CH: 4 kampung berjiran

 "C & H" 2 HURUF AWAL NAMA 4 KAMPUNG DI JASIN

AI menggambarkan 4 kampung dengan huruf CH berlatarbelakang Gunung Ledang

JASIN daerah kelahiran saya. Di daerah Jasin, Melaka ini terdapat satu keunikan yang jarang diketengahkan — empat buah kampung yang terletak bersebelahan dan berdekatan, berkongsi awalan nama yang sama, iaitu huruf C dan H

Kampung tersebut ialah Kampung Chohong, Kampung Chincin, Kampung Chenderah dan Kampung Chabau. (CHohong - CHabau - CHenderah - CHncin)

Bukan sekadar kebetulan ejaan, empat kampung ini menyimpan kisah asal-usul tersendiri yang berakar daripada sejarah lisan, peristiwa masyarakat setempat dan pengaruh hubungan luar suatu ketika dahulu.

Kampung Chohong: Dari Lubang Terlohong dan Kapal Chu Hong

Kampung Chohong sering dikaitkan dengan dua versi cerita asal-usul yang hidup dalam ingatan penduduk setempat. Versi pertama menyebut nama Chohong berasal daripada sebuah lubang terlohong — kawasan tanah yang berlubang besar dan dalam, dipercayai menjadi mercu tanda awal penempatan kampung tersebut. Perkataan terlohong yang digunakan dalam dialek tempatan akhirnya disebut sebagai Chohong.

Namun, terdapat juga versi lain yang lebih bersifat sejarah maritim. Menurut cerita lisan, sebuah kapal dagang dari China bernama “Chu Hong” pernah berlabuh di sungai berhampiran kampung ini pada suatu ketika dahulu. Kehadiran kapal tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk, sehingga nama Chu Hong disebut dan disesuaikan dengan sebutan tempatan menjadi Chohong.

Kampung Chincin: Jejak Rombongan Meminang

Asal-usul Kampung Chincin pula dikaitkan dengan satu peristiwa adat yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu — rombongan meminang. Cerita lisan menyebut, suatu ketika dahulu, rombongan peminangan yang melalui kawasan ini telah kehilangan atau memperlihatkan cincin pertunangan, lalu peristiwa itu menjadi sebutan orang ramai.

Nama cincin yang kerap disebut akhirnya melekat sebagai identiti kawasan tersebut dan dieja mengikut loghat setempat sebagai Chincin. Kisah ini mencerminkan bagaimana adat dan peristiwa sosial mampu membentuk identiti sesebuah tempat.

Kampung Chenderah: Alam dan Bahasa Lisan

Bagi Kampung Chenderah, asal-usul namanya dipercayai berkait rapat dengan unsur alam sekitar. Menurut cerita penduduk lama, kawasan ini suatu masa dahulu dipenuhi tumbuhan liar dan hutan kecil yang kelihatan berselerak atau berderah. Sebutan berderah atau chenderah dalam percakapan harian akhirnya digunakan sebagai nama kampung.

Walaupun tiada catatan rasmi bertulis, kisah ini terus diperturunkan secara lisan dan menjadi sebahagian daripada identiti setempat.

Kampung Chabau: Kisah Alam dan Kehidupan Awal

Kampung Chabau pula dikatakan mendapat namanya daripada kewujudan kawasan tanah rendah dan berpaya yang menjadi tempat binatang liar dan sumber kehidupan awal penduduk. Ada cerita menyebut nama Chabau berasal daripada sebutan tempatan terhadap kawasan yang cabau atau tidak rata, sukar dilalui, namun kaya dengan hasil alam.

Seperti kampung-kampung lain, asal-usul ini hidup melalui cerita orang tua-tua dan menjadi memori kolektif masyarakat setempat.

Ikatan Huruf ‘C’ dan ‘H’: Kebetulan atau Pengaruh Sejarah?

Persoalan yang sering timbul ialah, apakah kaitan empat kampung ini menggunakan awalan huruf C dan H?

