Musibah
Serambi Mekah : Teruja Ke Sana
“Telah nampak kerusakan di darat dan di laut
disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada
mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan
yang benar)”. Surah Ar-Rum (ayat 41)
FOKUS berita keberangkatan
Jemaah haji pada musim 2004 ke tanah suci tiba-tiba disentap oleh kejadian yang
sangat mengejutkan seluruh dunia. Bencana ombak besar dari lautan Hindi melanda
Aceh di Indonesia dan sebahagian negeri negeri di utara tanah air.
Ramai sedia maklum, bencana itu
adalah tsunami, ia menjadi tajuk utama berita baik di media cetak mahupun media
elektronik. Pada masa itu media sosial belum popular maka kejadian tersebut
hanya dirujuk melalui media massa televisyen, radio serta akhbar.
Tsunami menyebabkan pelbagai
kemusnahan dan kerosakkan malah di Aceh sahaja kehilangan nyawa menjangkau
angka 300,000 orang. Bantuan dari seluruh dunia mula dihantar ke Aceh.
Pelbagai jenis bantuan dihantar ke Aceh, Pasukan keselamatan menyertai misi mencari dan menyelamat, Pertubuhan
Bukan Kerajaan (NGO) pula melaksanakan misi kemanusiaan dengan menyalurkan
bantuan makanan dan pakaian.
Bantuan dari Malaysia tidak terkecuali, ia juga
terus dihantar, Kerajaan Persekutan, Kerajaan Negeri, NGO, orang perseorangan
turut ke Aceh dan beberapa wilayah lain di Indonesia yang dilanda tsunami untuk
menabur bakti.
Pada masa kejadian saya
sendiri berkhidmat sebagai wartawan sambilan (stringer) di Berita Harian Melaka
dan juruhebah sambilan di Radio Malaysia Melaka (Melakafm). Selain itu dalam
NGO saya menjawat jawatan sebagai Ketua Penerangan Majlis Gabungan Belia Melaka
(MGBM).
Ramai kawan – kawan NGO yang
terpilih telah berangkat ke Aceh untuk menyertai misi kemanusiaan, rakan2
wartawan pula dihantar ke lokasi bencana untuk membuat liputan berkaitan
kemusnahan dan keadaan semasa di sana.
Dua minggu kejadian tsunami
Aceh berlalu, saya masih tak dapat apa-apa ‘signal’ baik dari Berita Harian mahupun
NGO untuk saya terlibat dalam tugasan pemberitaan atau misi kemanusiaan
tsunami di tanah serambi Mekah itu.
Hendak seribu
daya, Tak hendak
seribu dalih,
Saya mula resah dan hati
melonjak lonjak nak ke Aceh untuk terlibat dalam misi kemanusiaan. Dengan
semangat Pingat Bakti Masyarakat (PBM) kurniaan kerajaan negeri Melaka pada
1999, saya tekad membuat kertas kerja untuk diajukan kepada Pengerusi MGBM bagi
membolehkan saya terlibat dengan kerja sukarelawan ke Aceh.
Ingat… setiap kertas kerja
yang disediakan perlu lengkap dengan Pendahuluan, Objektif, Aktiviti,
Perbelanjaan selain fakta yang memberi keyakinan kepada Pengerusi serta
Jawatankuasa tertinggi NGO untuk meluluskan kertas kerja tersebut.
Kertas kerja saya diterima
sebulat suara oleh MGBM dan selepas mendapat restu untuk saya serta beberapa
rakan yag dipiilih menyertai misi kemanusiaan ke Aceh, kami membuat persiapan
rapi
Antara objektif misi
kemanusiaan terkandung dalam kertas kerja itu ialah membuat tinjauan dengan
merakam keadaan semasa di lokasi bencana dalam bentuk video serta gambar pegun
untuk panduan kepada lain-lain sukarelawan termasuk kerajaan negeri serta NGO yang
akan menghantar bantuan tsunami.
