pura keluar dari ruang toko sambil gerak bibir menyampaikan ayat berbunyi "mahal..." maknanya minta pergi ke toko lain yang lebih murah dan harga mampu milik.

Tak perlu dihebohkan toko mana yang kami pergi. Terus melangkah ke dalam van dan meninggalkan toko tersebut menuju ke penginapan iaitu Hotel Aston Nagoya yang terletak di kawasan perniagaan Kota Batam.


Aston Hotel & Residence bertaraf 4 bintang ditempah oleh Pak Ardi, cukup selesa dan penyambut tetamu juga sangat ramah dan mesra, selepas kad hotel diserahkan kepada kami, maka dapatlah berehat selama sejam 30 minit sebelum kami turun semula ke lobi untuk makan malam di restoran makanan laut.

Perjalanan ke restoran makanan laut mengambil masa 30 minit juga disebabkan keadaan jalan raya yang dipenuhi kenderaan berikutan malam minggu dan bersempena sambutan Tahun Baru Cina.

Sampai sahaja di restoran tersebut makanan sudah siap dihidangkan dan kami menikmatinya. Enak dan menepati citarasa. Ada ketam, udang, ikan serta sup seperti tomyam, amat menyelerakan dan alhamdulillah kenyang.




makan di tingkat atas, hanya kami 12 orang sahaja di ruang makan restoran
makanan laut Kota Batam ini, fuhhh ini restoran ana yang punya

Selesai makan malam, rombongan kami dibawa pula ke kedai menjual produk hiliran Batam. Pelbagai jenis kerepek, buah avarcado dan jeruk ada dijual di situ. Harga berpatutan dan kerana itulah banyak lontaran yang berlaku. beg nampak macam mula nak beranak.


Batamia

Mengakhiri aktiviti hari pertama, kami dibawa pula ke Pasaraya cenderahati Batamia. kedudukannya dengan Hotel Aston kira-kira 100 meter sahaja. Di sini ada jual pelbagai coklat, key chain, cenderahati dan kemeja T.

Bagaimanapun kebanyakan produk di sini asal dari Malaysia, hinggakan ada key chain menara Kuala Lumpur dan coklat "Made in Malaysia". Kurang jugalah lontarannya kerana apa yang kami mahukan produk Batam atau Indonesia.

2235WIB kami sampai di Hotel, masa untuk berehat. Esok menjanjikan perjalanan yang lebih jauh. Catatan ini bersambung, jangan ketinggalan ikuti Part 2 - Memori 55 Jelajah Riau Kepulauan. Bintan, Pulau Penyengat dan Tanjung Pinang. Bot laju, bot pancong dan beca seharian meredah lautan.

-ihs.0km-










AIR SOYA & TAUFUFAH BUDAK TIUT