Menurut pemerhatian pengkaji tempatan, penggunaan huruf CH berkemungkinan dipengaruhi oleh sebutan lisan Melayu lama, campuran dialek tempatan serta kemungkinan pengaruh luar seperti hubungan perdagangan dengan pedagang Cina dan penyesuaian ejaan oleh pentadbiran kolonial suatu masa dahulu.

Apa yang pasti, keempat-empat kampung ini bukan sahaja berdekatan dari segi geografi, malah berkongsi akar budaya, bahasa dan sejarah lisan yang saling berkait.

Warisan yang Wajar Didokumentasikan

Empat kampung ‘CH’ di Jasin ini membuktikan bahawa nama tempat bukan sekadar label, tetapi cerminan sejarah, adat dan pengalaman hidup masyarakat terdahulu. Dalam arus pembangunan moden, kisah-kisah ini wajar terus didokumentasikan agar tidak hilang ditelan masa.

Kerana di sebalik setiap nama kampung, tersimpan cerita tentang siapa kita dan dari mana kita berasal.

-ihs.0km-

LIMBANG: DAERAH TERPISAH 1001 KEUNIKAN

Ke Luar negara dulu baru boleh sampai sini

Peta daerah Limbang yang diapit Brunei 

MELALUI jalan darat, seseorang perlu ke luar negara terlebih dahulu sebelum sampai ke Limbang.

Limbang bukan sekadar sebuah daerah di utara Sarawak, ia adalah sebuah anomali geografi yang menjadikan perjalanan sebagai sebahagian daripada pengalaman. 

Untuk tiba ke Limbang melalui jalan darat, seseorang perlu meninggalkan Malaysia terlebih dahulu, memasuki negara jiran Brunei Darussalam, sebelum kembali semula ke bumi Sarawak. 

Bandar Limbang di persisir sungai

Situasi luar biasa ini menjadikan Limbang satu-satunya daerah di Malaysia yang “terpisah” daripada wilayah utama negeri sendiri oleh sempadan antarabangsa.

Keunikan geografi ini bukan kelemahan, sebaliknya menjadi identiti yang membentuk cara hidup, ekonomi dan hubungan sosial masyarakat Limbang sejak puluhan tahun.


Gerbang Utara Sarawak yang Damai

Limbang di utara Sarawak bersempadan dengan Brunei dan Sabah

Terletak di antara dua bahagian Brunei, Limbang dikelilingi hutan hijau, sungai yang luas dan perkampungan tradisional yang masih mengekalkan suasana tenang. 

Bandar Limbang berkembang di tebing Sungai Limbang, nadi utama pergerakan dan kehidupan masyarakat setempat sejak zaman dahulu.

Walaupun tidak semeriah bandar besar lain di Sarawak, Limbang menawarkan ketenangan yang sukar ditemui di tempat lain. Irama hidupnya perlahan, tetapi kaya dengan nilai kemasyarakatan dan warisan budaya.


Destinasi Pelancongan: Alam dan Tradisi Bertemu

Lebih 10 lokasi pelancongan ada di Limbang

Limbang mempunyai potensi pelancongan yang unik, khususnya berasaskan alam semula jadi dan budaya tempatan.

Antara tarikan utama ialah Air Terjun Medamit, destinasi popular bagi pencinta alam yang gemarkan suasana semula jadi dan air yang jernih. Bukit Mas pula menawarkan panorama indah bandar Limbang dari sudut tinggi, terutamanya ketika matahari terbenam.

Pengunjung juga boleh menyusuri kampung-kampung tradisional, menyaksikan rumah panjang masyarakat Orang Ulu serta merasai kehidupan desa yang masih kuat berpegang pada adat. Sungai-sungai di Limbang turut menjadi laluan ekopelancongan, termasuk aktiviti memancing dan jelajah sungai.