Selain itu, dalam bab
perbelanjaan pula. Saya serta rakan – rakan yang menyertai misi tersebut akan
mendahulukan wang sendiri ke Aceh tanpa mengharapkan peruntukan atau dana
daripada NGO yang dianggotai.
Maka inilah antara penyebab
utama saya bersama sama rakan Persatuan Kelab Kelab Belia Malaysia (MAYC)
Melaka, Abdul Razak Abu, Nasrul Ahmad dan Allahyarham Yaakub Nyat dapat ke Aceh
untuk melihat sendiri kemusnahan dan kerosakkan bumi Serambi Mekah yang dilanda
tsunami.
Mereka bertiga ini juga adalah
ahli Persatuan Belia Duyung Melaka atau popular dengan nama Beduma. Persatuan
Belia ini sangat aktif dan pernah memenangi Anugerah Belia Negara peringkat negeri
Melaka dan juga peringkat Kebangsaan.
Walaupun kertas kerja telah
diluluskan, tetapi banyak perkara lagi yang perlu dibuat persiapan rapi. Bagi
saya cuti tiada masalah kerana pekerjaan saya dengan Berita Harian dan RTM
Melaka adalah sebagai kakitangan sambilan sahaja. Begitu juga dengan Nasrul,
beliau adalah seorang ahli perniagaan, cuti boleh susun sendiri.
Bagaimanapun bagi Abdul Razak
Abu dan Allahyarham Yaakub Nyat mereka perlu memohon cuti rehat atau cuti tanpa
rekod selain mendapat kelulusan luar negara terlebih dahulu daripada Ketua
Jabatan masing-masing.
Perahu sudah
di air, Dayung sudah
ditangan,
Sementara menunggu kelulusan
tersebut, saya terus dengan persiapan lain iaitu mencari semula rakan-rakan di
Medan serta Aceh Indonesia untuk memudahkan kami melaksanakan tugasan apabila
tiba di Aceh.
Untuk urusan di Medan Indonesia,
saya menghubungi Tengku Mira Sinar Tengku Luckman. Beliau adalah kerabat
Kesultanan Serdang Medan Indonesia. Tengku Mira saya kenali melalui aktiviti
belia Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) sejak awal penubuhan pada tahun 2000.
Apapun, untuk misi kemanusiaan
itu, telah dijangka bahawa saya dan rakan-rakan akan berdepan masalah apabila
tiba di bumi Aceh kerana saya gagal menghubungi beberapa sahabat yang dikenali
melalui program Pesta Gendang Nusantara DMDI.
Kegagalan menghubungi kawan –
kawan di Aceh itu berikutan mereka mungkin salah seorang mangsa tsunami atau
telefon mudah alih mereka rosak atau hilang semasa kejadian bencana 26 Disember
itu.
Saya dan tiga lagi rakan anak
jati bumi Hang Tuah tak menoleh kebelakang lagi. Hasrat kami untuk melihat
sendiri kemusnahan akibat ombak besar tsunami di bumi Aceh kami laksanakan
mengikut perancangan asal yang terkandung dalam kertas kerja.
Kepercayaan telah diberi dan
kami perlu membuktikan bahawa pemergian kami ke bumi Aceh untuk membuat
tinjauan awal bagi misi kemanusiaan susulan mencapai matlamat serta objektif
yang kami sendiri muktamadkan.
Segala maklumat menjadi
tanggungjawab saya dan rakan-rakan misi awal tinjauan ke Aceh ini, video
recorder dan kamera pegun sudah dibekalkan, tugas kami mengumpul seberapa
banyak maklumat untuk membolehkan pelbagai pihak menyalurkan bantuan kepada mangsa
tsunami di Aceh.
11 Januari 2005, dengan
pesawat komersial Air Asia, kami mendarat dilapangan terbang Polonia Medan.
Sebaik sahaj tiba, Tengku Youl iaitu sepupu kepada Tengku Mira Sinar telah
sedia menanti kami di pintu keluar lapangan terbang Polonia.
