20089 HARI - SEJARAH 29 JANUARI
Manusia sering hidup dalam dunia yang kedekut pujian. Selagi bernyawa, jarang sekali jasa diraikan, kecuali mereka yang bergelar, berpangkat atau memiliki kedudukan tinggi dan besar. Kebolehan dan sumbangan pula sering dianggap biasa-biasa, seolah-olah kewajipan yang tidak perlu disebut. Ironinya, hanya setelah seseorang itu kembali ke alam abadi, barulah namanya disebut-sebut, jasanya dikenang dan ceritanya disusun rapi sebagai warisan. Inilah lumrah dunia yang tidak pernah berubah.
Namun sejarah tidak seharusnya menunggu kematian untuk dicatat. Ia perlu didokumentasikan ketika saksi masih ada, ketika ingatan masih segar dan ketika pengalaman masih mampu memberi panduan. Sejarah bukan sekadar nostalgia, tetapi rujukan dan cermin untuk generasi anak cucu agar mereka tahu dari mana asal-usul mereka, apa yang pernah dilalui dan nilai apa yang wajar dipertahankan.
Tak salah kiranya mencatat untuk diri sendiri, bukan lapar puji, bukan mahu di dihargai, tetapi sekadar untuk memberi inspirasi kepada semua generasi yang bakal menyambung legasi.
Atas kesedaran itulah, pada usia 55 tahun ini, saya sebagai anak jati Chohong mengambil inisiatif mengumpul dan menyusun kembali pelbagai kisah sejarah yang membabitkan tempat kelahiran sendiri – Kampung Chohong. Ia bukan sekadar usaha peribadi, tetapi satu amanah untuk memastikan kisah kampung, manusia dan perjuangannya tidak tenggelam ditelan masa.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad berkhidmat dalam dunia media cetak dan penyiaran, saya bukan nama asing dalam lapangan penceritaan dan dokumentasi. Sejak 30 tahun lalu, lebih 1,000 hasil kerja merangkumi rencana, dokumentari, laporan khas, berita, majalah dan program penyiaran telah diterbitkan. Dunia media telah membentuk cara fikir dan cara saya melihat kehidupan – bahawa setiap peristiwa, sekecil mana sekalipun, mempunyai nilai untuk dirakam.
Di luar kerjaya profesional, minat mendalam terhadap kerja kesukarelaan pula membawa saya menyertai pelbagai misi kemanusiaan di dalam dan luar negara. Antaranya termasuk misi pasca tsunami di Aceh, Jepun, Sri Lanka dan India; liputan letusan Gunung Berapi Sinabung di Indonesia; bantuan kemanusiaan ke Palestin; tragedi Ribut Haiyan di Tacloban, Filipina; serta penglibatan dalam misi keamanan di Lubnan, selain menyertai jelajah Eropah. Setiap lokasi meninggalkan kesan tersendiri, memperkaya pengalaman hidup dan mematangkan perspektifnya terhadap makna kemanusiaan.
Allahyarham Hj Sidik bin Hamid dan pasangannya Hjh Miyamah binti Hj Limat adalah ibu dan bapa saya. Kini, usia saya mencecah 20,089 hari – satu angka yang mungkin kelihatan dingin, tetapi sarat dengan cerita, ujian dan perjalanan.
 |
| Dirai kawan kawan semasa sambutan hari kelahiran 7 tahun - Kg. Baru Si-Rusa |
Saya dilahirkan tepat pukul 12.00 tengah hari, pada 2 Zulhijjah 1390 Hijrah bersamaan 29 Januari 1971, di Solok Balik Bukit, Kampung Chohong, Jasin, Melaka. Kelahiran itu berlaku tanpa jururawat, tanpa kemudahan hospital, sebaliknya disambut oleh tangan berpengalaman seorang bidan kampung. Dari tanah desa itulah langkah pertama bermula, membentuk seorang anak kampung yang akhirnya menjelajah dunia, membawa cerita manusia dan kemanusiaan ke dalam catatan sejarahnya sendiri.
Susur perjalanan hidup anak jati Kampung Chohong ini bermula sebaik sahaja melihat dunia. Tidak lama selepas dilahirkan, saya dibawa ke Port Dickson, Negeri Sembilan, mengikuti arwah abah yang ketika itu berkhidmat dengan Angkatan Tentera di Kem Garisson. Di bumi perantauan itulah proses membesar dan mengenal dunia bermula, jauh dari kampung kelahiran tetapi dekat dengan disiplin kehidupan tentera.
Pendidikan awal bermula di Taman Didikan Kanak-kanak Kem Garisson, sebelum melangkah ke alam persekolahan formal di Sekolah Rendah Panglima Adnan, Port Dickson. Di situlah asas membaca, menulis dan membina keyakinan diri diasah, dalam suasana komuniti tentera yang serba teratur dan berdisiplin.
Ketika berusia sembilan tahun, saya kembali ke Melaka dan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Chohong, memasuki Darjah 3. Namun tempoh itu tidak panjang. Kehidupan sebagai anak anggota tentera menuntut kesediaan untuk sentiasa berpindah. Tidak lama kemudian, saya sekali lagi berhijrah, kali ini sejauh Borneo, menyusuri kehidupan baharu di Sarawak.
Di Kuching, Sarawak, saya menyambung persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Leftenan Adnan, Kem Semanggo. Pengalaman di bumi Kenyalang itu memperluaskan pandangan dunia seorang anak kampung, mengenali budaya, rakan dan persekitaran yang jauh berbeza dari Semenanjung. Namun sekali lagi, takdir membawa saya pulang. Tempoh di Sarawak juga tidak lama apabila saya kembali ke Port Dickson dan menyambung semula persekolahan di Sekolah Kebangsaan Panglima Adnan.