Masyarakat Majmuk, Budaya Berlapis

Limbang dihuni oleh pelbagai suku kaum yang hidup harmoni. Antara yang utama ialah Melayu, Kedayan, Iban, Bisaya, Orang Ulu serta komuniti Cina. Kepelbagaian ini menjadikan Limbang kaya dengan adat, bahasa dan tradisi yang saling berinteraksi.

Suku Kedayan dan Bisaya misalnya, terkenal dengan kegiatan pertanian tradisional serta adat resam yang masih diamalkan hingga kini. Rumah panjang masyarakat Iban dan Orang Ulu pula menjadi simbol komuniti dan kekeluargaan yang kukuh.

Suku kaum Bisaya Limbang

Dari sudut agama, Islam dan Kristian merupakan pegangan utama masyarakat Limbang, di samping kepercayaan tradisional yang masih dihormati. Masjid, gereja dan rumah ibadat wujud berdekatan, mencerminkan toleransi dan keharmonian antara penganut agama.


Nadi Ekonomi: Antara Tradisi dan Moden

Ekonomi Limbang banyak bergantung kepada pertanian, perikanan sungai, dan sektor perkhidmatan. Tanaman seperti padi, buah-buahan tempatan serta hasil kebun menjadi sumber sara hidup utama masyarakat luar bandar.

Kedudukan Limbang yang bersempadan dengan Brunei turut mewujudkan aktiviti ekonomi rentas sempadan. Ramai penduduk bekerja di Brunei atau menjalankan perniagaan kecil yang menyokong keperluan harian penduduk tempatan dan pelawat.

Dalam masa sama, sektor pelancongan dan perusahaan kecil sederhana (PKS) dilihat berpotensi besar untuk berkembang, terutama berasaskan produk tempatan, kraftangan dan makanan tradisional.


Keunikan Limbang: Terasing Tetapi Tidak Terpinggir

Waterfront Limbang tarikan pelancongan terbaharu Sarawak

Apa yang menjadikan Limbang istimewa bukan sekadar laluan daratnya yang perlu melalui negara asing, tetapi keupayaan masyarakatnya menyesuaikan diri dengan realiti tersebut. Mereka hidup di persimpangan sempadan, namun identiti Sarawak tetap kukuh dalam jiwa.

Limbang adalah kisah tentang ketahanan, toleransi dan kesederhanaan. Sebuah daerah yang mungkin terpisah secara geografi, tetapi tidak pernah terpisah daripada nilai kemanusiaan dan kebersamaan.

Di sinilah keunikan Limbang — daerah kecil di peta, namun besar maknanya dalam naratif kepelbagaian Malaysia.

Ditemani rakan sekolah Zamri @ Atok menunggang ke Brunei melalui Limbang

Pada 2019, sebelum wabak covid 19 melanda, saya berkesempatan ke Limbang semasa membuat perjalanan solo menunggang motosikal dari Kota Kinabalu ke Bandar Seri Begawan Brunei Darussalam.

Dapat bermalam di Limbang dan menikmati sendiri keunikan bandar di wilayah Sarawak yang diapit tanah Brunei ini.

-ihs.0km-



BANTUAN SERUMPUN BANJIR BANDANG - PART 3

 BERAT SAMA DIPIKUL - NGO BERGABUNG BANTU MALALAK (Hari 3 - 31/12/25)

GABUNGAN NGO MALAYSIA - SFWDA, 4X4 LIMA BRAVO & LYNA SENAM TARI

BERGABUNG pada hari terakhir 2025, menjadi aktiviti kemuncak tiga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam misi kemanusiaan bantuan kecemasan bencana banjir bandang di Kabupaten Agam Sumatera Barat.
 
Skuad Bencana Selangor Persatuan Pacuan Empat Roda Negeri Selangor (SFWDA), Kelab Sukan 4x4 Lima Bravo (4x4 - 5 Bravo) dan Lyna Senam Tari berganding bahu menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir bandang di Toboh Tangah, Malalak Timur.

Info mengenai Pasukan Lyna Senam Tari akan bergabung dalam misi ini disampaikan oleh Pengerusi SFWDA, Rody Sofian Buang pada malam ke-2 ketika kami tiba dari Tanah Datar selepas meninjau keadaan banjir bandang di sana.