Inilah pentingnya “contact”.
Selain memudahkan urusan kita di tempat orang ia secara tak langsung menjalin
ukhwah silaturahim yang berpanjangan dan alhamdulillah sehingga kini saya masih
berhubung dengan keluarga Tengku Mira Sinar.
Perkara pertama dan sangat
penting yang dilakukan, kami ke pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan untuk
melapor diri dan menyatakan keberadaan kami di Medan Indonesia seterusnya ke
Acehh untuk menyertai Misi Kemanusiaan.
Alhamdulillah, Pucuk
dicipta, ulam mendatang, Jika ada
kemahuan di situ ada jalan
Ini perlu dilakukan oleh semua
NGO atau orang persendirian yang mahu melaksanakan kerja – kerja amal di luar
negara dengan memberitahu kehadiran kita supaya jika berlaku apa-apa masalah,
pihak Konsul Jeneral atau Kedutaan dapat mengetahuinya.
Taklimat dan maklumat
berkaitan bencana tsunami di Aceh dan kawasan terjejas kami perolehi dan pihak
Konsul Jeneral turut memberitahu bahawa pihak Tentera Udara Di Raja Malaysia
(TUDM) sememangnya telah terlibat dalam misi ini sejak tsnunami melanda.
Nampaknya urusan kami ke Aceh
agak lebih mudah jika dapat menumpang pesawat TUDM yang setiap hari berulang
alik ke Bandara Sultan Iskandar Muda Aceh untuk menghantar pelbagai barangan
bantuan.
Syukur, akhirnya kami dapat
menumpang pesawat TUDM utuk ke Aceh selepas mendapatkan kebenaran daripada
pihak keselamatan. Bersama sama kami dalam pesawat TUDM itu kelihatan kumpulan
tabligh dari Malaysia yang sama sama berhasrat ke Bumi Serambi Mekah untuk
menghulur bantuan.
Penerbangan mengambil masa
hampir tiga jam, dan sebelum mendarat di Bandara Sultan Iskandar Muda Aceh,
pesawat yang kami naiki terpaksa berlegar legar di ruang lapangan terbang lebih
5 pusingan kerana menunggu kebenaran dan giliran untuk mendarat.
Dari ruang udara bandar Aceh
Darussalam, saya nampak dengan jelas kemusnahan dan kerosakkan dialami akibat
ombak besar tsunami yang melanda wilayah serta daerah tersebut.
Sekitar 5 kilometer dari
Pantai Aceh jelas kelihatan tiada bangunan yang tidak rosak, semuanya pecah,
ada yang runtuh malah kelihatan juga banyak kapal kapal besar dan kecil apatah
lagi perahu serta bot yang menumpang berlabuh di atas bumbung rumah serta
bangunan.
Sebaik mendarat… wah dah macam
pameran pengangkutan udara di Bandara Sultan Iskandar Muda Aceh, macam – macam
model kapalterbang, helikopter dari pelbagai negara mendarat di situ. Ada dari Amerika
Syarikat, Kanada, Jepun, Singapura dan dari negara kita Malaysia.
Sekitar terminal lapangan
terbang yang tidak begitu besar menjadi sangat sibuk dengan petugas pasukan
keselamatan, pasukan mencari dan menyelamat, sukarelawan dan individu yang
datang ke Aceh untuk melihat situasi terkini di sana.
Alang alang
menyeluk pekasam, Biar sampai
ke pangkal lengan
Kami tak menunggu lama, keluar
dari terminal segera saya mendapatkan kenderaan awam “kijang” untuk membolehkan
kami ke kawasan dilanda tsunami dan membuat tinjauan segera. Ini perlu kami
lakukan kerana mengejar masa.
Penerbangan pesawat komersial
masih belum beroperasi sepenuhnya, kami hanya bergantung pada pesawat TUDM yang
kami tumpeng tadi untuk kami kembali semula ke Medan.