Memasuki alam remaja, Tingkatan 1 saya ditempatkan di Sekolah Menengah Rendah Si Rusa. Tahun demi tahun berlalu seiring perubahan hidup keluarga. Pada tahun 1985, apabila arwah bapanya bersara daripada perkhidmatan tentera, satu lagi fasa penting bermula. Anak jati Kampung Chohong ini kembali ke akar asalnya di Melaka.
Saya dipindahkan ke Sekolah Menengah Datuk Bendahara, Jasin dan menetap di Asrama Sekolah Tun Perak, Jasin. Di sinilah saya mula mengenal erti berdikari sepenuhnya – hidup berasrama, mengurus diri sendiri dan membentuk jati diri. Namun tempoh di sekolah tersebut hanya sehingga Tingkatan 3. Dengan keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), saya meneruskan pengajian ke Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu, Melaka, memilih aliran Pertanian yang ketika itu menjanjikan masa depan yang lebih terarah.
Selepas menamatkan persekolahan dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), langkah seterusnya membawa saya ke Institut Pertanian Semenanjung Malaysia. Pendidikan tinggi ditempuh dalam tiga lokasi berbeza – tahun pertama di Institut Pertanian Kuala Lipis, tahun kedua di Institut Pertanian Besut dan tahun akhir di Institut Pertanian Ayer Hitam. Sekali lagi, perpindahan menjadi sebahagian daripada pembentukan diri, mengajar menyesuaikan diri dengan pelbagai suasana dan manusia.
Alam pekerjaan bermula sebagai Penyelia Ladang di syarikat Leong Hup Holding. Namun jiwa muda tidak terikat lama di satu tempat. Saya kemudiannya beralih ke sektor kewangan dengan menyertai MBF Finance sebelum mencuba nasib sebagai pekerja sambilan di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tangkak.
Di sinilah titik perubahan hidup berlaku – tanpa dirancang, tanpa diduga. Tugasan di FAMA yang memerlukan saya mengumpul data pertanian, mencatat maklumat dan merakam gambar di lapangan secara perlahan-lahan menyalakan minat terhadap dunia pemberitaan. Detik kecil yang menjadi pencetus segalanya bermula apabila saya merakam gambar kesalahan ejaan pada papan tanda sebuah syarikat air di Johor. Gambar itu dihantar ke pejabat Berita Harian Melaka. Tidak lama kemudian, ia disiarkan di akhbar Harian Metro.
 |
Awal pembabitan dunia kewartawanan, antaranya bersama Arwah Azizi Harun (kaca mata hitam)
|
Daripada satu gambar, lahirlah satu jalan hidup baharu. Tahun 1995 menyaksikan saya diterima sebagai wartawan sambilan Berita Harian. Dari situ, saya mula mengenali pelbagai watak – daripada pemimpin negeri, penjawat awam, sehinggalah tokoh-tokoh masyarakat dan sektor swasta. Dunia kewartawanan mengasah kepekaan, keberanian bertanya dan kejujuran dalam menyampaikan cerita.
Minat mendalam terhadap radio pula membuka satu lagi pintu rezeki. Kebetulan perkenalan dengan Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Melaka ketika itu, Tuan Haji Talib Hashim, mendorong saya memberanikan diri memohon jawatan juruhebah sambilan. Alhamdulillah, permohonan itu diterima dan pada tahun 1996 saya mula bertugas sebagai penyiar DJ Melaka FM.
Dua dunia digalas serentak – menulis untuk Berita Harian dan Harian Metro, serta bersiaran sebagai DJ sambilan RTM Melaka. Suara saya bukan sahaja didengari oleh pendengar di Melaka, malah merentas sempadan hingga ke Riau, Pulau Rupat, Bengkalis dan Selat Panjang, yang setia mengikuti program kendalian saya.
Tahun 2006 menjadi satu lagi persimpangan besar apabila saya berhijrah ke Kuala Lumpur setelah diterima sebagai Kakitangan Awam dengan jawatan Penerbit Rancangan. Sepanjang hampir 20 tahun berkhidmat bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM), saya diberi kepercayaan menggalas pelbagai jawatan dan penempatan – antaranya di Muzik FM, Seksyen Ehwal Semasa RTM Angkasapuri, Ketua Unit Alfa @ Bencana RTM, KBR RTM Melaka, Penerbit RTM Sabah, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyiaran JAKIM, sebelum kini kembali berkhidmat di Angkasapuri.
Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka yang menganugerahkan saya Pingat serta Darjah Kebesaran Negeri Melaka sejak 1998. Bermula dengan Pingat Bakti Masyarakat (PBM), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Bintang Kidmat Terpuji (BKT). Tak lupa pada Pertubuhan Belia yang menanugerahkan saya Johan Kategori Kesukarelaan Belia pada tahun 2004 serta Pingat Bakti Belia (PBB). Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) turut menghargai saya dengan kurniaan Anugerah Hang Tuah (AHT - DMDI).
 |
| PBM anugerah pertama yg diterima daripada Kerajaan Negeri Melaka |
Masih banyak catatan yang belum dituliskan. Banyak kisah yang tersimpan untuk dikongsi pada waktu yang lebih sesuai.
Kini, berbaki lima tahun lagi sebagai seorang Kakitangan Awam. Selebihnya, tiada siapa yang mengetahui berapa lama lagi masa yang dipinjamkan sebelum dijemput pulang ke alam abadi. Terima kasih kerana sudi membaca.
Buat seketika, pada tanggal 29 Januari,
Idzham Hadi Sidik mengundur diri.