Bungkusan barangan keperluan harian untuk disumbangkan kepada mangsa banjir bandang

Menurut Rody pasukan yang diketuai Cikgu Lyna itu disertai tiga lagi anggota kesemuanya wanita. Mereka membawa sumbangan hasil dana sumbangan orang ramai yang prihatin dengan kedukaan masyarakat Sumatera Barat akibat musibah tersebut.

Melalui dana itu, pelbagai barangan keperluan harian dapat dibeli di Kota Bukit Tinggi, antaranya mee segera, gula, biskut dan beras. 

Misi pada 31 Disember 2025 itu bermula seawal pukul 6.30 pagi. Kami memulakan perjalanan dari Kota Bukit Tinggi menuju ke Kabupaten Agam lebih awal untuk mengelakkan kesesakkan jalan raya berikutan laluan berhampiran lembah anai ditutup pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari.

Ini disebabkan laluan utama Padang ke Bukit Tinggi itu ditutup untuk pihak bertanggungjawab melaksanakan kerja kerja pembaikkan akibat tanah runtuh kesan amukkan banjir bandang Sumatera Barat.
Jalan utama Padang - Bukit Tinggi sesak ekoran kerja pembaikkan
Alhamdulillah, Lembah Anai dapat kami lintas sebelum pukul 8.00 pagi. Sebelum meneruskan perjalanan kami singgah sarapan sebelum menyambung perjalanan ke Malalak Timur Kabupaten Agam.

Lontong, bihun sup, serabi dan teh telor selain kopi O menjadi pilihan kami 15 sukarelawan termasuk empat pemandu dari Padang yang bersama sama kami dalam misi bantuan masuk hari ke-3 itu.

Selesai menikmati sarapan dengan harga yang amat berpatutan, kami meneruskan perjalanan dan di sepanjang laluan tersebut dapatt kami lihat jemuran kayu manis dan padi di kaki lima jalanraya

Teh Telo

Menjelang pukul 9.00 pagi, pasukan kami selamat tiba di perkarangan Kantor Camat Malalak Timur. Ketibaan kami disambut mesra penduduk kampung dan para petugas di situ. Bagaimanapun Bapak Fadli Panduko masih berada di lapangan mengagihkan bantuan.

Sementara menunggu ketibaan Bapak Fadli kami meninjau persiapan pada bahagian penyimpanan makanan kering untuk kerja kerja memasak makan tengahari bagi agihan kepada pengungsi dan petugas banjir bandang.

Sebaik sahaja Bapak Fadli tiba, kami mendengar taklimat dariapada beliau berkaitan aktiviti yang akan kami laksanakan pada hari itu. Pertama kami akan menyampaikan sumbangan sembako (bungkusan bakul makanan) kepada setiap mangsa bencana di kediaman masing-masing.

Selesai agihan, kami ditugaskan untuk membantu kerja gotong royong di lokasi dan selepas itu, kami akan balik semula ke kantor camat untuk membantu kerja kerja memasak makanan tengahari.




Syukur, semua jadual dan perancangan yang diatur dapat dilaksanakan dengan baik. Cuaca turut menyebelahi kami. Setiap inci tanah Malalak Timur yang terkena banjir bandang dapat kami lihat bukan sahaja dengan mata tapi dengan hati.

Semua kerja kerja dapat diselesaikan pada kira-kira pukul 3.00 petang. Sebelum meninggalkan kantor Camat Malalak, kami menyerahkan sumbangan tunai kepada Bapak Fadli untuk kegunaan pengurusan sukarelawan di situ.

Misi ini tidak berakhir di situ, banyak lagi bantuan yang diperlukan oleh mereka antaranya mesin air @ water jet, drone untuk kerja kerja pemantauan serta bekalan air bersih yang dianggarkan kos keseluruhan berjumlah RM50,000.