Jika kami lewat dari masa yang
ditetapkan, kami mungkin tertinggal dan terpaksa bermalam di Bandar Aceh.
Keadaan di situ amat mendukacitakan, bekalan elektrik, air bersih terputus sama
sekali. Kemudahan penginapan seperti hotel juga masih belum beroperasi.
Para petugas membina khemah
sendiri di kawasan yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa Indonesia. Di
situlah pasukan keselamatan, NGO dan sukarelawan menjalankan operasi dan
melaksanakan misi bantuan masing-masing.
Nun disekitar Bandar Aceh
kelihatan pasukan mencari dan menyelamat sedang memacakkan bendera Indonesia
serta kain berwarna merah di beberapa tempat. Selepas diselidik rupa-rupanya
bendera tersebut sebagai penanda di situ ada mayat yang masih belum diangkat.
Kelihatan juga jentolak
membersihkan kawasan disamping lori-lori sedang menunggu untuk membawa
sisa-sisa runtuhan yang dikhuatiri ada jasad-jasad bersekali dalam timbunan
akibat rakus ombak tsunami.
Kamera pegun dan video tak
henti merakam suasana yang kami lihat, Allahuakhbar inikah bencana angkara
manusia yang berpunca daripada kegagalan membendung alam sekitar dari
pencemaran dan kerosakkan... wallahualam
“Pak… kenal anak-anak pada
foto ini… Pak tolong saya Pak, anak-anak ini udah dua minggu tak ketemu, ini
anak saya Pak… tolong Pak tolong….”, tersentak seketika terdengar raung seorang
ibu sambil menarik baju saya bertanya khabar anak-anaknya yang hilang.
Sambil memujuk, tangan saya
menarik perlahan lahan jaket yang saya pakai supaya tak digenggam oleh wanita
dalam lingkungan usia 40an itu, saya berjaya melepaskan diri dan meminta supaya
Wanita terbabit bersabar. “InshaAllah bu… anak ibu sentiasa ada bersama sama
Allah SWT, ibu langsung doa ya” itu yang terhambur dari mulut saya sebelum
saya, Razak, Nasrul dan Allahyarham Yaakub berlalu pergi.
Kami dah kesuntukkan masa,
pesawat TUDM akan berlepas ke Bandara Polonia Medan pada kira-kira pukul 5
petang Waktu Indonesia barat atau pukul 6 petang waktu Malaysia. Dari Lokasi
kami ke Bandara Sultan Islandar Muda Aceh akan mengambil masa 45minit.
“Jak… kita kena gerak
sekarang, kalau lambat jawabnya kita terpaksa bermalam di bandar Aceh ni, jom”
saya meminta supir Kijang tadi segera membawa kami ke lapangan terbang Aceh.
Dalam perjalanan banyak maklumat yang diperolehi daripada Pak Supir.
Sepanjang perjalanan rakaman
video diteruskan untuk sumber informasi kepada MGBM dan MAYC Melaka yang
bercadang mengadakan misi kemanusiaan tsunami Aceh dalam tempoh terdekat. Kami
sampai di lapangan terbang, namun nyawa kami jadi taruhan…
Melapor diri di pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan
(dari kiri) Saya, Arwah Yaakub Nyat, Konsul Jeneral Malaysia di Medan dan Razak Abu
Menumpang pesawat TUDM dari Medan ke Bandar Aceh untuk tinjauan
Menemubual mangsa tsunami Aceh yang kehilangan kedua dua kaki
Meninjau mangsa tsunami Aceh yang menumpang di salah satu Posko
Mangsa Tsunami Aceh yang kehilangan tempat tinggal menumpang pesawat TUDM ke Medan Pengalaman pertama menyertai Misi Kemanusiaan di negara jiran adalah pelajaran terbaik buat saya dan rakan2 meneruskan misi yang sama hingga sekarang. Terus membaca kisah "Minta Nyawa"