InshaAllah jika ada ihsan daripada anda semua atau syarikat swasta yang ingin membantu, projek pembekalan air bersih boleh dilaksanakan di Kecamatan Malalak bagi membantu masyarakat menersukan kehidupan dengan lebih baik.






Team kami menuju ke Kota Padang manakala, Team Lyna Senam Tari bergerak semula ke Bukit Tinggi untuk meneruskan misi kemanusiaan di lokasi lain pula. Kami tiba di Kota Padang kira-kira pukul 4.30 petang.

Misi Kemanusiaan Bantuan Kecemasan Bencana Banjir Bandang di Sumatera Barat berakhir pada 1 Januari 2025. Kami berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 1150 pagi (WIB) menggunakan pesawat komersial dengan no penerbangan AK407 dan selamat mendarat di KLIA2 pukul 2.10 petang.




Jumpa lagi pada misi seterusnya






































































































BANTUAN SERUMPUN BANJIR BANDANG - PART 2

 

                      BANTUAN KECEMASAN BENCANA BANJIR BANDANG - HARI 1 (29 Dis 2025)

SEAWAL jam 8.00 pagi (WIB), 30 Disember 2025, Team kami seramai 7 orang sudah bersiap sedia untuk ke salah satu lagi lokasi dilanda musibah banjir bandang. Kali ini kami ke Nagari Malalo Kecamatan Batipuh Selatan, Kabupaten Tanah Datar.

Menurut Bapak Khairul Nas, perjalanan ke lokasi yang berhampiran dengan danau Singkarak itu mengambil masa antara 1 hingga 2 jam bergantung pada keadaan jalan dan cuaca semasa.

Malalao berkedudukan di persisi Tasik Singkarak

Tasik Singkarak antara tasik terbesar di Padang

sebahagian sumber ekonomi penduduk Malalo

Sebelum meneruskan perjalanan ke Nagari Malalo, kami sepakat untuk singgah di toko hardware bagi membeli pelbagai peralatan yang diperlukan untuk kerja-kerja  pembersihan di Malalak. 

Keputusan untuk membeli peralatan bagi membersihkan rumah yang dilanda banjir bandang dicapai selepas mendengar taklimat dan informasi yang disampaikan oleh Ketua Komitee Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) Kab. Agam Bapak Fadli Rahmadi (Panduko Bung Fadli), yang ditemui pada hari pertama misi.


Inilah senarai barangan yang dapat di beli
untuk disumbangkan kepada masyarakat Melalak.

Antara barangan yang dibeli termasuklah cangkul, pongkis, boot getah, kereta sorong, sarung tangan dan skop. Dana pembelian barangan tersebut adalah hasil sumbangan orang ramai yang berjumlah RM2,700.

 Alhamdulillah, pengusaha hardware di Kota Bukit Tinggi tersebut turut bermurah hati menyumbang lima unit pongkis untuk diserahkan kepada penduduk Malalak bagi kegunaan membersih rumah mangsa banjir bandang.



Selesai urusan pembelian barangan sumbangan, kami tujuh sukarelawan bergerak ke Nagari Malalo. Sepanjang perjalanan cuaca redup sebelum mendung dan setibanya kami di lokasi hujan mulai turun. 

Kami menyelusuri jalan raya bersebelahan tasik Singkarak. Keluasannya ibarat laut di tengah tengah tanah Sumatera, bezanya air biru di Malalo itu tidak bergelombang, ia nampak tenang dan pemandangannya cukup indah. 

Bagaimanapun setibanya di Malalo cuaca agak mendukacitakan, angin kuat berserta angin kencang. Kami cuba melepasi kampung tersebut namun penduduk memaklumkan laluan di depan tidak boleh dilalui akibat tanah runtuh. 

Kedudukan tanah runtuh dengan tempat kami berada pada ketika itu hanya 1 kilometer, air sungai nampak deras dan menakutkan. Pak Khairul menggesa supaya kami berpatah balik ke Bukit Tinggi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.


Tak menunggu lama, kenderaan yang kami naiki segera berpatah balik. Pada masa sama kelihatan air sungai semakin deras, hujan mencurah membasahi bumi namun danau Singkarak kelihatan cukup tenang. 

Sepanjang perjalanan meninggalkan Malalo, hujan tidak berhenti, kenderaan yang kami naiki dipandu berhati hati oleh Pak Iki.

Sebelum sampai ke Kota Bukit Tinggi, kami sempat singgah di salah sebuah masjid di Batu Sangkar untuk solat. Informasi daripada Pak Khairul, surau lama sebelah masjid yang kami tumpang solat adalah surau tempat Buya Hamka mengaji suatu ketika dulu

Kami sampai di Kota Bukit Tinggi menjelang senja. Terus menikmati makan malam sebelum rehat di hotel Kharisma. Di khabarkan oleh ketua misi En Rody, esok akan ada satu team sukarelawan hendak bersama sama menyertai misi kami

Sukarelawan dari mana? apa yang mereka bawa? berapa jumlah sumbangan mereka?. Segalanya akan terjawab dalam catatan Bantuan Serumpun Banjir Bandang Part 3. Oleh itu teruskan membaca artikel blogspot ini. terima kasih.


-ihs.0km-


BANTUAN SERUMPUN BANJIR BANDANG - Part 1

 

BANTUAN KECEMASAN BENCANA BANJIR BANDANG - HARI 1 (29 Dis 2025)

DUKA  masyarakat Sumatera Barat (Sumbar), Sumatera Utara (Sumut) dan Aceh akibat musibah bencana banjir bandang yang melanda November 2025, menjentik hati sukarelawan Malaysia untuk sama sama merasai keperitan itu.

Gambaran kedukaan masyarakat Sumatera dan Aceh tersebut diketahui melalui media sosial yang tular dengan kemusnahan tempat tinggal, kerosakkan sawah padi dan tanam tanaman selain meragut ribuan nyawa.
Kediaman penduduk rosak akibat banjir bandang

Tidak menunggu lama, ramai sukarelawan Malaysia bergegas ke lokasi untuk meninjau dan seterusnya membantu mana yang perlu, mereka tak perlu di arah tapi begitulah sikap sukarelawan, jika ada bencana atau musibah jiwa mereka meronta mahu menolong.

Cakaplah apapun, jika jiwa masing-masing sudah sebati begitu, sesukar manapun, sukarelawan cuba sedaya upaya ke lokasi bencana, bukan untuk melihat sendiri tetapi datang untuk menyerah diri membantu seikhlas hati.            
                                                                 
Bersama sama enam rakan sukarelawan, kami bergerak atas nama Skuad Bencana Persatuan Pacuan Empat Roda Selangor (SFWDA) serta Team Bencana dan Kebajikan Kelab Sukan 4x4 Lima Bravo (KKS - 5 Bravo) merealisasikan Misi Kemanusiaan Bantuan Kecemasan Bencana Banjir Bandang Sumatera Barat pada 29 Disember 2025 hingga 1 Januari 2026.

Misi yang diketuai Pengerusi SFWDA, Rody Sufian Buang berlepas ke Padang Sumbar pada 29 Disember 2025 menggunakan pesawat komersial dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau Padang pada kira-kira jam 1125 pagi (WIB).

Sebaik sahaja tiba di Bandara Minangkabau Padang, kami disambut oleh kenalan lama saya Pak Khairul Nas (asal orang Kampung Pandai Sikek, Bukit Tinggi) yang juga sukarelawan Indonesia. Selesai makan tengahari di Padang Panjang kami terus bergerak ke Desa Toboh Tangah, Kenagarian Malalak Timur, Kecematan Malalak, Kabupaten Agam Sumbar.

Perjalanan dari rumah makan di Padang Panjang tadi ke kampung tersebut mengambil masa lebih 2 jam. Sebaik tiba di kampung tersebut kami dapati masyarakat setempat sibut bergotong royong membersih rumah masing-masing.

Kerja-kerja pembersihan turut dibantu para sukarelawan Indonesia, Tentera Nasional Indonesia (TNI) serta Polisi Republik Indonesia (Polri). Terdapat juga dua jentera berat digunakan untuk membantu membersihkan lumpur yang memenuhi kawasan kampung dan rumah di situ.

keadaan kampung 
Toboh Tangah yang
dilanda Banjir Bandang
Kehadiran kami di kampung tersebut diatur oleh Bapak Khairul Nas yang kemudiannya mempertemukan team sukarelawan kami dengan Ketua Komitee Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) Kab. Agam Bapak Fadli Rahmadi (Panduko Bung Fadli).

Beliau menerangkan keadaan semasa di kampung tersebut selain menjelaskan keperluan mendesak yang diperlukan oleh mangsa bencana yang kini masih lagi menumpang di beberapa Pusat Pemindahan Sementara yang disediakan oleh pihak pemerintah.

Pada hari pertama misi, kami belum menyerahkan apa-apa sumbangan kerana mengumpul data, apa keperluan yang perlu disumbangkan kepada pihak bertanggungjawab serta mangsa banjir bandang di situ.

Selepas melihat sendiri kemusnahan akibat banjir bandang di kampung tersebut, kami dibawa oleh Bapak Fadli ke pusat operasi bencana di kantor camat Malalak untuk perbincangan aktiviti pada hari seterusnya sebelum kami meninggalkan Sumatera Barat pada 1 Januari 2026.




Untuk rekod, kronologi misi ini bermula dengan perancangan secara lisan antara saya dengan Rody. Seterusnya dalam tempoh 3 minggu sebelum terbang ke Sumbar, kutipan dana digerakkan dengan konsep "Sumbang RM1 seorang, Sasaran kutipan RM1juta - bantu mangsa banjir bandang Sumbar". Hebahan sumbangan ini dilakukan setiap daripada kami melalui media sosial.

Alhamdulillah sehingga 30 Disember 2025 iaitu sehari selepas kami berada di Sumatera Barat, kutipan dana sumbangan orang ramai yang berjaya dikumpul adalah sebanyak RM2,700, ia diterima melalui akaun SFWDA dan akaun bank KKS - 5 Bravo.

Part 2 menyusul, teruskan membaca Travelog Misi Kemanusiaan hasil nukilan saya dengan saksi mata dan bersama sama dalam misi ini. terima kasih sudi membaca.

-ihs.0km-
















BERBUKA PUASA PALING AWAL DI MALAYSIA

 TG ATIAM - TITIK TIMUR MALAYSIA

JAM 5.48 petang (9 - 12 November 2025) telah berkumandang azan menandakan masuk waktu solat maghrib dan waktu berbuka puasa bagi Zon 3 - Lahad Datu, Kunak, Silabukan, Sahabat dan Semporna di negeri Sabah.

Inilah lokasi waktu berbuka puasa dan waktu azan subuh pertama yang berkumandang di Malaysia, lokasinya di Kampung Tanjung Atiam, Lahad Datu Sabah. Ini cerita dan faktanya

Titik paling timur Malaysia mewarnai catatan saya kali ini dalam siri jelajah negeri Sabah. Tanjung Atiam terletak di dalam daerah Lahad Datu dan jaraknya kira-kira 150 kilometer dari bandar Lahad Datu.

Tanjung Atiam diiktiraf sebagi titik paling timur Malaysia, sila lihat peta Sabah dan anda akan dapati kedudukan Tanjung Atiam ini betul betul pada bahagian hidung peta negeri Sabah.

Pada bahagian tanduk terletaknya daerah Kudat, Sandakan berkedudukan  pada bahagian atas hidung, Lahad Datu pula  kedudukanya di bawah hidung atau di dalam mulut manakala Semporna pada dagu dan lokasi daerah Tawau umpama di bahagian bawah dagu.

Tanjung Atiam atau catatan di dalam google maps sebagai kampung  Ateamu terletak di mukim tambisan, Daerah Tungku Lahad Datu, Sabah. lokasi yang  terletak di kawasan paling timur peta sabah ini bagaimanapun tidak berpenghuni.

Destinasi ini saya kunjungi bersama sama krew RTM Sabah pada 2019, ketika bulan Ramadan dan sudah tentu kami dapat merasai menjadi orang pertama di Malaysia berbuka puasa. 

Waktu imsak di Tg Atiam Lahad Datu pada ketika itu adalah pukul 4.23 pagi manakala waktu berbuka puasa di kawasan tersebut pada Ramadan 1440h/2019 adalah pada pukul 6.13 minit petang. 

Perjalanan ke Tanjung Atiam ini melalui jalan utama Felda Sahabat kemudiannya akan memasuki estate yang memerlukan kebenaran untuk memasukinya kerana ia adalah Kawasan persendirian.

Suka diingatkan bahawa Tanjung Atiam ini bukanlah destinasi pelancongan yang popular kerana kedudukannya jauh di kawasan pedalaman dan tiada kemudahan asas di situ.

Bagaimanapun jika lokasi ini ingin dimajukan sebagai destinasi pelancongan, kemudahan asas seperti jalanraya berturap perlu dibuat untuk memudahkan orang ramai sampai ke situ.

Tanpa jalanraya yang baik sudah pasti pengunjung akan berfikir berkali kali sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan yang mempunyai keunikkan tersendiri ini.

Tumbuhan herba, hidupan liar dan pemandangan pantai pemisah antara laut Sulu dan laut Sulawesi menjanjikan fenomena yang cukup mengkagumkan terutamanya pada masa matahari terbit. 

Berdekatan Tg Atiam, terdapat beberapa buah kampung yang berpenghuni, paling hampir adalah kampung Tagupi Laut. Penduduk Tagupi Laut adalah di kalangan suku kaum Suluk dan mereka telah menghuni kawasan persisir pantai itu sejak 50 tahun lalu.

 Kebanyakan mereka adalah bersaudara, mereka saling hidup bekerjasama dan bersatu hati, jika ada berselisih faham, mereka akan segera meleraikan.

Kegiatan ekonomi mereka adalah bergantung kepada hasil laut dan berkebun, hasil laut akan dijual kepada pemborong. 

Berbeza dengan Tg Atiam, kampung Tagupi mempunyai kemudahan seperti sekolah dan pusat kegiatan masyarakat yang didirikan oleh kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).. 

Bagi penduduk kg Talupi Laut yang berdekatan dengan Tg Atiam mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa mereka adalah penghuni di tanah paling timur negara. Apabila diberitahu mereka sangat teruja dan bangga kerana menjadi salah seorang rakyat Malaysia yang menerima cahaya matahari paling awal di negara ini.




Pada 2013, ops daulat yang dilancarkan di Tanduo dan sekitar Tg Labian telah tercatat sebagai sejarah hitam negara. Tg Atiam yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Tg Labian melalui pantai turut menjadi kawasan operasi. 

Terlalu banyak khazanah dan rahsia masih belum dirungkai di Tg Atiam ini. kisah kapal jepun karam di perairan Tg Atiam juga masih menjadi tanda tanya.

Kembara ke Tanjung Atiam, Titik Paling Timur Malaysia ini menjadi memori indah dan saya percaya tidak ramai yang sampai ke sini. Lengkap destinasi “paling hujung” di Malaysia saya jelajah, pertama Tanjung Piai (Pontian) iaitu tanah paling penghujung Benua Asia dan kedua adalah Simpang Mengayau Kudat yang diiktiraf sebagai Tip of Borneo, serta titik paling tengah Semenanjung Malaysia di Temerloh.


Terus ketahui kembara saya ke seluruh negeri Sabah dan jika anda berminat mengikuiti catatan saya, dapatkan buku “Destinasi Tersembunyi Sabah” yang boleh dipesan secara atas talian atau membeli di kedai buku seluruh negara.

 

-ihs.0km-




AIR SOYA & TAUFUFAH BUDAK TIUT